05 Februari 2022

Pakatan Rusia-China gerunkan Barat

 

KETIKA Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China semakin hampir membuka tirai, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya telah mula memboikot Sukan Olimpik tersebut dengan tidak menghantar diplomat ke acara hari pembukaan. Namun ugutan tersebut seperti tidak dipedulikan China kerana tampaknya saat ini kehadiran Rusia dan diplomatnya menjadi keutamaan.


Apa yang dinyatakan di atas bukanlah satu andaian tetapi kenyataan yang disokong oleh fakta semasa. Menurut tinjauan yang dijalankan oleh akhbar Global Times China, majoriti rakyat China lebih menghargai hubungan negara mereka dengan Rusia berbanding hubungan dengan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Akhbar tersebut juga melaporkan, ini adalah kali pertama dalam 15 tahun hubungan China-Amerika Syarikat tidak menduduki senarai teratas dalam hubungan penting dua negara dalam tinjauan tahunan yang dilakukan akhbar tersebut.

Sebenarnya telah wujud beberapa jenis pakatan dan kerjasama erat di antara Rusia dan China. Hakikatnya rakyat China telah menyedarinya dan menyokong usaha kerajaan mereka ke arah intergrasi yang lebih besar samada ekonomi, politik dan geostrategik antara China dan Rusia di mana menunjukkan ia adalah pakatan tidak formal dan berpotensi menjadi rasmi adalah strategi jangka panjang untuk kedua-dua buah negara.

Kecenderungan permusuhan Amerika Syarikat terhadap China dilihat oleh rakyat China sebagai satu perkara yang tidak boleh ditoleransi sama sekali di mana China sudah hilang kepercayaan terhadap Amerika Syarikat dan sistem politiknya, Hampir 66 peratus rakyat China tidak dapat menerima sistem demokrasi Amerika Syarikat dan percaya bahawa kekuatan demokrasi Amerika Syarikat telah merosot dengan begitu ketara sekali.

Ironinya, sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat turut berkongsi pandangan sama tentang kesuraman sistem demokrasi di negara mereka sendiri sebagaimana menurut tinjauan yang dilakukan oleh Pew Research Centre pada tahun 2019 dan sekali lagi dilakukan tinjauan sama pada tahun 2021 oleh Michigan Public Policy Survey.

Kesuraman dan ketidakpercayaan ini semuanya membawa kepada  dua kemungkinan dan kesimpulan, pertama, rakyat China tidak akan mendesak sistem demokrasi ala Amerika Syarikat digunapakai di negara mereka dalam masa terdekat dan keduanya, kepercayaan China terhadap Amerika Syarikat tidak bergantung kepada parti mana yang mengawal Rumah Putih mahupun Kongres.

Walaupun pandangan negatif China terhadap Amerika Syarikat cukup jelas, China tetap berharap perpecahan yang sedang berlaku dalam Kesatuan Eropah akan memberikan kelebihan kepadanya dari sudut ekonomi dan politik sekaligus mampu memberikan pertumbuhan dan kelebihan strategik terhadap China di Eropah.

Keadaan ini menawarkan China dan Rusia satu lagi kerjasama yang berpotensi besar kerana Rusia amat berminat untuk mengembangkan ekonominya ke pasaran Eropah dengan menggunakan projek bekalan gas asli Nord Stream 2 yang baharu sahaja disiapkan.

Eropah saat ini sedang menghadapi krisis kekurangan bekalan gas asli yang agak kritikal nampaknya berbelah bahagi sama ada mahu membenarkan Rusia membekalkan gas dalam skala yang lebih besar kerana ia secara tidak langsung akan memberikan Rusia kelebihan geostrategik di samping menguasai keperluan tenaga Kesatuan Eropah.

Jerman ketika ini menerima satu pertiga daripada keperluan gas aslinya daripada Rusia melalui Nord Stream 1 bimbang jika membenarkan Nord Stream 2 beroperasi akan menyebabkannya terlalu bergantung kepada bekalan gas asli daripada Rusia. Dengan tekanan kuat daripada Amerika Syarikat, Jerman dilihat terperangkap samada mengekalkan penerimaan gas Rusia untuk perkembangan ekonominya ataupun menerima tindak balas Amerika Syarikat.

Bagi meredakan tindak balas Amerika Syarikat, Jerman pada 16 Disember tahun lalu memberi amaran kepada Rusia bahawa ia akan menyekat saluran paip gas baharu Nord Stream 2 jika Rusia menyerang Ukraine. Namun ramai penganalisa geopolitik berpendapat Jerman tidak mampu berbuat demikian kerana ia akan mengundang padah kepada ekonominya.

Dalam masa sama, Amerika Syarikat melihat dengan serius perkembangan strategik Rusia dan China ke arah Eropah dan melihat ia sebagai satu ancaman besar. Menurut EUROSTAT, satu badan kajian data dan statistik Kesatuan Eropah, pada tahun 2020 China mengatasi Amerika Syarikat sebagai pengimport terbesar Eropah di samping menjadi rakan kongsi eksport ketiga terbesar.

Menurut Majalah Nature, sebahagian besar negara Eropah bergantung kepada bekalan gas asli daripada Rusia dengan Kesatuan Eropah dianggarkan mengimport 40 peratus keperluan gas aslinya daripada Rusia. Dalam menghadapi perubahan realiti yang sangat ketara ketika ini, Amerika Syarikat nampaknya seperti sudah tiada pilihan.

Dalam Sidang Kemuncak Demokrasi yang ditunjangi oleh Amerika Syarikat pada Disember tahun lalu, Amerika Syarikat kelihatan seperti terdesak untuk mendapatkan perhatian negara-negara dunia berbanding tujuan asal sidang kemuncak tersebut iaitu untuk meraikan demokrasi dalam kalangan negara-negara dunia.

111 negara mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tersebut termasuk negara haram Israel dan Ukraine namun China dan Rusia tidak dijemput menyertainya. Ini adalah kerana tujuannya untuk mengisolaskani kedua-dua negara tersebut dari pentas utama dunia dalam langkah terkini sikap dan politik hegemoni Amerika Syarikat.

Persidangan tersebut ternyata adalah sia-sia kerana sebenarnya Amerika Syarikat tidak berada dalam kedudukan yang sepatutnya untuk memberikan pengajaran tentang demokrasi kepada mana-mana negara dan kepada sesiapa pun sebenarnya.

Insiden cubaan “rampasan kuasa“ di Capitol Hill, Washington DC pada 6 Januari 2021 oleh ribuan warga Amerika Syarikat yang berhaluan kanan yang dianggap seperti militia oleh sesetengah pihak ditambah dengan pelbagai tinjauan pendapat dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat membuktikan ketidakpercayaan tinggi rakyat Amerika Syarikat terhadap institusi demokrasi negara mereka sendiri serta berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah Amerika Syarikat.

Ketika Amerika Syarikat terdesak dengan mempelbagaikan taktiknya di samping pelbagai sekatan yang dikenakan tidak langsung mendatangkan kesan, Rusia dan China terus bertambah akrab dan saling berkerjasama dalam pelbagai bidang malah kedua-dua negara tidak sedikitpun gentar dengan kekuatan tentera Amerika Syarikat mahupun pergerakan serta pengembangan tentera NATO di timur Eropah.

Untuk menolak kemungkinan pengembangan tentera NATO, tentera Rusia telah digerakkan secara aktif di pelbagai wilayah di sempadan baratnya. Tentera China pula telah memberi amaran secara tegas bahawa sebarang percubaan oleh Amerika Syarikat dengan tujuan untuk mengubah imbangan kuasa di Selat Taiwan akan menerima tindakbalas ketenteraan secara serta merta.

Perikatan Rusia-China sebahagian besarnya bertujuan untuk mempertahankan kepentingan serantau dan antarabangsa kedua-dua negara yang semakin berkembang pesat. Dalam kes China, ia adalah negara utama kepada pakatan ekonomi terbesar di dunia iaitu The Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang dimenterai pada 1 Januari 2022 di mana ia meliputi perdagangan dan pasaran global untuk kira-kira 30 peratus penduduk dunia.

Rusia juga beroperasi berdasarkan pelbagai kerjasama dan pakatan serantau serta antarabangsa seperti pakatan ketenteraan Collective Security Treat Organization (CSTO) yang kini terlibat dalam operasi tentera pengaman di Kazakhstan. Dari Syria di Timur Tengah, Venezuela di Amerika Selatan dan Mali di Afrika Barat, pengaruh ketenteraan Rusia semakin meningkat di dunia di mana pada September 2021, Rusia menandatangani perjanjian ketenteraan dengan dua negara utama Afrika iaitu Nigeria dan Ethiopia yang dilihat sebagai mencabar penguasaan tradisional Amerika Syarikat dan Perancis di benua Afrika.

Secara tidak rasminya, Rusia dan China sebenarnya sudah beroperasi mengikut model serantau dan antarabangsa sebagaimana Pertubuhan Perjanjian Warsaw, sebuah pakatan yang sudah tidak berfungi yang ditubuhkan ketika era perang dingin (1955-1991), sebuah pakatan politik dan ketenteraan antara Rusia dan negara-negara Eropah Timur yang bertujuan untuk mengimbangi pengaruh NATO yang diketuai Amerika Syarikat.

Sejarahnya, Rusia dan China mempunyai hubungan pasang surut sejak dari awal abad ke-19 dan kembali akrab bermula pada tahun 1989 seterusnya menjadi bertambah erat sejak kejatuhan Soviet Union. Keakraban tersebut dilihat ketika ini apabila Rusia dan China kerap kali mengadakan latihan ketenteraan secara bersama untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan dan keselamatan dalam menghadapi seteru mereka yang sama iaitu Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Secara bersendirian, Rusia tidak mampu menandingi Barat. Begitu juga China, walaupun mempunyai ekonomi yang cukup besar dan kukuh, masih tidak mampu memainkan peranan geopolitiknya tanpa berkerjasama dengan Rusia. Kedua-dua negara mampu memperolehi manfaat besar dengan membina kerjasama dan pakatan alternatif kepada pakatan ekonomi, politik dan ketenteraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat bermula dengan NATO.

Keperluan untuk kerjasama dan pakatan antara Rusia dan China akan menjadi lebih bermafaat dengan pelbagai peluang turut muncul di samping kelemahan penguasaan politik yang semakin meningkat di Amerika Syarikat sendiri, keretakan hubungan Amerika Syarikat-Kesatuan Eropah dan juga kelemahan NATO yang dilihat semakin goyah.

Turki sebagai contoh, walaupun ahli NATO tetapi secara bersendirian telah meneroka pakatan geopolitiknya sendiri di luar paradigma NATO. Di saat ini, Turki sudahpun mengukuhkan hubungannya dengan Rusia dan China dalam pelbagai bidang. Negara- egara lain seperti Iran dan pelbagai negara Amerika Selatan yang menjadi sasaran Amerika Syarikat kerana enggan mengikuti garis politiknya sedang berusaha mencari pakatan baharu bukan acuan Barat untuk melindungi kepentingan, kedaulatan dan ekonomi mereka.

Walau bagaimanapun masih terlalu awal untuk menakrifkan bahawa pakatan Rusia-China ketika ini hampir menyamai pakatan Warsaw era perang dingin dahulu. Persoalannya, sejauh manakah pakatan Rusia-China mampu menangkis “serangan geopolitik“ Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Berdasarkan keadaan semasa, Amerika Syarikat dan sekutunya sedang berusaha memecahkan kerjasama dan pakatan Rusia-China dengan menghadapi kedua-dua negara satu persatu, Rusia dengan krisis Ukraine dan China dengan krisis Taiwan dan Laut China Selatan.

Namun saat ini, usaha tersebut tidak berhasil dan jika Rusia-China mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan lebih akrab, ia akan membawa masalah besar kepada Amerika Syarikat dan sekutunya serta mampu mengakhiri dominasi Amerika Syarikat ke atas geopolitik dunia.

Sama-sama kita doakan agar dunia senantiasa aman dan dijauhkan daripada peperangan serta malapetaka. Moga-moga Allah SWT memakbulkan doa kita semua.

Islam Memperkukuhkan Umat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 5/2/2022

Tiada ulasan: