05 Februari 2022

7,500 permohonan ambil pekerja asing ladang sawit diterima

 - Foto hiasan.

- Foto hiasan.

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sejumlah 7,500 permohonan mendapatkan pekerja warga asing bagi sektor perladangan kelapa sawit secara pengecualian khas sejak 28 Januari hingga semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, berkata terdapat juga permohonan yang tidak dapat dipertimbangkan kerana permohonan daripada majikan yang tidak layak menggajikan pekerja warga asing, iaitu syarikat koperasi dan syarikat penyumberan luar.

"Saya juga ingin mengingatkan semua majikan bahawa semua permohonan perlulah diisi sendiri majikan dan tidak menggunakan khidmat mana-mana agensi pekerjaan swasta.

"Perkhidmatan agensi pekerjaan swasta hanyalah sebagai pemudah cara dan tidak boleh membuat permohonan penggajian pekerja warga asing bagi pihak majikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, kementeriannya turut menerima permohonan daripada majikan dalam sektor lain yang mana permohonan cuma akan dibuka mulai 15 Februari ini.

Terdahulu pada 15 Januari lalu, beliau dilaporkan berkata, permohonan secara dalam talian menerusi laman web www.fwcms.com.my bagi pengambilan pekerja asing seramai 32,000 orang untuk kuota sektor perladangan secara pengecualian khas dibuka bermula 28 Januari. - BERNAMA

Tiada ulasan: