25 Jun 2010

Lim pertikai kenaikkan tol di jambatan - 1Malaysia

11 Rejab 1431 H

Lim Guan Eng hari ini mempertikaikan keputusan kerajaan persekutuan untuk menaikkan kadar tol di jambatan Pulau Pinang tetapi pada masa yang sama menurunkan kadar tol di jambatan Link Kedua yang menghubungkan Johor dengan Singapura.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata tindakan berkenaan tidak adil kerana diskaun diberikan di jambatan yang digunakan oleh rakyat Malaysia dan Singapura sedangkan kadar tol di jambatan yang digunakan oleh sebahagian besar rakyat negara ini dinaikkan pula.

"Kenapa dalam kes Johor, laluan yang menghubungkan dua negara, kadar tol diturunkan. Di Pulau Pinang, jambatannya menghubungkan tanah besar dengan pulau. Kedua-duanya di negara yang sama - 1 Malaysia - tetapi tol dinaikkan.

"Di Johor, pengurangan tol membawa manfaat kepada rakyat Singapura dan juga Malaysia. Di Pulau Pinang, jika tol dikurangkan, ia memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia,” kata Lim yang juga ahli parlimen Bagan di lobi parlimen hari ini.

Katanya, kerajaan persekutuan perlu menepati janjinya bahawa melalui konsep 1Malaysia, kerajaan mesti berlaku adil secara menyeluruh kepada semua rakyat.Kadar tol di Link Kedua itu akan dikurangkan berkuatkuasa 1 Ogos ini.

"Kami berharap kerajaan berlaku adil dan akan mempertimbangkan pengurangan kadar tol agar rakyat Pulau Pinang juga dapat menikmati faedah dan kemudahan seperti yang diberikan kepada rakyat Johor,” katanya.

Beliau juga berkata adalah sesuatu yang pelik apabila kerajaan sanggup mengurangkan kadar tol di Link Kedua sedangkan jambatan berkenaan tidak menguntungkan.

Sedangkan, katanya, kos membina jambatan Pulau Pinang sudah dikutip balik, jadi sepatutnya tol perlu dikurangkan dan bukannya dinaikkan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: