05 Februari 2022

Usah kait isu tuntutan royalti dengan politik

 

Foto hiasan.

KOTA BHARU: Mana-mana pihak usah bermain politik dengan membuat kenyataan menolak parti tertentu bagi membolehkan royalti petroleum dibayar kepada Kelantan.

Ini memandang royalti petroleum bukan isu politik, sebaliknya perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975 selepas akta mengenainya diwujudkan pada 1974.


Presiden Pertubuhan Royalti Kelantan (R) Narzi Deraman berkata, tiada kaitan politik dengan tuntutan royalti petroleum kerana ia termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

Katanya pada perjanjian tersebut dengan jelas menyebut bayaran tunai 5 peratus perlu dibuat oleh Petronas kepada kerajaan negeri pada setiap Oktober dan Mac.

“Adalah tidak berkaitan langsung gesaan seorang bekas menteri supaya rakyat menolak PAS pada pilihan raya umum ke-15 bagi membolehkan royalti dibayar kepada Kelantan.

“Kita tidak boleh sempitkan isu royalti dengan politik kerana ia merupakan dokumen perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru bekas menteri yang sering keluar masuk parti Dato Zaid Ibrahim pada kenyataannya dilapor menggesa rakyat Kelantan menolak PAS jika mahu royalti minyak.

Menurutnya rakyat Kelantan berpeluang menikmati royalti minyak daripada kerajaan pusat sekiranya pentadbiran PAS di Kelantan ditewaskan pada PRU-15.

Malah royalti tersebut dinafikan kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama, biarpun minyak dan gas sudah lama dikeluarkan di perairan Kelantan.

Sebaliknya ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad semasa kerajaan Pakatan Harapan, bantuan khas sebanyak RM400 juta dipercayai hasil petroleum dibayar kepada Kelantan.

Nazri juga berkata, beliau yakin kerajaan negeri dan Pusat pada peringkat rundingan akhir bagi membayar royalti kepada Kelantan.

Menurutnya juga anggaran jumlah royalti tersebut yang terkumpul sehingga sekarang kira-kira RM20 bilion yang perlu dibayar Petronas kepada Kelantan. – HARAKAHDAILY 5/2/2022

Tiada ulasan: