07 Oktober 2008

Hari Raya dijalanraya.

Saya memikirkan hendak paparkan gambar kesesakan di jalanraya semasa saya pulang berHari Raya di Kelantan Jumaat dan Sabtu lepas namun tajuknya rasa tidak ada yang sesuai sehingga didini hari ini saya terfikir judul yang paling layak ialah "beraya di jalan raya".

Beginilah keadaannya setiap kali kami pulang berHari Raya di Kelantan. Tahun lepas misalnya, kami terperangkap berjam-jam dalam perjalan balik ke Perak dari Bandar Kota Bharu menuju ke Pasir Mas. Tidak salah ingatan saya kami berada dalam susunan kereta dari jalan Wakaf che yeh ke Jambatan Pasir Mas hampir 2 jam. Kami mengambil jalan pintas dari Pasir Mas ke Rantau panjang dan keluar di Panglima Bayu. Namun jalan itu juga sesak dengan deratan kenderaan.

Bila dihitung dari bulan ke bulan berapa nombor pendaftaran yang dikeluarkan oleh JPJ Kelantan sahaja, wajarlan kenderaan tahun demi tahun semakin penuh di jalanraya.Tambahan pula yang balik beraya rata-rata dengan no pendaftaran awalannya "W", "B" dan kami"A" adalah anak-anak perantau yang berbaris panjang dengan "setia" dijalan raya yang panjang dan keluasannya yang masih sama.



Beginilah kesesakan dijalan baru menuju ke Kuala Kerai/Gua Musang diambil di Machang.

Bagi kami yang tinggal di Machang adalah kelainan sedikit kerana jalan pintas yang mengelak dari masuk ke Bandar Machang sudahpun siap.Tetapi kenderaan yang menuju ke Gua Musang untuk ke KL tetap melimpah ke jalan masuk ke Machang antaranya untuk mengisi minyak dan ada yang ingin mengelak dari kesesakan dijalan yang baru dibina.




Kesesakan jalan menuju ke Jambatan Tanah Mereh dari Machang.

Kesimpulannya tidak mudah masuk dan keluar dari Kelantan bila tibanya musim perayaan. Sehingga kami dan kawan-kawan lain akan merancang sebaik mungkin masa mana yang paling sesuai untuk masuk dan keluar dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.



Diatas jambatan melintasi sungai Kelantan di Tanah Merah.

Ada yang kata baliklah sebelah malam, ada juga yang mencadangkan bertolak selepas subuh...semuanya saya dah cuba namun masih terperangkap dalam kesesakan dijalanraya.


Deretan kereta dari arah Jeli ke Machang/Tanah Merah

Hidung Pesek, Mata Sepet dan Jambang Tebal

Oleh : Ust. Zolkharnain Abidin

Semasa saya menulis mengenai ‘Menanti Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS’, otak saya mengembara ke seluruh Malaysia mencari-cari pemimpin PAS di berbagai peringkat dari kalangan orang Cina atau India. Saya hanya terbayangkan Dato’ Anuar Tan sahaja. Saya memasukkan namanya dalam tulisan tersebut. Apabila tulisan di dalam blog saya dipindahkan oleh pemudabesut ke laman Tranungkite, beliau memasukkan nama Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong Perak. Terimakasih kepada pemudabesut.

Drs Khalil Idham Lim yang saya panggil Ust Khalil bukan asing bagi saya. Kami bersahabat baik. Dia acap kali belanja saya makan malam kerana setiap bulan saya menyampaikan kuliah di markas Titi Serong, markas DUN beliau. Tetapi macam mana saya boleh tidak terlintas namanya. Nombor handphonenya pun ada dalam simpanan saya. Dia juga hantar SMS jemput saya ke rumah terbukanya pada 5 Syawal. Maaf ust, saya tak dapat bersama kerana banyak komitmen lain.

Di negeri saya ada seorang lagi aktivis pemuda negeri, juga seorang Cina, Sdr Adam Tan. Dia juga aktif bersama saya dalam Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Perlis. Dia dan saya bersama Sdr Zulmi Sabri, Pengerusi YAM Perlis telah bertemu dan menyumbang bantuan hariraya kepada anak-anak yatim pada Ramadhan yang lalu.

Saya fikir, kita perlu ada direktori sahabat kita yang bukan berbangsa Melayu yang menjadi pimpinan atau aktivis PAS di semua peringkat. Dulu kita ada Sdr Kamal Koh, Aan Wan Seng dan … Namun kini mereka seperti mendiamkan diri, low profile. Saya tidak pasti mengapa. Saya yakin mereka tetap committed dengan PAS. Mungkin keperluan kehidupan, perniagaan, situasi keluarga atau apa sahaja membuatkan mereka senyap dan seolah-olah ‘menjauhkan diri daripada PAS’.

Peranan mereka besar di dalam PAS. Kalau tak salah ingatan saya, CCC dulunya digerakkan oleh mereka. Kemampuan mereka berbahasa ibunda, kefahaman mereka tentang budaya etnik mereka, lingkungan hubungan mereka yang luas dengan keluarga dan rakan sebangsa bahkan hubungan antara bangsa mereka melalui perniagaan, persahabatan, pelbagai badan dan gerakan massa adalah aset berharga buat kita.

Mereka perlu diketengahkan dan diberi tempat wajar di dalam PAS. Jangan tunggu mereka datang. Mereka perlu dipanggil. Ramai di kalangan mereka yang terpelajar, lepasan Universiti Islam Madinah, lepasan al-Azhar dan sebahagian besar adalah profesional. Bukan sahaja daripada kalangan Cina tetapi juga India. Mereka adalah ahli PAS, bukan anggota Kelab Penyokong PAS. Justeru mereka layak memilih dan dipilih. Mereka layak ditonjolkan sebagai pimpinan kanan jamaah.

Saya tidak kenal pimpinan parti atau aktivis parti dari kalangan kaum India. Saya yakin ada. Mereka juga wajar diketengahkan.

Saya cuba gambarkan betapa indahnya, ketika muktamar, mereka yang memenuhi kerusi pimpinan PAS Pusat, pemuda, muslimat dan ulama di atas pentas diwarnai oleh mereka yang berkulit sawo matang, putih kuning dan hitam manis. Atau, berhidung pesek, bermata sepet dan berjambang tebal. Meriahnya waktu rehat muktamar dengan pelbagai bahasa komunikasi apabila sesama etnik ini bertemu. Gerai-gerai makanan juga pelbagai, asam pedas, yong tau fu, gulai mamak, atau apa sahaja, berbagai juadah yang mewakili pelbagai etnik di dalam PAS. Mereka datang dengan pakaian tradisi masing-masing. Baju Melayu, Baju Kurung, Cheung Sam, Kurta… atau apa-apalah. Saya tak tahu nama pakaian tradisi kaum Cina dan India. Huh, cukup indah.

Tetapi, bila agakanya semua itu menjadi nyata. Jangan seperti menunggu gagak berbulu putih atau kucing bertanduk sudah.

Kita tunggu dan lihat.

Menunggu Orang Cina Jadi Naib Presiden PAS

Oleh : pemudabesut

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berkata " Kita ni anak cucu adam dan hawa, tak kira cina, melayu, siam, bugis, jawa, negrito, senoi, murut, kayan".

SATU

Apabila media melaporkan Dr Asharuddin Ahmad, 49 menawarkan diri bertanding Naib Presiden Gerakan, ia sesuatu yang baru kepada banyak pihak. Ia baru kepada Gerakan dan kepada parti-parti lain juga. Beliau dikatakan orang Melayu pertama menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Ramai melihat Gerakan sebagai parti Cina seperti MCA. Gerakan diasaskan oleh Allahyarham Prof Dato’ Dr Syed Hussein al Attas pada tahun 24 Mac 1968 di Pulau Pinang dengan nama Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dr Syed Hussein menjadi Presiden Gerakan daripada tahun 1968-1969. Semua Presiden selepasnya adalah Cina. 1969 – 1980, Tun Dr Lim Chong Eu, 1980 – 2007, Dr Lim Keng Yaik dan 2007 hingga sekarang, Dr Koh Tsu Koon.

DUA

Sehingga 2006, 80 peratus ahli Gerakan adalah etnik Cina dan bakinya ialah India, Melayu dan lain-lain. Walau pun Gerakan adalah kerabat BN tetapi ia parti berbilang etnik. Ia tidak seperti Umno dengan perkauman Melayunya, MCA Cina dan MIC pula India. Di semenanjung hanya tiga parti itu sahaja dilihat masih bersifat perkauman.

Parti-parti yang tidak berasaskan perkauman lebih berani dan terbuka. Mereka tidak bergayut di bawah tengkuk BN sahaja. Pada 6 Sept 08 dilaporkan, Pemangku Presiden gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengancam akan keluar BN jika tidak dilakukan perubahan wajar dalam gabungan itu.

TIGA

Satu lagi parti kerabat BN yang pelbagai etnik ialah Parti Progresif Penduduk. Walau pun diasaskan oleh D.R Seenivasagam, parti itu pernah memiliki Presiden daripada kalangan kaum Cina. Dr Khong Kok Yet pernah menjadi Presiden PPP daripada tahun 1975-1978, begitu juga Mak Hon Kam pada tahun 1988.PPP, pada tahun 2006 berkeahlian 48 peratus India, 13 peratus Melayu dan bakinya kaum lain pernah menarik diri daripada BN pada tahun 1969. Pada tahun itu, PPP hampir berjaya membentuk kerajaan negeri Perak apabila mendapat undi daripada orang-orang Cina. Pada Nov 2006, Parti Progresif Penduduk melalui Presidennya mencadangkan supaya Gerakan dan PPP bergabung. Walau pun cadangan itu disambut baik oleh Koh Tsu Koon tetapi sampai hari ini belum terlaksana.

EMPAT

PAS bukan parti perkauman. Harakahdaily 5 Sept 06 melaporkan kenyataan TG Nik Abdul Aziz bahawa orang Cina boleh jadi MB Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran. Ini bukan semata-mata kenyataan politik untuk menarik undi bukan Melayu, tetapi inilah Islam. Mereka yang mendokong Islam di zaman nabi bukan semuanya Arab, ada orang Parsi, orang Rom, orang Afrika dan ada sahabat yang kuburannya di negara Cina.

BERNAMA melaporkan pada 20 Mei 08, TG Abdul Hadi berkata PAS telah berjaya memecahkan tembok pemisah antara kaum di negara ini yang gagal dipecahkan oleh Umno. Ini terbukti apabila kaum Cina dan India mengundi calon PAS manakala penyokong PAS mengundi calon DAP dan PKR yang bukan Melayu.

Di Johor, PAS meletakkan P Kumuta Raman sebagai calonnya di DUN Tiram dalam pilihanraya umum lalu. Beliau adalah seorang peguam beragama Hindu.

PAS juga ada ahli jawatankuasa peringkat pusat yang bukan Melayu, Dato’ Anuar Tan. Dia juga adalah exco kerajaan Kelantan. Selain itu, PAS Perak juga ada seorang Yang Berhormat Titi Serong, Drs. Khalili Idham Lim Abdullah. Dalam dewan peringkat pusat, pemuda tiada yang bukan Melayu, begitu juga muslimat dan ulama’.

PAS ada Kelab Penyokong PAS untuk kaum India dan Cina. Pendokong kedua-dua kelab itu tidak beragama Islam kerana kalau mereka beragama Islam mereka boleh terus menjadi ahli PAS.

Kita tidak pasti berapa peratus ahli PAS daripada kalangan orang bukan Melayu. Kalau kita inginkan suatu hari nanti jawatankuasa kanan dalam PAS disandang oleh bukan melayu, maka peratusan ahli PAS daripada kalangan bukan melayu wajar ditingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti.

LIMA

Adakah boleh orang bukan Melayu memimpin PAS? Mengapa tidak, kalau ketua sebuah kerajaan negeri boleh bukan melayu, apa salahnya pemimpin PAS juga bukan Melayu kerana PAS bukan berasaskan Melayu. PAS bukan parti perkauman.

Tidakkah kita bimbang nanti negara ini didominasi oleh kaum lain? Apa perlu bimbang, kaum apa pun asalkan Islam berdaulat, sudahlah. Kalau orang Melayu ingin terus mendominasi negara ini, orang Melayu mesti semakin teguh dengan Islam, bukan sekadar Islam mengikut takrif Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Islam bersifat sejagat, PAS juga begitu kerana PAS adalah gerakan Islam. Tidak mustahil suatu hari nanti, lebih ramai bukan Melayu menjadi pemimpin PAS bukan di peringkat jawatankuasa lagi tetapi sebagai Naib Presiden, atau Timbalan Presiden dan Presiden juga.
Kita tunggu dan lihat.



06 Oktober 2008

Hampir 10,000 hadir hari terbuka Pakatan Rakyat ParitBuntar.

PARIT BUNTAR , 5 Syawal :- Hampir 10,000 orang telah menghadiri Hari Terbuka Pakatan Rakyat Parit buntar yang diadakan di perkarangan Pusat Khidmat ADUN Titi Serong di Taman Wawasan disini hari ini. Program tersebut mengabungan PAS Kawasan Parit Buntar, Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Titi Serong dan ADUN Kuala Kurau sebagai penganjurnya.

Menurut Pengarah program, Ust. Ahmad Ismail inilah kali pertama program Hari Raya diadakan dengan mengabungkan semua wakil rakyat yang menang di Parit buntar dari PAS dan PKR. sambil mengucapkan terima kasih kepada yang hadir beliau berharap program seumpama itu diteruskan dimasa akan datang.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Exco Kerajaan Perak, YB. Hj. Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof dan isteri, YB. Tai Sing Ng dan isteri, ADUN yang hadir pula ialah Gunung Semanggol, YB. Ramli Tusin, Selingsing, YB. Hussin Din, dan dan Pokok Asam, Yee Seu Kai. Selain itu kelihatan hadir sama SU DAP Pulau Pinang, Cikgu Teoh


Exco Agama semasa meberikan ucapan mengatakan pada masa sekarang rakyat telah menolak perjuangan yang berasaskan kelompok dan puak. konsep "pecah dan perintah" yang dibawa oleh BN telah ditolak oleh rakyat.


Sambil mejelaskan dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan , Beliau juga menegaskan teras kerajaan yang ada sekarang adalah memberikan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira kelompok, kaum dan agama.













Ahli PAS jangan jadi pembangkang - ADUN Titi Serong

PARIT BUNTAR, 2 Syawal : Ahli PAS diminta tidak bertindak seperti pembangkang sebaliknya menjadi penyokong kepada kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.Kebelakangan ini ada ahli PAS bertindak seperti pembangkang apabila mempertikaikan dan mempersoalkan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat. Demikian ucapan Drs Khalil Idham Lim ADUN Titi Serong semasa berucap di majlis Himpunan Anak Perantauan di sini.

"ada yang bertanya saya di mana saya dapat duit untuk sumbangan yang saya berikan kepada rakyat dalam kawasan saya. Tidak sedarkah mereka, kita kerajaan negeri. Jadi tentulah peruntukan kerajaan negeri ". Tegas Drs Khalil Idham.

Beliau yang juga Pengerusi Penyokong Kerajaan (BBC) Perak memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menambah peruntukan kepada setiap wakil rakyat pada tahun hadapan. Justeru rakyat di kawasannya boleh membuat permohonan kepadanya sekiranya memerlukan sumbangan.

Drs Khalil Idham juga menjelaskan kepada anak perantau yang hadir pada malam itu tentang stiuasi politik yang berlaku di negeri Perak terutamanya isu yang melibatkan tuduhan rasuah terhadap 2 Exco Perak dari PKR.

Majlis Himpunan Anak Perantauan yang diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin menarik kehadiran yang menggalakkan dari anak perantau yang pulang berhari raya dikampung. Lebih 100 orang perantau hadir ke majlis yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Parit Buntar.

Wakil Persatuan Anak Perantau Perak (Penaja) turut dijemput berucap menerangkan tentang Persatuan Anak Perantau Perak yang baru ditubuhkan. Beliau berharap semua anak perantau yang hadir pada majlis ini memberi sokongan kepada persatuan ini dengan menjadi ahli kepada persatuan ini.

Sementara itu, semasa sesi dialog seorang anak perantau Sdr. Mohd Firdaus meminta Dewan Pemuda mengusahakan penubuhan Persatuan Anak Perantau yang dicadangkan semasa himpunan pada tahun lepas.

Menurut Khairulzami Muhammad Ketua Pemuda Parit Puntar, tahun ini adalah tahun kesepuluh Dewan Pemuda menganjurkan majlis ini. Dewan Pemuda akan meneruskan agenda tahunan ini bagi merapatkan hubungan anak perantau dengan Dewan Pemuda.

Menurutnya lagi, anak-anak perantau boleh mengikuti perkembangan politik terutamanya aktiviti PAS Parit Buntar dalam laman PAS Parit Buntar. Mereka juga boleh menyalurkan pandangan dan sumbangan mereka melalui laman ini.

Majlis pada malam itu diakhiri dengan bacaan doa dan jamuan raya. Pelbagai juadah seperti lemang, nasi himpit, bihundan kueh raya disajikan kepada anak perantau yang hadir.

Sdr. Khairulzami juga mengucapkan terima kasih semua yang terlibat menjaya himpunan ini terutamanya anggota Unit Amal Parit Buntar yang menjadi mentara pada malam itu.

05 Oktober 2008

Hari Raya Aidilfitri Disambut Meriah di Niujie, Beijing.

Hari Raya Aidilfitri di Beijing disambut dengan meriah oleh umat Islam setempat antaranya dengan berbagai aktiviti di Niujie, sebatang jalan yang terletak di Beijing yang biasanya menjadi kunjungan pelancong asing bila sampai di sini. "niujie" berarti "jalan lembu' dengan maksud tempat penyembelihan lembut yang dilakukan oleh umat Islam.

Hari raya Aidilfitri merupakan perayaan terpenting bagi 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China, termasuklah etnik Hui. Hari ini, seramai 100 ribu orang penduduk Muslim dan warga asing di Beijing telah datang ke Niujie untuk menyertai pelbagai aktiviti yang menarik bagi menyambut hari raya Aidilfitri.

Jalan Niujie dibanjiri oleh umat Islam.


Anggota Jawatankuasa Tetap Bandar Beijing Parti Komunis China, Puan You Lantian ketika menghadiri aktiviti perayaan di Niujie berkata: "Hari ini kita menyambut dua perayaan, iaitu hari raya Aidilfitri bagi semua umat Islam di China, dan juga hari kedua dalam cuti panjang Hari Kebangsaan China. Saya mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidilfitri' kepada semua penduduk Muslim di Niujie."


Jalan Niujie ditutup untuk sambutan Aidilfitri


Niujie merupakan kawasan kediaman orang Muslim yang terbesar di Beijing. Terdapat lebih kurang 54 ribu orang penduduk yang tinggal di kawasan ini, antaranya seramai 12 ribu orang ialah umat Islam. Masjid Niujie yang bersejarah selama 1012 tahun dibina di tapak seluas 10 ribu meter persegi adalah terletak di kawasan tersebut.

Bermula pukul 7.00 pagi hari ini, Jalan Niujie telah ditutup secara sementara kepada semua kenderaan bagi menjamin kelancaran pelbagai aktiviti sambutan. Dengan ini, Jalan Niujie telah menjadi "pasar" jual makanan dan barang kegunaan Muslim.

Jualan kopiah memeriahkan suasana.


Selain daripada "pasar jual makanan", pelbagai aktiviti seperti pameran gambar dan pertandingan catur China juga telah diadakan untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Aktiviti-aktivit tersebut telah menarik ramai orang Muslim. Seorang gadis yang bernama Mai Na memberitahu bahawa: "Saya rasa hari ini sangat meriah. Aktiviti-aktiviti di Niujie juga amat menarik. Kami sekeluarga datang ke Niujie untuk merayakan hari raya Aidilfitri."

Untuk menjamin kelancaran aktiviti-aktiviti di Niujie, kerajaan tempatan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan. Encik Wang Jinhua ialah tauke sebuah kedai makan halal di Niujie. Beliau menjelaskan: "Pada pendapat saya, pada tahun ini, kerajaan telah memberikan perhatian tinggi terhadap aktiviti sambutan hari raya, misalnya mereka menutup Jalan Niujie kepada semua kenderaan, dan menyediakan gerai jualan makanan untuk kami."

Perayaan di Niujie bukan sahaja menarik ramai orang Muslim, tetapi juga bagi mereka yang bukan Muslim. Pelajar etnik Han dari Universiti Ekonomi dan Perdagangan Ibu Negara, Xu Shaochi memberitahu berkata : "Ini merupakan kali pertama saya melawat ke Niujie. Hari ini hari raya Aidilfitri, dan juga hari kedua bagi cuti panjang Hari Kebangsaan China, maka saya datang untuk merasakan suasana perayaan di sini, dan menggunakan peluang ini untuk mengenali lebih banyak tentang budaya Islam."

Makanan halal di Kawasan Niujie, Beijing

Makanan ringan tradisional di Beijing amat pelbagai dan diwarisi secara turun temurun. Demikian juga makanan halal untuk penduduk Islam China. Makanan halal yang mengutamakan kuih-muih serta masakan daging lembu dan kambing merupakan bahagian yang penting dalam makanan tradisional di Beijing. Makanan halal di kawasan Niujie, iaitu kawasan kediaman secara berkelompok bagi penganut Islam merupakan makanan halal yang paling terkenal dan asli di Beijing.

Mesjid Niujie Beijing.

Pada abad ke-14, sejumlah besar orang Arab dan Parsi telah berhijrah ke China. Mereka membawa bersama jenis makanan diperkenalkan ke Beijing sebagai makanan halal untuk orang Islam. Lama-kelamaan, jenis makanan dari Asia Barat tersebut telah menerima perubahan dengan beberapa cara masakan tradisional China dan menjadi makanan halal yang unik dan lazat di Beijing. Kawasan Niujie merupakan pusat penempatan penduduk Islam di Beijing dan juga merupakan tempat asal bagi makanan halal di bandar tersebut.

Gerai "Nailao Wei" di kawasan Niujie sudah wujud lebih seratus tahun dan merupakan gerai terkemuka di Beijing. Rakyat China menyebut "Nailao" sebagai keju China. Bentuk "Nailao" seperti puding. Pengurus gerai itu, Li Shufeng berkata: "Gerai itu ditubuhkan pada tahun 1888 dan ditutup pada tahun 1954. pada tahun 1988, Wei Guanglu, pengurus generasi ketiga membuka semula gerai tersebut."

Penaja gerai itu, Wei Hongchen mempelajari kaedah untuk memasak "Nailao" daripada kaum kerabatnya yang berkhidmat sebagai tukang masak Diraja. Makanan Nailao yang disediakan oleh gerai "Nailao Wei" mendapat sambutan yang baik daripada penduduk Beijing, Malah, ramai yang datang dari jauh ke gerai itu semata-mata untuk menikmati pencuci mulut yang lazat itu. Kata Li Shumin, "Gerai kami menjual kira-kira seribu mangkuk 'Nailao" pada tiap-tiap hari. Gerai kami dibuka pada pukul 2:00 petang dan tutup pada pukul 9:00 malam. Kadang-kadang, jika pelanggan terlalu ramai, gerai kami tutup pada pukul 11:00 dan 12:00 malam." Kedai Makanan Hongji di bahagian timur kawasan Niujie amat terkenal di Beijing. Selalunya terdapat ramai pelanggan berbaris di depan pintu kedai tersebut untuk membeli makanan. Seorang pelanggan berkata: "Makanan di kedai ini amat lazat. Kami selalu membeli makanan di kedai ini."

Makanan yang disediakan oleh Kedai Makanan Hongji amat pelbagai termasuk beberapa jenis "Nian Gao"(iaitu sejenis kuih), "Huo Shao"(sejenis roti) serta masakan daging lembu dan daging kambing. Pengurus kedai itu, Hong Yuchun berkata: "Pada mula-mula diwujudkan, kedai kami kecil sahaja dan hanya menyediakan beberapa jenis pencuci mulut. Kami berusaha menjamin kualiti bahan makanan dan memasak makanan dengan sebaik mungkin. Lama-kelamaan, kedai kami semakin terkenal, dan jenis makanannya kian bertambah."

Restoran "Baodu Feng" juga merupakan restoran Islam yang terkenal di kawasan Niujie. Makanan "Baodu" menggunakan perut kambing dan lembu yang diiris, kemudian direbus enak dan dimakan dengan sos yang berkenaan. Pengasas restoran tersebut, Feng Lishan, mula menjual makanan tersebut pada tahun 1875. Terdapat ramai tokoh yang tersohor meminati makanan tersebut termasuk seniman Opera Peking, Mei Lanfang, pujangga Lu Xun dan Laoshe. Pengurus generasi keempat restoran itu, Feng Qiusheng pernah memasak makanan tersebut untuk pemimpin negara dan duta besar negara asing ketika China menyambut ulang tahun ke-50 hari kebangsaan. Katanya, "Ketika menyambut ulang tahun ke-50 hari kebangsaan, saya bertugas memasak "Baodu" untuk pemimpin negara dan duta besar negara asing ke China. Saya amat gembira kerana pencuci mulut tersebut dapat masuk dalam senarai jamuan negara."

Pasaran Raya Islam Niujie menubuhkan sebuah pusat makanan halal yang menyediakan berbagai-bagai makanan halal dari seluruh negara. Pengurus pasar raya itu, Ping Guodong berkata: "Pusat makanan halal kami menyediakan makanan yang lazat dari kawasan Niujie dan beberapa tempat di bahagian utara China."

Pusat makanan tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada penganut Islam di kawasan Niujie dan seluruh Beijing. Setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Niujie berhampiran, iaitu masjid yang tertua di Beijing, mereka selalu makan beramai-ramai di pusat makanan tersebut. Semasa sedang makan itu, selalunya terdapat warga emas yang secara sukarela membacakan terjemahan kitab suci al-Quran kepada orang muda di pusat tersebut. Ketika menyambut hari kebesaran Islam, pusat makanan itu dibanjiri dengan penganut Islam. Ping Guodong menyatakan terdapat ramai penganut Islam dari luar negara menikmati makanan halal yang lazat di pusat tersebut. Beliau berharap ramai penganut Islam dari luar negara menjamu selera di pusat tersebut ketika berlangsungnya Sukan Olimpik. Katanya, "Pusat makanan halal Niujie telah siap untuk meraikan saudara Islam dari seluruh dunia ketika Sukan Olimpik diadakan di Beijing. Kami akan berusaha menyediakan makanan halal China yang lazat untuk mereka."

SEMUA DI JEMPUT HADIR


04 Oktober 2008

Beraya di Kelantan

Perjalanan balik ke Kelantan kali ini agak lancar walaupun kenderaan yang bergerak dia jalanraya agak banyak dari hari-hari biasa. Saya tidak kisah sangat dengan suasana sebegitu kerana keadaan itu sudah di jangkakan lebih awal.

Sesudah subuh kami sudah mula bersiap untuk berangkat. Jam 8 semuanya sudah siap untuk bertolak. Rumah di kunci rapat-rapat sebagai ikhtiar dan tawakkal kepada Allah SWT.

Kami singgah sarapan di Perhetian Bukit Merah. Hampir semua tempat letak kereta penuh dengan pengunjung walaupun masanya masih awal pagi. Biasanya di sini nasi lemaknya boleh lah tahan, pertama kali membelinya kena berbaris agak panjang. Tuan kedai agak lambat melayan pelanggannya sehingga terluncur dari mulut ini kepada seorang pelanggan yang sama-sama berbaris "macam ni payah nak maju malaysia", dia sekadar senyum dengan rungutan saya tadi.

Setelah mengisi minyak penuh tangki di tempat yang sama saya mula memandu untuk menuju ke Kelantan tempat saya dilahirkan. Alhamdulillah tanpa henti kami sampai di Batu Melintang sekitar jam 12.45 tengahhari.

Kami singgah sekali lagi di Mesjid Gemang uuntuk menunaikan solat Jumaat. Kerana menurut hukum nya sekiranya kita bermusafir sesudah solat subuh kita kena tunaikan solat Jumaat ianya di beratkan, kalau sebelum subuh bermusafir boleh kita jamak dan qasar seperti biasa dan tidak diberatkan menunaikan jumaat.

Setelah solat jumaat kami meneruskan perjalanan ke Gual Ipoh kerana ada kawan baik seorang pemaju perumahan jemput makan tengahhari dirumahnya. Katanya makan dengan ayam kampung, lagi semangat dan rasa berselera dalam keadaan perut yang mula berkeroncong. Isteri dan anak-anak juga merungut perut dah kosong.

Dia menghubungi ADUN di kawasan itu yang berkebetulan sahabat baik saya iaitu ADUN Gual Ipoh, Wan Yusoff wan Mustaffa. YB. Wan singgah sebentar dan sempat kami berbual dan bertanya khabar mengenai tugas masing-masing.

Katanya pagi tadi ada buat rumah terbuka, ramai sungguh yang datang sehingga makan habis lebih awal. Semuanya diluar jangkaan dan tidak disengajakan, apa boleh buat.

Begitulah suasana di Kelantan, apalagi kawasan Yb. Wan ada 96 pratus pengundi Melayu.

Sesudah berada disitu sekitar sejam kami bergegas balik Ke rumah ayah angat di Machang. Kami tertahan agak lama di jambatan dekat Tanah Merah. Begitulah setiap kali balik beraya di Kelantan kami akan terperangkap dalam susunan kenderaan disitu.

Singgah sebentar di Machang, kami mohon untuk balik ke rumah kakak di Bachok, dalam perjalanan sempat singgah di rumah keluarga angkat di Pasir Putih. semuanya nak jumpa kerana sejak menang ini lah kali pertama saya balik Kelantan untuk ziarah keluarga.

Sebelum itu memang sudah balik tiga kali, 2 kali berceramah di Bachok dan sekali di Tanah Merah. Semuanya tak sempat untuk ziarah keluarga apa lagi ziarah banyak teman di Kelantan.

Di Bachok sempat kami makan malam bersama dengan kakak, berbual dengan akan saudara dan kami menuju ke Kota Bharu ke rumah kakak angkat Abang Din dan kak Dza. Kenderaan tidak lah banyak sangat kerana jam sudah bergerak ke angka 12 malam.

Hampir jam 11 malam kami balik semula ke rumah ayah angat dan kami bermalam di sini. Ayah buat kenduri kesyukuran sambut menantu, anaknya yang sulung telah menamatkan zaman bujangnya. Kami jangkakan berada disini sehingga sekitar jam 3 petang, kerana perlu balik awal bagi persiapan RUMAH TERBUKA esok. Semua di jemput hadir.

03 Oktober 2008

Silaturrahim

“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia senang menjalin silaturrahim” (HR Bukhari).

Sebagaimana namanya, “silah” artinya hubungan atau menghubungkan, dan “ar-rahmi” artinya kasih sayang. Dilihat dari maknanya, tujuan yang diharapkan dari silaturrahim adalah terwujudnya kasih sayang yang diridhai Allah SWT.


Banyak keuntungan yang diperoleh dari melakukan perbuatan baik ini, yang di antaranya disebutkan dalam hadits di atas: mudah rezeki dan panjang umur. Rezeki Allah kadangkala diberikan lewat tangan-tangan atau sepatah kata dari orang lain. Sepatah kataorang yang bijak dan bermanfaat dari orang lain tidak tertutup kemungkinan menggugat dan membuka fikiran kita luas-luas, sehingga mampu melihat peluang-peluang rezeki yang dihamparkan Allah setiap hari di dunia ini. Lebih-lebih kata yang bersifat ilham, yang tidak semua orang mampu mengenalinya dan memahaminya. Oleh karena itu, silaturrahim sebaiknya dilakukan bukan hanya dengan orang-orang yang dikenali, tetapi juga yang tidak dikenali.


Selanjutnya, umur manusia yang gemar bersilaturrahim akan berkat. Kerana hidup dalam kedamaian, sebagai akibat baik dari silaturrahim, kita menjadi benar-benar mengisi dan menikmati hidup dengan sebaik-baiknya, tidak takut dalam mencari rezeki, dan boleh beribadah kepada Allah dengan semaksima mungkin.


Sebaliknya, kalau silaturrahim diputuskan, pasti timbul beberapa akibat yang sangat buruk. Hidup di bawah tekanan, ancaman dan peperangan, terasa tidak menyenangkan, kerana selalu timbul rasa was-was akan berbagai mara bahaya dari pihak lain. Rezeki pun terasa amat sulit untuk diperoleh, kerana antara sesama kita bukan saling memberi manfaat tetapi saling memusuhi. Waktu untuk menikmati hidup akan terasa sedikit. Akibat yang lebih buruk lagi ialah tidak ditilik Allah di Hari Kiamat (HR Ad-Dailami).

Semua manusia adik-beradik - Mursyidul Am

KUALA LUMPUR, 1 Okt : - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.
"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.

"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.

"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.?

"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.

Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".

Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.

"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru

SUMBER : http://paritbuntar.pas.org.my/

30,000 hadir rumah terbuka Menteri besar Perak.

Menurut panitia pelaksana yang dihubungi, seawalnya pada jam 12.30 telah ada yang sampai untuk menikmati juadah.

Semua pengunjung berbaris panjang untuk bersalaman dengan Menteri Besar dan isterinya.
Berikut ini adalah koleksi gambar oleh WebMaster Cina Islam yang diambil pada penghujung program jamuan:-









1 Syawal bersama ADUN Titi Serong

Takbir Hari Raya

Subuh 1 Syawal Drs. khalil telah bersembahyang subuh bersama dengan jemaah di surau Pusat Tarbiyah PAS di Titi Serong. Berliau mengimamkan sembahyang dan diteruskan dengan takbir Hari raya memecah kesunyian pagi penuh bermakna itu.

Setelah itu beliau telah bersama-sama dengan para jemaah untuk menyiapkan tempat sembahyang raya di ruangan sembahyang dibangunan Dewan Tuan Guru Hj. Ahmad Tuan Hussin yang separuh siap itu. Sejadah dihamparkan memenuhi ruangan sembahyang lelaki dan wanita.

Ust Idris Ismail menyampaikan Khutbah Hari Raya.


Setelah pembesar suara diuji cuba ADUN mengalunkan sekali lagi takbir raya bersama jemaah .

Jemaah khusyuk mendengar khutbah.


Sembahyang Raya

Drs. Khalil bersembahyang di Pusat Tarbiyah bersama sekitar 300 orang jemaah. Imam sembahyang kali ini adalah anak kepada ADUN sendiri iaitu Khairul Azri Lim yang baru berumur 16 tahun.


Jemaah Muslimat diruangan yang baru.


Khatib jemputan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Bagan Serai, Ust. Idris Ismail, Beliau telah menyampaikan khutbahnya dalam masa sekitar 30 minit mengupas persoalan Aidil Fitri dan persoalan semasa.

Ucapan dari ADUN.



Antaranya teks khutbah yang disediakan oleh Dewan Ulama PAS Negeri perak itu menyentuh persoalan remaja yang parah dan memerlukan penyelesaian segera.

Bergambar bersama tetamu di rumah Ibunda di Parit tok Ngah



Ucapan ADUN

Setelah Khatib menyelesaiakn khutbah, ADUN Titi Serong telah memberikan sedikit ucapan kepada jemaah. Kandungan ucapannya ialah :-

1. Beliau berterima kasih dengan kesungguhan Jawatankuasa Pengurusan Pusat Tarbiyah sehingga sudah banyak tahun Sembahyang Hari Raya diadakan di situ dan untuk sekali ini diadakan diruangan yang baru dan lebih luas.

2. ADUN juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah yang setia menjadi pengunjung solat sunat Hari Raya pada setiap tahun. Katanya ada jemaah yang balik dari Kelantan, Putra Jaya, Kuala Lumpur, Johor dan sebagainya. Selain itu ada jemaah yang meninggalkan mesjid dan Surau yang terletak berdekatan dengan rumah masing-masing semata-mata untuk datang berjemaah di Pusat Tarbiyah.

3. Beliau mengumumkan pada 2 Syawal akan diadakan Progran Anak Perak Diperantauan di tempat yang sama pada jam 9.00 malam. Tetamu Kehormat ialah Ust. Norazli Musa, Ketua Pemuda PAS Perak.

4. Drs. Khalil juga menjemput semua jemaah untuk hadir di Hari Terbuka Aidilfitri Pakatan Rakyat Parit Buntar, Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Titi Serong dan Kuala Kurau pada 5 Syawal jam 3.00 hingga 6.00 petang di Taman wawasan.

5. Akhir sekali beliau dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua para jemaah. Beliau memohon maaf sekiranya ada sesuatu yang tidak betul dilakukan sebelum ini. Beliau juga mengalu-alukan semua pihak untuk datang ke Pejabat kalau ada masalah .

Sesudah itu adun berkunjung ke rumah Hj. Rahman, Bendahari Pusat Tarbiyah. Difahamkan ADUN berada di rumah ibunda mentuanya di Parit Tok Ngah sehingga jam 2.30 menerima tamu disamping sempat menziarahi jiran tetangga terdekat sebelum berangkat ke IPOH bersama keluarga bagi menghadiri Rumah terbuka MB Perak.

01 Oktober 2008

SELAMAT HARI LEBARAN

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

DARIPADA :
Yb. Drs. Khalil idham lim
Sekeluarga.
terima kasih kerana berkunjung
ke blog cina islam.