25 Jun 2010

Guan Eng kecewa Najib naikkan 34% kadar tol

11 Rejab 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoal tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengumumkan kenaikan 34 peratus kadar tol untuk jambatan kedua walaupun syarikat konsesi berwajib nyata mendapat untung berganda hasil jambatan pertama.

Ini kerana, beliau berkata, Najib pada masa yang sama sanggup menurunkan 30 peratus kadar tol di Jambatan Johor-Singapura Kedua walaupun kerajaan dan syarikat konsesi berwajib nyata mengalami kerugian dalam menguruskan prasarana jabatan tersebut.

“Saya nak tanya, mengapa Jabatan Johor-Singapura yang rugi diturunkan kadar tol, Jambatan Pulau Pinang Kedua yang menguntungkan konsesi dinaikkan kadar tol,” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Kadar tol yang baru, menurut beliau, mengakibatkan pemandu untuk Kelas 2 terpaksa membayar sebanyak RM9.40, sedangkan kadar tol yang asal hanya RM7 untuk perjalanan pergi dan balik.

Pun begitu, beliau tidak mahu kadar tol di Jambatan Johor-Singapura Kedua yang baru diumumkan Najib itu dinaikkan kerana kenaikan kadar tol di jambatan tersebut turut membebankan rakyat.

“Sungguhpun begitu, kami DAP tetap mengalu-alukan pengumuman Najib untuk laluan kedua Jambatan Johor,” ujar beliau.

Disebabkan itu, beliau dalam nada menyindir menyifatkan tindakan berat sebelah Najib sebagai suatu bentuk pengurusan yang mengagumkan.

“Jambatan di antara dua negara, tol dikurangkan, tetapi jambatan di antara satu negara atas nama Satu Malaysia, kadar tol dinaikkan.

“Saya rasa agak kagum dengan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan Malaysia sanggup mengurangkan kadar tol untuk laluan kedua itu, biasanya bila rugi, maka kadar tol akan dikurangkan,” beliau menyindir.

Melihat sikap tidak mementingkan rakyat itu, Najib dinasihatkan mengkaji semula kadar tol di kedua-dua jambatan tersebut.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

gali lobang tutup lobang orang penang yang kena..kah.kah.kahak.tuih

Tanpa Nama berkata...

Jambatan belum siap, entah sempat atau tidak Najib dan kucingnya nak rasmi jambatan baru. Tak kena gaya jambatan tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri yang ke 7 di bawah era pemerintahan yang baru, InsyaAllah.