25 Jun 2010

Wang Mei Zhi Ke : Melegakan Rasa Dahaga dengan Bayangkan Buah Plum Hilanglah Rasa Dahaga

12 Rejab 1431 H


Melegakan Rasa Dahaga Dengan Bayangkan Buah Plum Hilanglah Rasa Dahaga

Pada suatu masa dalam zaman kerajaan Tiga Negeri, Raja Negeri Wei, iaitu Cao Cao telah mengetuai tenteranya menyerang Zhang Xiu. Ketika itu, hari terlalu panas.Askar Cao Cao tidak tertahan akan cahaya matahari yang terik itu, baju mereka mula basah oleh keringat yang mengalir deras, malah ada beberapa orang yang kurang kuat,pengsan di tepi jalan.

Melihat kemaraan tenteranya semakin perlahan, Cao Cao amat risau kerana takut mereka akan terlepas peluang yang terbaik untuk berperang. Namun, beribu-ribu orang askarnya itu, masih tidak ada air untuk diminum. Jadi bagaimana pula mereka mampu mempercepat perjalanan? Baginda segera memanggil pemandunya, dan bertanya dengan suara yang rendah:

"Adakah sumber air dekat sini?"

Pemandu itu menggeleng-gelengkan kepala, dan berkata:

"Sumber air terdekat berada di sebelah sana gunung ini, masih agak jauh dari kedudukan kita."

Melihat askarnya yang menderita kehausan, Cao Cao terfikir satu cara yang bijak, dan mengarahkan dengan kata-kata, "Tidak jauh lagi akan kita temui banyak pokok plum. Buahnya yang segar terasa masam manis, boleh melegakan rasa dahaga kita. Marilah kita cepat-cepat menuju ke hutan plum itu."

Ketika mendengar kata-kata yang memberangsangkan itu, askar-askar baginda tidak sabar-sabar lagi ingin merasai buah plum tersebut sehingga air liur mereka hampir terkeluar meleleh, membuatkan rasa dahaga mereka terus hidang.

Peribahasa ini membawa pengertian bahawa ketika seseorang gagal mendapatkan sesuatu benda yang diingininya, dia akan menyenangkan hatinya dengan angan-angan yang bukan-bukan, seperti askar Cao Cao tersebut. Ketika menderita kehausan, mereka membayangkan buah plum yang rasanya masam, untuk melegakan rasa dahaga.

Tiada ulasan: