07 November 2010

Corak Pakaian Wanita Hui di China

1 Zulhijjah 1431H.

Kaum wanita etnik Hui di China sentiasa memakai tudung kain sutera yang berwarna hijau. Fesyen pakaian dan hiasan kepala wanita etnik tersebut mempunyai keistimewaan yang bersifat etnik dan unsur tempatan yang tebal. Hari ini, kita akan bersama-sama mengetahui pelbagai corak pakaian etnik Hui di China.

Fesyen pakaian yang mempunyai keistimewaan itu telah lama wujud dan telah mengalami perubahan yang besar di Wilayah Autonomi Hui Ningxia China, iaitu kawasan yang didiami oleh penduduk Islam terbesar di China. Menurut sejarah sejak ratusan tahun yang lalu, pakaian etnik Hui telah beberapa kali mengalami perubahan.

Kebelakangan ini, pereka pakaian cuba untuk menambah unsur-unsur moden terhadap pakaian tradisional etnik Hui. Warna, corak dan kualiti pakaiannya semakin diperkayakan.

Kaum lelaki dan wanita etnik ini gemar memakai baju yang bercampur-campur warnanya. Kaum lelaki gemar memakai kopiah berwarna putih, hitam dan merah yang diperbuat daripada kain kapas dan sulaman. Kaum wanitanya pula gemar memakai tudung berwarna hitam, putih dan hijau. Selain warna tersebut, terdapat warna-warna merah dan biru. Kebanyakan tudung kain sutera diperbuat daripada kain kapas dengan reka bentuk tudung yang mengalami perubahan yang besar daripada rekaan tradisionalnya.

Masjid Najiahu terletak di Kaunti Yongning Bandar Yinchuan Wilayah Autonomi Ningxia. Imam muda dari masjid ini memakai kopiah berwarna putih dan sut longgar yang bersih. Kebanyakan jemaah yang bersembahyang juga memakai pakaian seperti itu.

Bilangan penduduk etnik Hui merupakan 84.5% daripada 354 ribu orang penduduk yang tinggal di kaunti Tongxin Wilayah Autonomi Hui Ningxia. Kebanyakan kaum wanitanya yang sudah berkahwin memakai tudung berwarna biru muda dan berpakaian biasa. Kaum lelaki memakai kopiah berwarna putih dan memakai sut longgar. Gadis-gadis etnik Hui pula gemar memakai tudung berwarna putih manakala gadis yang belajar di sekolah bahasa Arab Tongxin memakai jubah labuh.

Pakar penyelidikan fesyen pakaian etnik Hui Akademi Sains dan Sosial Wilayah Autonomi Ningxia, Tao Hong berkata proses perubahan fesyen pakaian etnik Hui adalah selaras dengan proses pertembungan antara budaya Arab dengan budaya China, yang merupakan proses adat resam dan corak pakaian seharian.

Menurut pakar penyelidikan budaya etnik Hui, pembentukan etnik Hui bermula pada penghujung Dinasti Yuan dan pada awal Dinasti Ming. Pembentukan corak pakaian etnik Hui selaras dengan pembentukan etnik Hui. Corak pakaian itu turut dipengaruhi oleh pakaian penduduk etnik-etnik di Asia Tengah dan Asia barat serta gaya pakaian etnik semula jadi, namun begitu corak pakaian etnik Hui tidak bertembung dengan corak pakaian etnik Han, dan keadaan ini diwarisi secara berterusan.

Menurut beliau, sekalipun corak pakaian etnik Hui mengalami perubahan, tetapi pada asasnya perubahan itu tidak ketara. Fesyen pakaian etnik Hui memperlihatkan corak pakaian yang panjang dan ketat. Penduduk tempatan memakai pakaian yang tidak terdedah di kawasan-kawasan yang didiami oleh penduduk etnik Hui yang taat dengan ajaran Islam.

Seramai lebih 2.1 juta orang penduduk etnik Hui tinggal di Wilayah Autonomi Hui Ningxia. Sebuah Muzium fesyen pakaian etnik Hui telah dibangunkan di kaunti Tongxin Wilayah Autonomi Hui Ningxia untuk mengumpul dan melindungi tapak peninggalan sejarah dan warisan budaya fesyen pakaian etnik Hui yang sangat bernilai. CRI/-

Le Bu Si Shu : Terlalu Seronok Hingga Lupa Akan Negeri Shu

1 Zulhijjah 1431H.

Asal Usul:

Peribahasa "Le Bu Si Shu" ini berasal daripada satu cerita yang berlaku pada zaman kerajaan Tiga Negeri (tahun 220-280 Masihi). Menurut ceritanya, setelah raja negeri Shu, iaitu Liu Bei mangkat, takhta baginda telah diwarisi oleh puteranya, Liu Shan. Liu Shan ialah seorang pengecut yang hanya tahu mencari keseronokan sahaja, dan tidak cekap menguruskan negeri. Pada mulanya, dengan adanya bantuan daripada beberapa orang pegawai yang bijak yang sebelum ini merupakan penasihat kepada Liu Bei, negeri Shu masih boleh bertahan. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dengan pemergian mereka seorang demi seorang, negeri Shu semakin hari semakin lemah hingga akhirnya ia ditumbangkan oleh negeri Wei setelah Liu Shan menyerah diri secara sukarela.

Selepas itu, Liu Shan telah diatur untuk tinggal di ibu kota negeri Wei, dan diberi gelaran Anlegong (Tuan Aman dan Gembira). Pada suatu hari, dia telah dijemput ke majlis jamuan di rumah Sima Zhao, seorang hulubalang yang hebat di negeri Wei. Ketika majlis jamuan itu sampai kepada kemuncaknya, Sima Zhao berkata kepada Liu Shan dengan nada menghina,

"Tuan sudah meninggalkan negeri Shu begitu lama. Hari ini, saya telah mengatur persembahan tarian dan nyanyian tradisional negeri Shu khusus untuk tuan. Moga-moga ia dapat membantu mengubati kerinduan tuan."

Persembahan yang diatur oleh hulubalang Sima Zhao itu, benar-benar menjadikan pegawai-pegawai bawahan Liu Shan sangat sedih kerana terlalu rindu akan kampung halaman mereka. Bagaimanapun, Liu Shan masih terus minum arak sambil berbual-bual dengan orang lain dengan gembira. Air mukanya tidak menampakkan sedikit pun perasaan sedih dan rindu. Hulubalang Sima Zhao bertanya dengan hairan.

"Masihkah tuan mahu pulang ke kampung halaman di negeri Shu?"

Liu Shan menjawab, sambil ketawa besar,

"Di sini ada tarian dan nyanyian yang begitu menarik. Ada juga arak yang begitu sedap. Tentulah saya tidak lagi mahu pulang ke negeri Shu."

Maka, selepas jamuan tersebut, hulubalang Sima Zhao serta pegawai-pegawai yang lain di negeri Wei semakin memandang rendah kepada Liu Shan.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Le Bu Si Shu" atau "Terlalu Seronok Hingga Lupa Akan Negeri Shu" ini, digunakan untuk mempersenda orang atau golongan yang hanya tahu mencari keseronokan sahaja hingga lupa akan rumah tangga dan kewajipannya. Ia memberikan pengajaran bahawa dalam apa jua keadaan, kita bukan sahaja tidak patut berhenti daripada mengejar cita-cita, sebaliknya perlu lebih tegas dengan diri sendiri, beraspirasi tinggi, dan berjuang dengan sepenuh tenaga untuk mencapai segala apa yang diaspirasikan. CRI/-

Memilih pemimpin menurut Islam

1 Zulhijjah 1431H.
Oleh : Ust. Salman Maskuri

Pemilihan pimpinan adalah suatu perkara yang penting bagi umat Islam kerana mereka akan membawa hala tuju orang yang di pimpin. Dalam perkara yang kecil pun Islam menyuruh kita memilih pemimpin. Rasulullah saw bersabda:

“ Apabila kamu keluar bermusafir 3 orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi ketua.”

Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik.

TOLAK PEMIMPIN YANG GILA KUASA

Maksud gila kuasa adalah yang inginkan keuntungan dunia disebalik jawatan tersebut. Kepimpinan adalah satu tanggung jawab yang sangat berat dan bukan suatu benda yang harus direbut. Nabi saw bersabda:

“ Demi Allah sesungguhnya kami tidak akan memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak dengannya.”

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

PILIH PEMIMPIN YANG DIREDAI ALLAH DAN RASULNYA

Siapa yang ada kuasa untuk memilih pimpinan dalam apa jua sitiuasi (walau pun sekadar ketua rumah/kelas) ia mempunyai tanggung jawab yang sangat berat kerana kewajipan kepadanya untuk memilih yang paling diredai oleh Allah dan Rasulnya. Kesemua manusia , persatuan, parti dan sebagainya ada membuat kesilapan. Nabi saw sendiri sebagai pemimpin agung juga ditegur secara terang – terangan oleh Allah dalam surah Abasa. Kita hendaklah memilih pemimpin yang kurang kesilapan dan kesalahannya serta lebih disayangi oleh Allah dan Rasulnya. Oleh itu kita wajib memilih pemimpin yang lebih diredai oleh Allah dan Rasulnya. Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki tersebut , sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasulnya dan orang-orang beriman.”

Hadis riwayat Hakim dari Ibnu Abbas.

Ada yang memilih seseorang kerana ia saudaranya , kerana itu rakannya, kerana dia boleh bagi duit banyak, kerana nak kenakan dia, kerana lebih baik rupa paras, kerana lebih kaya, kerana banyak keuntungan dunia dan niat-niat yang lain yang bukan ianya lebih Allah dan Rasulnya redai. SEMUA ITU ADALAH SATU PENGKHIANATAN KEPADA ALLAH, RASUL DAN ORANG-ORANG BERIMAN.

PILIHLA PEMIMPIN YANG MEMBAWA MU KE AKHIRAT

Banyak pemilih-pemilih yang teruja dengan projek-projek dunia yang memuaskan keinganan dunia mereka sedangkan pemimpin itu jarang bercakap tentang akhirat apalagi menggalakkan rakyatnya beramal untuk ke akhirat. Kita semua sudah mengetahui bahawa kehidupan akhirat adalah kehidupan hakiki dan dunia adalah sementara. Oleh itu kita hendak pemimpin yang membawa projek akhirat dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan dunia dari tangan. Pemimpin yang selalu mengingatkan kita tentang akhirat dan pemimpin yang melaksanakan hukuman akhirat. Firman Allah swt:

“ Dan kehidupan akhirat adalah lebih baik bagi kamu dan lebih kekal.”

Ayat 17 surah al-A’la

DUA CIRI UTAMA PEMIMPIN

Nabi saw telah bersabda:

“ Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan dibarat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.”

Hadis riwayat Ahmad daripada Mas’ud bin Qubaisah.

Takwa adalah orang yang menjunjung perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Amanah adalah menguruskan orang bawahannya mengikut al-Quran dan Sunnah bukannya mengikut logik pemikirannya.

MEMILIH PEMIMPIN ADALAH CARA MENEGAH KEMUNGKARAN

Menegah kemungkaran adalah kefarduan utama bagi orang yang ada kuasa , oleh itu diantara kemampuan yang dimiliki oleh rakyat adalah kuasa memilih. Ini juga termasuk apa yang Nabi sebut:

“ Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan kuasanya.”

Hadis sahih Muslim

Diantara kuasa yang ada pada kebanyakan manusia pada hari ini adalah kuasa memilih.Sesiapa yang memilih pemimpin yang tidak Allah redai atau tidak memilih pemimpin sedangkan dia boleh memilih , dia telah mengkhianati amanah Allah, Rasul dan orang-orang beriman seperti dalam hadis yang lepas.

OLEH ITU LARI DARI MEMILIH ADALAH PENGKHIANATAN DAN MEMILIH PEMIMPIN YANG TIDAK ATAU KURANG DEREDAI ALLAH JUGA SATU PENGKHIANATAN.

http://akhisalman.blogspot.com/

Kerajaan perlu berterus terang kesihatan PM

1 Zulhijjah 1431H.

KUALA LUMPUR, 6 Nov: Kerajaan sepatutnya berterus-terang dengan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa.

"Semalam, (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri) Dr Mohd Ismail Merican berkata Perdana Menterii mungkin boleh keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

"Walaupun kita tidak menolak kemungkinan yang dijangkakan oleh beliau, tetapi sebelum ini juga Perdana Menteri dilaporkan pulih agak cepat setelah dilaporkan semakin pulih selepas diberi minum air kelapa dan tempat tidurnya dialas dengan daun bambu.

"Tetapi selepas itu, tiba-tiba dilaporkan Perdana Menteri masuk hospital pula," katanya.

Sebab itulah, kata Husam, kerajaan perlu menyatakan perkara sebenarnya untuk mengelakkan tersebarnya khabar-khabar angin yang tidak sepatutnya.

"Adalah tidak wajar jika rakyat sekali lagi melihat khabar angin akhirnya menjadi cerita benar malah khabar angin juga akan memburukkan pasaran saham," katanya.

Sejak hari pertama Najib dilaporkan tidak sihat, khabar angin telah pun tersebar luas walaupun beliau didakwa menunjukkan respons yang baik kepada rawatan yang diberikan, kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu lagi.

Hubungan kerajaan Kelantan dengan kerajaan Pusat yang dipimpin Najib menjadi semakin tegang tahun ini berikutan tindakan Pusat menyekat royalti minyak kepada kerajaan negeri itu.

Sehingga hari ini pun, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Kelantan termasuk solat hajat dan munajat agar hak negeri itu untuk mendapatkan royalti tidak disekat oleh kerajaan Pusat.

Husam bagaimanapun menolak untuk mengulas perkara itu sebagai ‘menghormati Perdana Menteri yang sedang sakit’.

Isnin lalu, Najib dilaporkan mempunyai penyakit cacar dan telah dinasihatkan oleh doktor peribadinya supaya berehat di rumah.

Presiden Umno itu dilaporkan mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

Harakahdaily/-

Banjir: Selangor sumbang RM100 ribu pada Kedah

1 Zulhijjah 1431H.
Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Okt: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bantuan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali kepada Harakahdaily.

"Saya sendiri akan menyerahkan RM40,000 di pejabat SUK Kedah tengah hari esok sebagai pendahuluan," katanya.

Sementara itu, PAS menganggap kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin satu fitnah apabila mengatakan kerajaan Kedah tidak buat apa-apa terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, tinjauan beliau di kawasan mangsa banjir di mana petugas PAS dan kerajaan negeri bertungkus lumus membantu tanpa mengira ideologi parti dan agama.

Katanya, pihak kerajaan Kedah, pejabat daerah, pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, pihak polis, bekerjasama dengan baik untuk membantu di pusat perpindahan.

Yayasan Amal dan Unit Amal yang dianggotai oleh ahli PAS bercekang mata membantu mangsa banjir dengan tulang empat kerat tanpa diupah.

“Memang ada pusat yang dikendalikan oleh ahli Umno, yang tidak perlulah kita hendak ceritakan bagaimana rungutan mangsa banjir kepada kami.

“Bukan masanya untuk kita hendak mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh pelaku ahli Umno sewaktu mengendalikan pusat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS menasihatkan Muhyiddin janganlah membuat fitnah dan mendengar taklimat daripada ketua cawangan Umno.

“Usahlah berpolitik ketika rakyat ditimpa dengan banjir. Air banjir tidak kenal apa anutan ideologi,” ujarnya.

Mengapa PAS kalah di Galas

29 Zulkaedah 1431H.
Wan Nik Wan Yussof

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

ROSMAH PEMANGKU PM?

29 Zulkaedah 1431H.
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 4 November :- Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewakili Perdana Menteri dalam majlis yang tidak boleh disertainya menimbulkan pelbagai persoalan kini apakah beliau adalah pemangku perdana menteri.

Menurut seorang peguam terkenal, Malik Imtiaz Sharwa, beliau mempersoalkan bukankah sepatutnya timbalan perdana menteri yang mewakili beliau dan kerajaan, dan bukan Rosmah? Atau dia (Rosmah) pemangku PM.

Senario ini telah menjadikan pentadbiran BN semakin pelik, isteri perdana menteri bukan seorang ahli parlimen, adakah Malaysia ini milik najib dan rosmah, kejadian ini sedikit sebanyak membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia ini sememangnya sentiasa “Malaysia boleh” dalam apa jua hal termasuklah juara kejadian pelik dan aneh.

Satu ketika dahulu, jika Datin Seri Dr. Wan Azizah juga dipersoalkan tentang hal yang sama dalam hal “mengganti” DSAI ketika beliau meringkuk dalam penjara, persoalan ini tidak wajar kerana Datin Seri Dr. Wan Azizah bertanding di Parlimen Permatang Pauh dan menang seterusnya layak selaku ahli parlimen, ini suatu yang sememangnya hak beliau untuk berada di posisi pemangku suaminya.

Akan tetapi Datin Seri Rosmah langusung tiada kaitan dengan sebarang jawatan dalam pepimpinan Negara, ahli parlimen juga tidak senator jauh sekali, masih ramai lagi mentari lain jika TPM juga tidak dapat hadir bagi mengganti PM yang berada dalam kondisi kesihatan yang kurang baik.

“Saya mencadangkan beliau (Rosmah) perlu bertanding di mana-mana parlimen terlebih dahulu jika berminat lagi mahu menjadi “pemangku” PM lagi selepas ini,” ujar Drs. Khalil Idham Lim ADUN Titi Serong yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak ketika ditemui di sini.

Saya juga ingin mencadangkan agar beliau (PM) seharusnya peka dengan kewajipan melantik mana-mana menteri bagi mengganti beliau jika sekiranya beliau tidak sihat sekalipun dalam ketidaksanggupan hadir ke manamana jemputan, ini bagi menjaga imej PM Malaysia itu sendiri.

TERBUKTI UMNO/BN MULAI KUAT, ZAMBRY MULA FIKIR UNTUK BUBAR DUN PERAK?

29 Zulkaedah
Oleh: WFAUZDIN NS

"BN telah mantap, rakyat kini menaruh keyakinan terhadap kepimpinan Najib". Itulah petikan dari kata-kata Muhyiddin sebaik sahaja Bn memenangi PRK di Parlimen Bt Sapi dan di Dun Galas. Kemenangan Umno di PRK Dun Galas dengan majoriti yang besar menewaskan calon PAS tentunya membanggakan Muhyiddin. Tahniah buat PAS dan PR yang telah berusaha sebaik mungkin di dalam kedua-dua PRK tersebut. Terlebih tahniah juga buat SPR yang `berjaya' kali ini.

Jika benar Bn telah mantap dan rakyat telah kembali menyokong Najib - Rosmah, maka inilah waktu yang sesuai buat `Kerajaan Negeri bukan pilihan rakyat' di Perak untuk dibubarkan agar benar-benar menjadi Kerajaan Negeri yang berdaulat dan demokrasi. Zambry tidak perlu gusar lagi kerana `terbukti' kini Bn telah mantap sebagaimana yang diperkatakan oleh Muhyiddin. Apakah Zambry mulai merasa seronok dengan menduduki `kerusi rompakan' di Pejabat MB Perak sekarang?

Tidak perlu dibimbang lagi kerana terbukti di Galas, undi kaum Cina telah kembali kepada Bn. Undi orang-orang Melayu kebanyakannya akan pergi kepada Umno, kecuali orang-orang Melayu Islam yang belum tentu lagi undi mereka. Jadi, waktu paling bijak untuk Zambry menunjukkan `kejantanan'nya. Mungkinkah Bn berani atau masih lagi was-was tentang sokongan rakyat terhadap mereka? /wfauzdin.blogspot.com

Nik Aziz : Jangan kecewa

29 Zulkaedah 1431H.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta para penyokong dan anggota PAS tidak kecewa berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas .

Sebagai pejuang Islam, mereka tidak patut kecewa dengan keadaan itu yang dianggap sebagai suatu cabaran yang mesti dihadapi, kata Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pada majlis pelancaran kutipan derma untuk membina bangunan tambahan Masjid Mukim Panji di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkifli Mohamad, yang mendapat 4,134 undi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata faktor penglibatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN akan dijadikan salah satu kajian dalam 'post mortem' PAS.

Katanya post mortem itu akan diadakan pada satu mesyuarat Ahad depan bagi mengkaji kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata walaupun pihaknya telah menduga kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu tetapi kemenangan BN dengan memperoleh majoriti besar agak mengejutkan mereka.

Abdul Halim yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa menolak kemungkinan kelemahan dalam pelaksanaan strategi menyebabkan kekalahan PAS itu.

"Kalau mengikut kebiasaan tradisi pilihan raya di Kelantan, kita jangka kalau kalahpun 600 hingga 700(undi) saja, tapi ini sampai 1,000. Ini agak mengejutkan kita," katanya.

GALAS : KENYATAAN MEDIA PAKATAN RAKYAT PERAK

29 Zulkaedah 1431H.

Sekretariat Pakatan Rakyat Perak berpandangan kekalahan PAS di Galas dalam pilihan raya kecil (PRK) semalam tidak akan mematahkan semangat juang yang ada pada semua pejuang dan penyokong parti serta Pakatan Rakyat. Berhubung dengan hal tersebut, Sekretariat Pakatan Rakyat Perak ingin membuat kenyatan media:

1. Pakatan Pakyat Perak mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas PAS dan PR , khususnya mereka yang datang dari Perak, Sesungguh semangat juang yang tinggi dari semua petugas dengan tidak mengenal penat dan lelah serta pengorbanan wang ringgit amatlah dihargai.

2. Saya menyeru semua pihak supaya menerima kekalahan dengan hati terbuka sebagai adat pertandingan. Kita sebenarnya menghadapi jentera kerajaan dan bukannya hanya jentera BN dan UMNO dan ini tidak sepatutnya berlaku dalam amalan demokrasi , PR Perak juga mengingatkan bahawa kita mesti yakin terdapat hikmah di sebalik keputusan yang diterima semalam.

3. Disamping itu saya merasa kesal dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku, antaranya ialah seperti isu berikut :

i. Kejadian kertas undi yang dikeluarkan di pusat pengundian di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Baru, Galas didakwa tidak tercetak lambang parti.

ii. Isu habuan p'raya di DUN Galas : Ratusan beratur untuk mendapatkan RM250 dan Pengarah Pilihan Raya BN Tengku Razaleigh Hamzah bagaimanapun membisu bila diminta respon mengenainya.

iii. Isu SPR membenarkan logo parti memasuki pusat mengundi iaitu sebagaimana yang diulas oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pemilih dibenarkan memasuki pusat pengundian dengan memakai kemeja-T bertulis 1Malaysia.

4. Pakatan Rakyat Perak juga ingin menyeru supaya semua bersiap sedia untuk PRU ke 13yang dijangkakan akan berlaku bila-bila masa dari sekarang, dan Pakatan Rakyat Perak seterusnya menggesa para petugas supaya meningkatkan gerak kerja pilihanraya.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua Sekretariat PR Perak.


Konsep ketaatan kepada pemimpin

29 Zulkaedah 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Maka pada kali ini, marilah kita cuba kupas sedikit mana-mana yang dilihat kurang tepat.

Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59).

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.

قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)

Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, ketaatan kita masih rendah. Kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.

Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.

Tetapi siapa pemimpin sebenar? Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.

Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.

Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, hamba juga pemimpin kepada harta tuannya. Dan setiap seorang itu ada tanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.

Dalam kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Itulah pemimpin yang boleh dinamakan dengan pelbagai gelaran mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.

Ketaatan Tidak Mutlak

Ketaatan kepada pemimpin walaupun tidak mutlak tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahnya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin ini ada syarat yang ditetapkan. Maka ketaatan yang dimaksudkan itu boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan kepada perkara maksiat atau melanggar syariat. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ

Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Sebaliknya ketaatan kepada pemimpin adalah pada arahan yang baik sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:

لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف

Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)

Berdasarkan dua hadis di atas, ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:

1.Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
2.Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
3.Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
4.Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.

Ciri-ciri kebaikan itu jika dirujuk kepada pemimpin negara dan negeri wajiblah kita memberi ketaatan dan jika sebaliknya boleh ditolak. Oleh sebab tidak semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.

Katalah suatu arahan beerbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam kerana menggugat aqidah dan merugikan Islam dan umatnya. Menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahannya. Malah tidak berdosa kita abaikan arahan itu.

Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang lain kita tolak juga.

Peraturan Bukan Menyusahkan

Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat tidak berkait secara langsung dengan ibadah dan Islam. Sebaliknya arahan itu berkaitan dengan kehidupan yang melibatkan rakyat dan pembangunan.

Dalam hal ini kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan, tetapi kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.

Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.

Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, hakikatnya mereka berdosa. Dan setiap yang berdosa ertinya ke neraka.

Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia berdosa.

Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

06 November 2010

Haji: Antara Falsafah, Tokok Tambah Dan Nas

28 Zulkaedah 1431H.
Email : zull mohd

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah ketika menunaikan haji dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ. Para hadirin yang mendengar huraian tersebut ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah tersebut pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia?.

Dia bertanya kepada saya tentang kekeliruannya itu.

Saya berkata syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu, walaupun dia jahat. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong?. Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras. Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’.


Jangan Melampau

Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas terlebih dahulu, tentu dia tidak membuat huraian yang seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn `Abbas, katanya:

“Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-`Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Nabi s.a.w dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana telah mengutip batu-batu yang kecil kerana itu sudah memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran yang patutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para rasul. Dalam ertikata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama. Jika batu-batu yang dilontar di ketiga-tiga jamrah itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil itu. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jamaah haji dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh, yang akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jamaah lain yang cedera.

jamrah.jpg

Gambar Hiasan

Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama ini, hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempunyai latar sejarahnya seperti kisah Ibrahim melontar syaitan, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakannya dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w.

Khurafat

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai berbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumahnya lagi. Percayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah!!. Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jamaah haji sesetengah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga Zam-Zam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya.

kiswah.jpg

Gambar Hiasan

Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya ada di Mekah dengan berbagai peralatan canggih. Mengoyak kelampu tersebut bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat?. Perkara seperti ini jika tidak dikawal Dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka. Sebab itu Saiyyidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah s.a.w dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Tiada Unsur Keberhalaan

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Ka’bah, sebaliknya mereka hanya menghadapkan wajah ke arah Ka’bah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w memohon agar dipilih Masjidil Haram sebagai arah kiblat kaum muslimin. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah untuk kita. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala. Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek atau insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan mengadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjid Haram dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempah yang diperintahkan Allah. Firman Allah:

(maksudnya): Kerap kali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (Surah al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehimgga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji mereka ketika itu, pergi ke negara Qaramitah tersebut. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab r.a. apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata:

“Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hanya Mencontohi Rasulullah

Oleh kerana Rasulullah s.a.w menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sa’i, wukuf dan kesemuanya dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan dengan akidah yang diajar oleh baginda. Jika ini tidak fahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah. Firman Allah:

(maksudnya): “Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah al-Nisa 115).

Berkat Dan Rahmat

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih tersebut. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya merasa lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini untuk dilimpahi rahmatNya di situ melebihi tempat yang lain seperti Mekah dan Madinah, Zam-Zam dan Kaabah, Mina dan Arafah dan seumpamanya. Seperti mana Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmatNya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, Hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji. Maka insan muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehinya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripadaNya sahaja. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Untuk Allah Semata

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancung dan berseronok suka. Firman Allah:

(maksudnya): “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37)

Perjuangan Tauhid

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim a.s. sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun. Firman Allah:

(maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan mereka al-Kitab (Al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Baqarah 127-129)

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi berbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai penderitaan yang lain. Namun, para penerus perjuangan Ibrahim a.s. tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim a.s. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini telah bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya bagi setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jamaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim a.s. mula perjuangannya.

Usaha penubuhan Kaukus Pemuda Partai Islam Se-Asean berjaya

28 Zulkaedah 1431H.
SAFARIZAL SALEH

JAKARTA, 29 Oktober 2010:- Dengan penglibatan dan usaha Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Lajnah Antarabangsa telah berjaya menubuhkan Kaukus Pemuda Partai Islam Se-Asean bersama Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Partai Bulan Bintang, Dewan Pimpinan Pusat Generasi Muda Pembangunan Indonesia Partai Persatuan Pembangunan dan juga Dewan Pimpinan Pusat Pemuda Partai Kebangkitan Nasional Ulama.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Malam Sambat Ka'ban atau MS Ka'ban, Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang di kantor Dewan Pimpinan Pusat Partai Bulan Bintang, Jakarta. Serentak dengan itu juga diadakan Latihan Kepimpinan secara bergerak disemua parti yang terlibat di Jakarta.

Semua Ketua Umum Dewan Pimpinan Pemuda termasuk Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat hadir sama. Rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat ini turut bersama 20 orang kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang diketuai oleh Zawawi Hassan sebagai Ketua yang turut hadir bersempena lawatan kerja di sana.

Pelbagai pengisian program sempena Latihan Kepimpinan tersebut yang mendekatkan antara Malaysia - Indonesia diadakan. Menurut Dr Raja Ahmad Al-Hiss, Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang mengatakan akan berusaha pula mengembangkan Kaukus ini di negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Pemuda PAS Perak adakan program kebajikan sempena Deepavali

28 zULKAEDAH 1431h.
SAFARIZAL SALEH

LARUT, 3 November: - Dewan Pemuda PAS Kawasan Larut telah menganjurkan program kebajikan bersempena perayaan Deepavali sekali lagi pada tahun ini.

Program kebajikan yang telah disalurkan kepada masyarakat India yang memerlukan berupa barangan dapur telah disediakan oleh Pemuda PAS larut. Serahan telah disempurnakan oleh Salman Saleh, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Turut hadir ialah Mohd Nazri Din, Ketua Pemuda PAS Larut yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Perak. Antara yang hadir sama di dalam majlis tersebut ialah pimpinan masyarakat India Larut.

Seramai 80 orang penerima yang terdiri daripada penduduk miskin di sekitar Larut telah dipilih. Majlis yang telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Larut ini telah menghadirkan juga pekerja-pekerja ladang di situ yang turut bersama untuk mendengar beberapa ucapan pada majlis tersebut.

Majlis yang diadakan bagi meraikan penduduk yang amat memerlukan menjelang Deepavali. Program tahunan ini tidak melupakan mana-mana pihak yang amat memerlukannya terutama menjelang perayaan di dalam negara kita.

Antara program kebajikan yang dilaksanakan di Larut juga ialah tusyen percuma, menjaga kebajikan masyarakat miskin, sumbangan khas untuk orang kurang upaya (OKU), kematian dan berbagai-bagai lagi.

Masyarakat india yang hadir terharu dengan keprihatianan Pemuda PAS Larut kepada mereka dan tidak melupakan mereka dengan meraikan satu majlis jamuan bagi mereka yang turut diadakan.

Aminah binti Wahab (bonda rasulullah s.a.w)

28 Zulkaedah 1431H.

1. Aminah Bonda Rasulullah SAW . eorang wanita berhati mulia, pemimpin para ibu. Seorang ibu yang telah menganugerahkan anak tunggal yang mulia pembawa risalah yang lurus dan kekal, rasul yang bijak pembawa hidayah. Dialah Aminah binti Wahab. Ibu dari Muhammad bin Abdullah yang diutus Allah sebagai rahmat seluruh alam. Cukuplah baginya kemuliaan dan kebanggaan yang tidak dapat dimungkiri, bahawa Allah azza wa jalla memilihnya sebagai ibu seorang rasul mulia dan nabi yang terakhir. Berkatalah Muhammad puteranya tentang nasabnya. "Allah telah memilih aku dari Kinanah, dan memilih Kinanah dari suku Quraisy bangsa Arab.

Aku berasal dari keturunan orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik." Dengarlah sabdanya lagi, "Allah memindahkan aku dari sulbi-sulbi yang baik ke rahim-rahim yang suci secara terpilih dan terdidik. Tiadalah bercabang dua, melainkan aku di bahagian yang terbaik." Aminah bukan cuma ibu seorang rasul atau nabi, tetapi juga wanita pengukir sejarah. Kerana risalah yang dibawa putera tunggalnya sempurna, benar dan kekal sepanjang zaman. Suatu risalah yang bermaslahat bagi ummat manusia.

Berkatalah Ibnu Ishaq tentang Aminah binti Wahab ini. "Pada waktu itu ia merupakan gadis yang termulia nasab dan kedudukannya di kalangan suku Quraisy." Menurut penilaian Dr. Bint Syaati tentang Aminah ibu Muhammad iaitu. "Masa kecilnya dimulai dari lingkungan paling mulia, dan asal keturunannya pun paling baik. Ia (Aminah) memiliki kebaikan nasab dan ketinggian asal keturunan yang dibanggakan dalam masyarakat aristokrasi (bangsawan) yang sangat membanggakan kemuliaan nenek moyang dan keturunannya."

Aminah binti Wahab merupakan bunga yang indah di kalangan Quraisy serta menjadi puteri dari pemimpin bani Zuhrah. Pergaulannya senantiasa dalam penjagaan dan tertutup dari pandangan mata. Terlindung dari pergaulan bebas sehingga sukar untuk dapat mengetahui jelas penampilannya atau gambaran fizikalnya. Para sejarawan hampir tidak mengetahui kehidupannya kecuali sebagai gadis Quraisy yang paling mulia nasab dan kedudukannya di kalangan Quraisy. Meski tersembunyi, baunya yang harum semerbak keluar dari rumah bani Zuhrah dan menyebar ke segala penjuru Makkah. Bau harumnya membangkitkan harapan mulia dalam jiwa para pemudanya yang menjauhi wanita-wanita lain yang terpandang dan dibicarakan orang.

2. KEWAFATAN AMINAH, IBU RASULULLAH SAW Setelah Rasulullah SAW berada di bawah jagaan Halimatus Sa'diyyah selama empat tahun lamanya, anak itu dikembalikan kepada ibunya, Aminah. Menurut adat Arab, setiap tahun Aminah pergi menziarahi ke pusara suaminya dekat kota Madinah itu. Setelah Rasulullah SAW dikembalikan oleh Halimah, tidak berapa lama kemudian, pergilah dia berziarah ke pusara suaminya itu bersama-sama dengan anaknya yang masih dalam pangkuan itu, bersama-sama pula dengan budak pusaka ayahnya, seorang perempuan bernama Ummi Aiman.

Tetapi di dalam perjalanan pulang, Aminah ditimpa demam pula, lalu menemui ajalnya. Dia meninggal dan mayatnya dikuburkan di al-Abwa', suatu dusun di antara kota Madinah dengan Makkah. Anak yang malang itu pindahlah ke dalam gendungan Ummi Aiman. Dialah yang membawa anak itu balik ke Makkah. Anak itu kemudiannya diasuh dengan penuh kasih sayang oleh datuknya 'Abdul Muttalib. Berkata Ibnu Ishak : "Maka adalah Rasulullah SAW itu hidup di dalam asuhan datuknya 'Abdul Muttalib bin Hasyim. Datuknya itu ada mempunyai suatu hamparan tempat duduk di bawah lindungan Ka'bah. itu. Anak-anaknya semuanya duduk di sekeliling hamparan itu. Kalau dia belum datang, tidak ada seorang pun anak- anaknya yang berani duduk dekat, lantaran amat hormat kepada orang tua itu.

Maka datanglah Rasulullah SAW, ketika itu dia masih kanak-kanak, dia duduk saja di atas hamparan itu. Maka datang pulalah anak-anak datuknya itu hendak mengambil tangannya menyuruhnya undur. Demi kelihatan oleh 'Abdul Muttalib, dia pun berkata : "Biarkan saja cucuku ini berbuat sekehendaknya. Demi Allah sesungguhnya dia kelak akan mempunyai kedudukan penting.' Lalu anak itu didudukkannya di dekatnya, dibarut-barutnya punggungnya dengan tangannya, disenangkannya hati anak itu dan dibiarkannya apa yang diperbuatnya."

IBU BAPA RASULULLAH SAW Nasab sebelah bapa : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusaiy bin Kilaab bin Murrah bin Ka'ab bin Luaiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'd bin Adnan. Nasab yang sepakat di antara ahli tarikh hanyalah sehingga Adnan ini saja, ke atasnya menjadi perselisihan. Tetapi sepakat pula ahli tarikh mengesahkan bahawa Adnan itu keturunan Nabi Ibrahim al-Khalil. Yang jadi perselisihan ialah berapa orangkah nenek-nenek Baginda di antara Ismail dengan Adnan itu. Kata setengahnya banyaknya 40 orang, setengahnya pula mengatakan hanya 7 orang. Berkata Abu Abdullah al-Hafiz : "Tentang berapakah bilangan nenek-nenek moyang Rasulullah SAW sejak dari Adnan menjelang Ismail dan Ibrahim itu tidaklah ada suatu riwayat yang muktamad."

3. Nasab sebelah ibu : Muhammad bin Aminah binti Abdul Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Hakim (Kilaab). Di sanalah pertemuan nasab ayahnya dengan nasab ibunya. 1 PERKAHWINAN 'ABDULLAH DENGAN AMINAH Usia Abdul Muthalib sudah hampir mencapai tujuh puluh tahun atau lebih tatkala Abrahah menyerang Makkah dan cuba menghancurkan Ka'bah. Ketika itu umur anaknya, 'Abdullah sudah dua puluh empat tahun, dan sudah tiba masanya dikahwinkan. Pilihan Abdul Muthalib jatuh kepada Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf bin Zuhra - pemimpin suku Zuhra ketika itu yang amat sesuai pula usianya dan mempunyai kedudukan terhormat.

Maka pergilah anak-beranak itu hendak mengunjungi keluarga Zuhra. 'Abdul Muthalib dengan anaknya menemui Wahab dan melamar puterinya. Sebahagian penulis sejarah berpendapat, bahwa mereka pergi menemui Uhyab, bapa saudara Aminah, kerana waktu itu ayahnya sudah meninggal dunia dan dia di bawah asuhan bapa saudaranya.

Lamaran 'Abdul Mutalib itu diterima dengan amat gembiranya oleh keluarga Zuhra. Persiapan pun dibuat untuk melangsungkan hari kebesaran bagi kedua-dua pengantin yang sama padan bagai pinang dibelah dua itu. Pada hari perkawinan 'Abdullah dengan Aminah itu, Abdul Muthalib juga berkahwin dengan Hala, sepupu Aminah. Dari perkawinan ini lahirlah Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW. 'Abdullah bersama Aminah tinggal selama tiga hari di rumah Aminah, sesuai dengan adat kebiasaan 'Arab di mana perkahwinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan.

Sesudah itu mereka pindah bersama-sama ke keluarga Abdul Muthalib. 5 Muhammad Al-Amin, dilahirkan pada hari Senin 12 Rabi'ul awal tahun gajah atau bertepatan dengan tahun 570 Masehi. Terlahir dari Ibu bernama Siti Aminah Binti Wahab dan ayahnya Abdullah Bin Abdul Muthalib, keturunan Bani Ismail, putra Nabi besar Ibrahim as yang dijanjikan oleh Allah, dan sekaligus merupakan kakak dari Nabi Ishak, putra Nabi Ibrahim dari Siti Sarah yang menurunkan Nabi-nabi besar untuk umat Israel.

Sang ayah, Abdullah, meninggal di Yastrib dalam perjalanan berdagangnya, jauh hari sebelum Muhammad dilahirkan. Ketika beliau masih bayi, selain menyusu kepada ibu kandungnya, Muhammad juga pernah disusui oleh Tsuwaibah Al Aslamyah dari Bani Aslam yang juga budak dari Abu Lahab, bersama-sama dengan Hamzah bin Abdul Muthalib pamannya yang sebaya usianya dengan Muhammad, dan selanjutnya menyusu kepada Halimah Al- Sa'diyah, dari Bani Sa'ad yang terletak antara Mekkah dan Thaif yang bersuamikan Abu Zuaib. Sejak dari kandungan ibunya, hingga ia lahir, Muhammad sudah menunjukkan berbagai mukjizatnya sebagai tanda-tanda kenabiannya kelak dikemudian hari. Setelah masa penyusuannya usai, Muhammad kembali kepelukan ibunya, Siti Aminah.

4. Setahun kemudian, Muhammad kecil beserta ibunya dan seorang inang pengasuhnya bernama Ummu Aiman melakukan ziarah kemakam Abdullah, ayah Muhammad dan suami Aminah di Yastrib. Selama satu bulan mereka tinggal di Yastrib dengan menumpang dirumah keluarga mereka dari Bani Najjar. Dalam perjalanan pulang kembali kekota Mekkah, tepat disebuah desa bernama Abwaa', Aminah jatuh sakit dan wafat disana, waktu itu usia Muhammad sudah 6 tahun. Karena jaraknya kekota Mekkah masih cukup jauh, akhirnya jenazah Aminah dikuburkan didesa Abwaa' tersebut dan Muhammad beserta inangnya, Ummu Aiman kembali kekota Mekkah berdua.

Abdullah telah pergi, Aminah pun telah pula pergi setelah keduanya melakukan kewajiban yang diamanatkan kepada keduanya. Anak yang mulia itu kini menjadi yatim piatu seperti kehendak Allah, kehilangan ibu sebagaimana ia telah lebih dulu kehilangan ayah, tidak ada lagi yang akan menolongnya dalam segenap hal selain daripada Allah yang sudah mentakdirkan sekalian takdir.

http://www.slideshare.net/rizam75