30 Julai 2009

PERAK - NAIK TURUN MAHKAMAH, JANGAN LUPA NAIK TURUN RUMAH RAKYAT

oleh Fauzi Irwan Shah

Bubar dewan...tapi dewan mana yang hendak dibubar sebenarnya? Di terengganu ada kekalutan yang sebut MB kini tertekan. Di Perak, sekadar suara bubar DUN yang akan terus berkumandang, paling kuat pun pada 2 Ogos ini bertempat di Markas PAS Kawasan Bagan Serai.

Program anjuran Pemuda PAS Perak mulai jam 11 pagi sehingga 6 petang itu dijangka memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, Perak yang ditumbangkan dengan kuasa politik, bukan dengan suara rakyat.

Tidak banyak sebenarnya yang boleh dilakukan untuk memperhebatkan mesej kepada kerajaan BN Perak sekarang, selain ceramah...dan ceramah jua akhirnya. Mereka hanya boleh mendesak dengan membakar semangat rakyat, mengulang ketidakadilan yang hempapkan ke atas kerajaan PR.

Nasib sehingga kini belum menyebelahi mereka atau dengan lain kata, "kuasa raja" belum nampak mahu berubah arah.

Laungan, baju T, ikatan di kepala dengan kata-kata Bubar DUN Perak terus menjadi slogan yang entah bila akan hilang hangatnya kerana masa untuk "merubah" sudah terlalu lama, malah masa yang lama itu semakin mengukuhkan kerajaan BN Perak menerusi pelbagai program rakyat.

Sejarah tetap terpahat, kuasa mentadbir bukan sekadar datang dari suara rakyat kerana terbukti suara rakyat sekadar memilih parti bukan membentuk kerajaan. Kuasa menentukan kerajaan rupanya ditangan kuasa mutlak Raja. Inilah titik hitam politik Perak, raja tidak bersalah kerana enggan bubarkan DUN ,baginda memang ada kuasa demikian.

Jika bersandar alasan itu, si Katak lompat terutamanya Hee juga tidak bersalah kerana dia berhak atas dirinya selepas diangkat jadi YB oleh rakyatnya. Jika benar ada habuan mega untuknya, dia akan bersalah pada dirinya kalau tidak "ngap".

Lagi....kerajaan PR Perak juga tidak bersalah kerana mereka masih pengantin baru yang sedang belajar hidup bersama, maka kelonggaran tersebutlah yang membina peluang buat BN menggoda iman sang katak puru, katak pisang dan katak Ong Ang.

Tumbangnya kerajaan PR Perak, walaupun mengejut dan menimbulkan banyak reaksi tidak senang terhadap Raja, Umno dan BN tapi hikmahnya cukup berkesan, kerajaan PR di lain-lain negeri mula sedar kelemahan yang ada, perlu perbetulkan segera struktur kerjasama yang masih kurang ampuh. Inilah pengalaman kejatuhan (dijatuhkan)kerajaan PR Perak yang paling berharga iaitu diri terkorban rakan terselamat.

Kerajaan PR negeri lain, malah parti-parti dalam PR sendiri sudah mengambil pelbagai usaha membenteng diri daripada turut menjadi korban suatu hari nanti. Mereka sudah belajar memperkukuhkan kuasa yang sudah tergenggam, sudah mula bertindak menutup mana-mana kebocoran undang-undang yang bakal menjahanamkan mereka sebagaimana di Perak.

Sesuatu yang malang di Malaysia ialah rakyatnya pemurah dan mudah memaafkan, malah mudah lupa. Semakin lama usaha bubad DUN tidak menampakkan hasil, semakin nipislah harapan untuk pulih, semakin reda kemarahan rakyat, semakin hilang rasa benci dari ingatan dan semakin terpinggirlah perjuangan menuntut keadilan yang dicanang PR Perak itu.

Buktinya, masihkah terasa hangat perjuangan "menuntut bela" dari kalangan rakyat untuk mengembalikan kuasa kerajaan PR selepas kejadian "bawah pokok" dan Siva diheret keluar dewan? Kian hari kian menurun suhunya, maka amat perlu ada usaha untuk terus memastikan hati rakyat tidak terbeku. Dalam konteks ini, langkah '1 Hitam Perak-Bubarkan Dun Perak' adalah tepat.

Jika mereka mahu kekalkan ingatan rakyat terhadap "penganiayaan" yang berlaku ke atas mereka, maka tidak seharusnya kempen seperti ini berhenti begitu sahaja, kempen harus ada kesinambungannya, dipanjangkan ke kawasan lain, dilebarkan ke seluruh ceruk Perak dari masa ke semasa.

Ada suara yang cakap pasal bekas-bekas anggota Kerajaan PR Perak kurang minat jenguk mereka di kampung mahu pun di warung. Katanya, mereka lebih memberikan keutamaan mencari dalil untuk meraih semula kuasa kerajaan. Lama sudah tidak jumpa YB, kata mereka.

Dalam kesibukan usaha menuntut semula kuasa tadbir, ADUN-ADUN nampaknya sedikit lalai dengan tugasan untuk rakyat, jangan asyik melaungkan keadilan tetapi lupa kebajikan. Rakyat masih menanti sesuatu yang terbaik dari para YB dan bekas MB.

Jangan kerana sibuk naik turun mahkamah, lupa naik turun rumah rakyat. Lebih dampingilah rakyat kerana rakyat Malaysia lembut hati, mudah rasa simpati. InsyaALLAH....

2 ulasan:

Jebat Musibat berkata...

Betul tuh.. jangan lupa rumah rakyat. Terutama YB nizar.

Rata2nya orang sudah senyap, tapi saya percaya.. masih ramai yang simpan dalam hati. dan ramai yang akan kekal sebegitu walaupun tak dinafikan ada yang berubah.

Yang dikhuatiri berubah hati ialah golongan veteran dan!... dan wanita..

wanita undiannya lebih ramai dari lelaki. Ini yang perlu di beratkan YB.

wassalam.

Awanama berkata...

turun naik rumah ALlah lagi penting.... barulah pikirkan turun naik rumah rakyat.

Jangan terlupa itu.