18 April 2012

Lima dicekup ceroboh hutan

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Gara-gara menjalankan kerja tanah di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) Puchong tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Selangor, lima pekerja syarikat kontraktor yang dilantik pemaju dicekup manakala empat jentera digunakan dirampas pihak berkuasa itu.

Difahamkan, kerja dijalankan pihak kontraktor dilantik pemaju itu bagi membuat lencongan arah aliran air dari HSAH supaya tidak mengalir ke kawasan perumahan di Bandar Puteri 9 yang sebelum ini pernah dilaporkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

Sinar Harian turut dimaklumkan kontraktor yang menjalankan kerja itu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Selangor), Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kontraktor pemaju terbabit didapati menceroboh kawasan hutan tanpa kebenaran.

Menurutnya, ketika pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, kontraktor pemaju didapati melakukan kerja tanah tanpa pengetahuan pihak jabatan.

“Mereka sudah menolak tanah dan menebang pokok dengan jarak 50 meter malah difahamkan sudah menanam culvert di bawah tanah.

“Kita arahkan kerja dihentikan serta-merta manakala semua mesin dan jentera digunakan disita,” katanya pihaknya kesal kerana pelaksanaan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Jabatan Perhutanan yang menguruskan hutan simpan.

Beliau berkata, tindakan diambil dan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana pihak berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan.

Antara kesalahan dilakukan katanya, termasuk di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 81 kerana menolak dan membersihkan kawasan tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, pemaju berdepan tindakan denda sehingga RM500,000 atau penjara satu hingga 20 tahun. Semua yang ditahan hari ini (semalam) akan ditahan dan diambil keterangan.

“Saya sudah maklumkan kepada MPSJ tindakan diambil berdasarkan prosedur di bawah Akta Hutan Negara dan pihak kami akan membuat kertas makluman kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Yussainy berkata, Jabatan Perhutanan kesal kerana hutan simpan menjadi mangsa untuk menyelesaikan masalah teknikal tanah yang timbul akibat pembangunan pesat.

Isu berkenaan katanya banyak berlaku di tempat lain dan ia juga berikutan ada kawasan tidak sewajarnya diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang oleh majlis tetapi diluluskan sehingga akhirnya menyebabkannya masalah di kemudian hari.

“Apabila timbul isu, aliran air bawah tanah dan sungai dialihkan pula, perkara ini dipandang serius kerana kita tidak mahu hutan jadi mangsa keadaan,” katanya.

Sinar Harian

Australia tamat misi di Afghanistan pada 2013

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY - Kerajaan Australia mengumumkan, pasukan tenteranya akan menamatkan misi ketenteraan di Afghanistan setahun lebih awal, berbanding jadual terdahulu iaitu pada 2014.

Perdana Menteri Australia Julia Gillard, berkata semalam, baki 1,550 tentera Australia di Afghanistan dijangka pulang pada akhir tahun hadapan.

“Ini pengakhirannya, kematian Osama bin Laden dan pegawai-pegawai kanan al-Qaeda mempercepatkan misi ketenteraan antarabangsa di negara itu,“ katanya.

Gillard berkata, tarikh kepulangan kesemua anggota tenteranya akan di cadangkan dalam sidang kemuncak NATO di Chicago pada 20 Mei ini, selain bakal menandatangani perjanjian perkongsian dengan Presiden Afghanistan Hamid Karza.

Difahamkan, tentera Australia ditempatkan di wilayah Uruzgan, di mana mereka dilatih oleh pasukan tentera Afghanistan untuk mengambil tanggungjawab untuk menjaga keselamatan di wilayah.

Sinar Harian

Sudan gelar kerajaan selatan sebagai musuh

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KHARTOUM - Parlimen Sudan menggelar kerajaan Sudan Selatan sebagai musuh dan mendesak untuk merampas semula wilayah pengeluaran minyak yang dipertikaikan, berikutan ketegangan di sempadan semakin memuncak sehingga mencetuskan kembali perang saudara dalam konflik terbaru.

Sudan Selatan yang keluar dari negara Sudan tahun lalu, telah merampas medan minyak Heglig yang menjadi rebutan semalam, sehingga membangkitkan kemarahan jirannya untuk merampas semula dengan apa cara sekalipun.

Kelmarin, ketika mengajukan soalan di Parlimen, speaker Ahmed Ibrahim al-Tahir menuduh parti pemerintah Sudan Selatan, Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan (SPLM) menimbulkan satu ancaman kepada keselamatan terhadap kawasan utara.

“Kami mengisytiharkan untuk berhadapan dengan SPLM sehingga tamatnya undang-undang di selatan dan akan berusaha untuk mengaut kembali sumber-sumber untuk merealisasikan tujuan itu. Perjuangan ini bukan menamatkan pemulihan Heglig, tetapi untuk menamatkan bahaya yang datang dari Selatan Sudan,” katanya.

Menteri Informasi Sudan Selatan, Barnaba Marial Benjamin kemudian menyelar keputusan parlimen dengan menganggapnya sebagai melucukan sambil mempersoalkan pengisytiharan permusuhan jirannya itu.

Sinar Harian

Bayi berkaki enam di Pakistan

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ISLAMABAD - Para doktor di hospital Pakistan kini bertungkus-lumus menyelamatkan bayi yang berkeadaan genetik luar biasa iaitu dilahirkan dengan enam kaki.

Pengarah Institut Kesihatan Kanak-kanak Kebangsaan Karachi, Jamal Raza berkata, bayi berumur tujuh hari itu adalah kembar berparasit di mana, kembar siamnya tidak sempat membesar dengan lengkap sehingga menyebabkan Umar Farooq memiliki dua pasang kaki tambahan.

Kata Raza, pihaknya kini merancang untuk melakukan pembedahan ke atas Farooq dan memerlukan bantuan pakar luar berpengalaman terhadap kes satu dalam sejuta itu.

“Pembedahan ini bukan perkara mudah kerana beberapa taksiran yang sesuai perlu diselesaikan terlebih dahulu. Perkembangan organ dalamannya harus dipantau untuk mengelak sebarang komplikasi terhadapnya,” kata Raza.

Sinar Harian

Sepak isteri hingga kandungan gugur

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada dua anak yang didapati bersalah menendang perut isterinya sehingga keguguran pada Februari tahun lalu, menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen semalam memerintahkannya melakukan kerja-kerja wajib selama empat jam setiap hari bagi tempoh empat bulan.

Tertuduh, Mohd Amran Tullah Salleh, 25, dari Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini, terlepas daripada hukuman penjara setelah Hakim Azman Mustapha mengambil kira fakta mangsa yang juga isteri tertuduh sudah meninggal dunia akibat kemala­ngan­ pada 29 Februari lalu.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, tertuduh mempunyai dua anak yang masih kecil untuk dijaga dan berpendapat tiada kebaikan akan wujud kepada sesiapa sekiranya tertuduh dihantar ke penjara.

“Sebaliknya ia akan memudaratkan anak-anak Mohd Amran Tullah yang baru sahaja kehilangan ibu mereka sekiranya terpaksa pula berjau­han­ dengan bapa.

“Atas sebab itulah, saya mengguna pakai peruntukan Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 dan menggantikan hukuman penjara yang sepatutnya dijatuhkan ke atas Mohd Amran Tullah dengan perintah supaya dia hadir setiap hari di Pusat

Kehadiran Wajib daerah Kuala Terengganu selama empat jam setiap hari selama empat bulan untuk melakukan kerja-kerja wajib,” katanya.

Bagi memastikan Mohd Amran Tullah mematuhi peruntukan dalam Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954, Azman memerintahkan supaya dia memasuki bon berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Mohd Amran Tullah Salleh berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan keguguran dengan tiada kerelaan dengan menendang perut isterinya, Siti Aishah Alias Saa, 23, yang mengandung tiga bulan selepas berlaku satu pertengkaran.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, di sini, kira-kira jam 10 malam pada 5 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Ramlan Taib.

Sinar Harian

Gempa bumi sederhana landa Sumatra Utara

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda pantai barat Sumatra Utara pada pukul 3.45 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata gempa itu berpusat di 367km barat daya Simeulue, Indonesia dan 845km barat daya Kampar, Perak.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata kenyataan itu.

Sinar Harian

Maut disebelah isteri

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG- Seorang isteri tidak dapat menahan sebak apabila suaminya meninggal dunia di sebelahnya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, Zamroh Che Omar, 43, dia tidak sempat mengajar mengucap pada arwah suaminya, Mohd Sudin Seman, 55, yang meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

Dalam kemalangan itu, Zamroh bersama anak perempuannya, Nur Fatin Amlina, 4, cedera parah dan menerima rawatan awal di Hospital Gua Musang (HGM) sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK).

Kejadian itu berlaku ketika sekeluarga tersebut dalam perjalanan dari bandar ini ke rumahnya di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Pahang sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda datang dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Lipis ke Gua Musang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zamroh, sebelum kejadian, dia telah menjerit kepada arwah suami supaya keluar dari laluan jalan berkenaan berikutan ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berpusing beberapa kali kerana terbabas semasa menuruni bukit.

”Belum sempat saya habis menjerit kenderaan pacuan empat roda tersebut merempuh kereta kami menyebabkan kami semua tersepit ditempat duduk masing-masing.

”Pada mulanya arwah masih lagi bernyawa walaupun dalam keadaan berlumuran darah, namun meninggal dunia beberapa minit kemudian hingga tidak sempat saya mengajar mengucap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan, Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan itu dan siasatan sedang dijalankan.

Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya awal pagi semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentara Baru, Merapoh, Pahang.

Sinar Harian

Lebih 100 pelajar perempuan Afghan 'diracun'

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KABUL - Lebih 100 pelajar perempuan di timur laut Afghanistan dimasukkan ke hospital semalam selepas minum air di sekolah mereka, dipercayai dibubuh racun, yang turut dikaitkan dengan protes mereka mengikuti persekolahan.

Pengarah Kesihatan Takhar dipetik BBC berkata, pelajar-pelajar itu jatuh sakit sejurus selepas minum air di sekolah tersebut.

Seorang pegawai pelajar di Kabil memberitahu bahawa siasatan awal menunjukkan air di sekolah itu telah diracun.

Malah menurut laporan itu, memetik seorang pegawai dari Takhar, kejadian itu dikaitkan dengan pendirian sesetengah penduduk kawasan tersebut yang membantah pendidian bagi kaum wanita.

"Saya rasa elemen-elemen radikal yang membantah budak perempuan ke sekolah bertanggungjawab atas kejadian ini," kata Gabenor Wilayah Takhar, Mohammad Hussain dipetik AFP.

Kejadian yang sama dilaporkan sebelum ini tetapi tiada bukti kukuh berkenaan dakwaan sedemikian.

Kanak-kanak perempuan diharam dari pergi sekolah ketika pentadbiran Taliban, yang digulingkan menerusi tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Seramai 40 pelajar perempuan dirawat dan telah dibenarkan pulang, tetapi 100 lagi termasuk guru wanita masih dirawat di hospital.

Sampel air telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisis.

Seorang pegawai juga berkata mereka telah menuntut agar diadakan satu siasatan penuh. Kebanyakan mangsa berusia antara 14 hingga 30 tahun.

Sinar Harian

Separuh akhir Liga Juara: Bayern atasi Real Madrid 2-1

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JARINGAN Mario Gomez pada minit-minit terakhir dalam perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia) membolehkan Bayern Munich memperoleh kemenangan dramatik, sekali gus mencerahkan peluang kelab itu untuk melangkah ke peringkat akhir Liga Juara-juara, bulan depan.

Susulan gol Frank Ribery pada minit ke-17 menjadikan Bayern mendahului pada babak awal perlawanan.

Bagaimanapun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila jaringan Mesut Ozil membolosi gawang lawan untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada separuh masa kedua perlawanan.

Bayern yang menguasai sebahagian besar perlawanan terus berusaha untuk mencipta jaringan, akhirnya ia berhasil apabila tandukan Mario Gomez pada minit ke-90 menyumbangkan gol kedua untuk menewaskan pasukan terhebat dunia, Real Madrid 2-1.

Ia kekalahan pertama Real Madrid pada musim ini.

Real Madrid yang mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun gagal digunakan dan terpaksa akur apabila tewas di tempat lawan.

Bayern akan bertandang ke Stadium Estadio Santiago Bernabéu dalam pertemuan kedua persaingan separuh akhir Liga Juara-juara, Khamis depan.

Sinar Harian

Dapat juga saya jumpa Tok Guru – Bob Kuman

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 18 April: “Dapat juga saya jumpa Tok Guru,” kata Bob Kuman tatkala menerima kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, malam tadi.

Tuan Guru Abdul Hadi dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.

“Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya,” kata Bob sayu sewaktu Tuan Guru memasuki biliknya di apartmen Salvia.

Bob atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi memberithau arwah ayahnya telah mewakafkan sebuah rumah untuk dijadikan markas PAS di kampung di Negeri Sembilan.

Beliau menunjukkan gambar arwah ayahnya kepada Tuan Guru yang disimpan di dalam laptopnya. (Gambar)

“Saya tak minta,” kata Bob sewaktu Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghulurkan sumbangan daripada ahli jemaah dan pihak masjid.

Walaupun kunjungan itu hanya seketika sahaja, namun Bob Kuman yang teruja dengan kehadiran Presiden PAS meminta supaya mendoakan agar kesihatannya bertambah baik.

Ustaz Abdul Hadi menasihatkan Bob Kuman supaya banyak bersabar dengan musibah yang dihadapi itu.

Menurutnya, setiap musibah yang merupakan ujian daripada Allah itu akan menghapuskan dosa dan diberikan pahala di atas kesabaran menghadapinya.

Harakahdaily dalam laporan sebelum ini memetik tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman.

Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.

“Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan,” bisiknya kepada penulis blog itu.

Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah.

Kepada pembaca yang ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016-2315812. Manakala akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI, Maybank 112371007047)

Harakah Daily

MCA ketar pemimpin utama DAP bertanding di Johor

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 April: Walaupun masih di peringkat khabar angin, MCA sudah menggeletar ketakutan apabila sebilangan pemimpin popular DAP akan meninggalkan kerusi selamat mereka dan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Akhbar Sin Chew pada 16 April melaporkan bahawa terdapat desas-desus penasihat DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang akan bertanding di Johor sebagai langkah strategik untuk menumbangkan kubu kuat Barisan Nasional di negeri selatan itu.

Selain itu, laman web The Malaysian Times turut melaporkan perkara yang sama bahawa Lim kemungkinan besar bertanding di Kulai atau Labis, kedua-dua kerusi MCA yang kini disandang bekas presiden MCA Ong Ka Ting dan anak presiden kepada presiden MCA kini, Chua Tee Yong.

Bukan itu sahaja, ahli parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan yang digeruni di parlimen dan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching turut dikatakan akan bertanding di Johor atas faktor keluarga. Suami Fong adalah setiausaha DAP Johor, Tan Chen Choon manakala Teo sememangnya berasal dari Batu Pahat.

Perkembangan ini telah menakutkan MCA dan sebagai langkah awal, MCA Perak telah mengganggap khabar angin itu seolah-olah betul dan mengeluarkan kenyataan mengecam hasrat para pemimpin DAP terbabit walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mereka untuk mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di Johor.

“Laporan di Sin Chew Daily (16 Apr 2012) bahawa pemimpin DAP Lim Kit Siang telah berkata bahawa beliau akan bertanding kerusi di Johor pada pilihan raya umum yang akan datang dan DAP secara semula jadinya mempunyai sokongan berterusan daripada rakyat tanpa mengira keadaan adalah bukti keangkuhan mereka.


"Mereka telah mengambil ringan sokongan pengundi dan menganggap pemikiran rakyat sebagai permainan kanak-kanak. Ia adalah jelas bahawa DAP merasakan bahawa rakyat berkewajipan untuk menyokong mereka dalam mana-mana bahagian yang mereka bertanding dalam pilihan raya umum,” kata Setiausaha MCA Perak Datuk Tan Chin Meng dalam satu kenyataan.

Tan turut menyelar DAP, yang dikatakan lupa diri selepas kejayaan padai pilihanraya umum ke-12, dan mula menunjukkan belang dengan menganggap diri mereka boleh menang mudah di mana-mana kerusi yang mereka ingin bertanding.

Tan berkata pemimpin DAP yang digembar-gemburkan ingin bertanding di Johor tidak pernah menyumbangkan apa-apa di negeri itu tidak layak bertanding di Johor.

“Saya berharap rakyat Johor akan berfikir tentang ini dengan sebaiknya. Pengundi hari ini lebih bijak. Rakyat akan memberikan sokongan kepada mereka yang pernah berkhidmat pada negeri dan bukannya kepada selebriti ahli politik yang hanya bertindak apabila ada isu hangat,” kata beliau.

Para penganalisa politik Harakahdaily berpendapat langkah yang diambil DAP itu adalah amat wajar diteliti kerana Umno Johor mula goyah dengan kepulangan naib presiden PAS Salahuddin Ayub, yang mengesahkan akan bertanding di Johor kali ini.

"Jika ada dua tiga lagi jeneral perang daripada PAS dan PKR turut mengikuti jejak DAP untuk bertarung di Johor, BN akan terasa betul-betul terancam pada PRU13 kerana sekiranya Johor jatuh kei tangan Pakatan Rakyat, kemungkinan besar Putrajaya juga akan terlepas daripada tangan Umno," kata mereka.

Harakah Daily

Ibu terjebak dadah serah diri untuk pemulihan

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Demi masa depan empat anaknya, seorang ibu tunggal sanggup menyerah diri di Balai Polis Pasir Gudang untuk dihantar ke pusat pemulihan dadah.

Walaupun menyedari tindakannya bakal 'kehilangan sementara' empat anak yang disayangi, Aleesya (bukan nama sebenar) nekad kerana memikirkan masa depan mereka sekeluarga.

Aleesya berkata, hidupnya mula terjebak dengan dadah melalui pengaruh rakan-rakan sejak lapan tahun lalu sekadar ingin mencuba dan berhibur.

Menurutnya, daripada sekadar berhibur, akhirnya aktiviti bersama rakan-rakan itu menjadi tabiat dan kegemaran sehingga kehilangan pekerjaan dan pendapatan untuk menyara keluarga.

“Sudah hampir setahun saya tidak bekerja kerana ketagih dadah. Saya sudah banyak kali berusaha untuk berhenti daripada menagih dadah, tetapi tidak berjaya kerana pengaruh rakan.

“Kali ini, saya betul-betul nekad hendak berubah walaupun saya sedar bakal kehilangan anak-anak kerana begitu terharu dengan pencapaian pelajaran anak-anak di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Aleesya berkata, sekurang-kurangnya apabila anak-anaknya yang berumur lima hingga sembilan tahun ditempatkan di rumah kebajikan, mereka ada masa depan dan keselamatan lebih terjamin.

Menurutnya, walaupun ada lelaki yang mengajaknya berumah tangga, tetapi itu bukan jalan penyelesaian selagi tidak timbul kesedaran dari hati untuk berubah.

“Saya tidak mahu anak-anak mengikut jejak saya. Saya mahu mereka hidup sempurna dan mendapat pelajaran yang baik agar mereka boleh membela nasib saya pada masa depan.

“Saya tidak kisah walaupun ditempatkan di pusat pemulihan dadah selama dua tahun asalkan saya dapat berubah dan boleh memulakan hidup baru bersama anak-anak,” katanya.

Aleesya turut menitipkan nasihat buat remaja agar tidak mudah terjebak dengan dadah kerana permulaan yang diharapkan boleh menggembirakan akan berakhir dengan penderitaan.

Difahamkan, keempat-empat anaknya telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah Aleesya menyerah diri semalam.

Sinar Harian

Dipukau bomoh, dipercayai anaknya dibawa lari

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kepercayaan diberikan mengundang padah apabila seorang lelaki mendakwa dirinya seorang pengamal perubatan tradisional dipercayai telah membawa lari seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari rumah seorang ahli perniagaan sejak 7 April lalu.

Bukan sahaja remaja tersebut dibawa lari, malah wang sebanyak RM10,000 milik ahli perniagaan tersebut lesap secara beransur-ansur sejak mengenali lelaki terbabit sejak lima bulan lalu.

Remaja terbabit, Balvin Kaur Raghbir Singh dipercayai mengikut lelaki berusia 53 tahun dikenali dengan nama Ravi dan anak perempuannya, Sri dalam lingkungan usia 25 tahun dari rumahnya, Lorong Bukit Setongkol 4, Taman Fairmount di sini pada hari tersebut kira-kira jam 12 tengah hari.

Bapa mangsa, Raghbir Singh Sulakhan Singh, 44 ketika dihubungi memberitahu, dia mengenali lelaki tersebut di kebun milik rakannya di Simpang Panching Utara sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, lelaki tersebut dipercayai tinggal di belakang kebun terbabit dan selalu datang ke rumahnya.

“Lelaki itu memberitahu anak saya terkena buatan orang dan menawarkan diri untuk mengubatinya. Namun di sebaliknya, dia berjaya memujuk anak saya mencuri wang saya secara beransur-ansur dan seperti dipukau saya juga menyerahkan kereta kepadanya,” dakwanya.

Katanya, kira-kira enam hari kejadian itu berlaku, lelaki tersebut ada menghubunginya dan memberitahu keretanya ada ditinggalkan di Sepang dan menafikan membawa anaknya bersama namun mendakwa Balvin ada di negara jiran, Indonesia.

“Saya pernah pergi ke Seremban selepas menerima maklumat anak saya dijumpai bersama seorang lelaki dan bila diteliti, ciri-cirinya hampir sama seperti lelaki tersebut,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media di sini semalam, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan meminta kerjasama orang ramai untuk membantu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang terjumpa dan mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan K Murugesu di talian 09-5652222 dan 012-9003661.

Sinar Harian

Sendayu Tinggi nafi jual produk berbahaya

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. menafikan sekeras-kerasnya syarikat itu terlibat dalam pembuatan produk minuman pelangsing membahayakan pengguna.

Pengarah Urusannya, Rozita Ibrahim berkata, tindakan berkenaan tidak mungkin dilakukan syarikat itu kerana mereka tidak mahu merosakkan nama baik syarikat yang dibina selama ini.

“Apa yang berlaku ujian daripada ALLAH SWT. Selama 16 tahun Sendayu Tinggi bertapak dalam industri ini, tidak mungkin kami sendiri akan rosakkan nama baik syarikat yang bersusah payah dibina.

“Sia-sia sahaja jika kami buat perkara demikian semata-mata mahu melariskan produk bernilai RM44 sahaja,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memohon maaf terutama kepada pengguna dan penyokong setia produk Sendayu Tinggi.

“Semua formulasi produk Sendayu Tinggi daripada saya, namun, bukan kepakaran saya untuk memilih indikasi bahan mentah bagi membuat produk itu.

“Kami telah melantik ejen pembekal pakar dan memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengambil formulasi bagi mencari bahan mentah tersebut,” katanya.

Rozita berkata, beliau bersyukur apabila pihak pembekal pakar pemakanan itu tampil memohon maaf atas kejadian berlaku.

“Saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku dan kita tidak akan melakukan tindakan yang tidak masuk akal dengan meletakkan Sibutramine ke dalam produk minuman pelangsing tersebut.

“Buat sementara waktu, syarikat terpaksa membekukan jualan produk terbabit sehingga siasatan dijalankan Kementerian Kesihatan selesai dua minggu lagi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan­ bahawa produk lain syarikat itu yang berada di pasaran tidak merbahaya dan selamat digunakan.

“Kita hanya membekukan jualan­ produk terbabit sahaja ekoran siasatan Kementerian Kesihatan. Pengguna setia Sendayu Tinggi boleh mendapatkan produk lain syarikat di pasaran.

“Selepas ini, Sendayu Tinggi akan membuat analisis dan penyelidikan lebih terperinci ke atas produk yang akan dikeluarkan walaupun telah melantik pembekal seperti pakar pemakanan dan produk,” katanya.

Rozita turut memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan produk minuman pelangsing itu telah disabotaj individu tidak bertanggungjawab bagi memburukkan reputasi syarikat miliknya.

Sementara itu, wakil pembekal pakar pemakanan produk itu, Naziera Jaafar turut hadir untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Sinar Harian

Denda RM400 cedera mak nyah

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang pemuda didenda RM400 selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada seorang mak nyah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Muhamad Shafiq Isa, 20, dari Lorong Sungai Isap, Taman Murni di sini, didapati mencederakan mangsa berusia 30 tahun di hadapan Ambank, Jalan Haji Abd Aziz di sini, kira-kira jam 5 pagi, 8 April lalu.

Sebelum itu peguam belanya, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, meminta hukuman ringan memandangkan ia kesilapan pertama dan Shafiq hanya bekerja sebagai pekerja kedai makan dengan pendapatan RM20 sehari.

Menurutnya, Shafiq tidak matang ketika melakukan perbuatan tersebut dan sudah kesal dan insaf atas perlakuannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Mohd Ali, meminta agar Shafiq dikenakan hukuman setimpal memandangkan kejadian berlaku di tempat awam dan menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah mengenakan penjara selama seminggu jika denda gagal dibayar. Shafiq membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, mangsa telah diserang Shafiq dan dipukul menggunakan besi yang menyebabkan mangsa luka di betis, kaki kanan dan kiri.

Anggota polis berjaya menahan Shafiq 30 minit kemudian dan merampas sebatang besi kunci pendua dan motosikal Honda EX5 yang digunakan Shafiq.

Dalam satu kes, beberapa mak nyah diserang enam lelaki, dipercayai anggota Geng Anti Mak Nyah, di lokasi sama menggunakan besi, topi keledar dan rantai besi, menyebabkan kecederaan di kepala, badan dan lengan.

Kes serupa berlaku pada 5 Mac lalu membabitkan seorang mak nyah separuh mati dibelasah dengan batang besi oleh empat lelaki ketika keluar membeli sarapan di sebuah restoran di lokasi sama.

Sinar Harian