02 Julai 2010

Kelantan cari jalan bantu rakyat

18 Rejab 1431 H
Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 1 Julai: Kerajaan Kelantan sentiasa mencari jalan membantu rakyat khususnya semasa berlaku kematian dalam keluarga, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kerajaan negeri membelanjakan antara RM3 hingga RM4 juta setahun bagi membayar premium insurans takaful untuk rakyat yang mencapai umur 60 tahun ke atas menerusi Skim Takaful Kifalah.

Skim Takaful Kifalah (warga emas) adalah suatu peruntukan khusus membabitkan semua warga emas rakyat Kelantan yang berumur 60 tahun ke atas tanpa mengira jantina, keturunan, bangsa dan agama.

“Seseorang ahli Skim Takaful Kifalah yang berumur 60 tahun dan ke atas, apabila mereka meninggal dunia, wasinya (keluarga si mati) akan menerima bayaran RM1,500 bertujuan meringankan bebanan keluarga berkenaan ketika berurusan pengkebumian jenazah,” katanya semasa Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Negeri Kelantan (PPPIK) ke-27 di Wisma Guru-Guru Ugama di sini, baru-baru ini.

Rakyat yang berumur 60 tahun ke atas, katanya mereka hanya diminta mengisi borang insurans takaful tersebut, kemudian kerajaan negeri yang membayarnya. Dalam perkembangan lain, beliau bersetuju dengan saranan Jawatankuasa PPPIK supaya setiap ahlinya memasuki insuran takaful dan pendekatan terbaik hendaklah dicari bagi tujuan tersebut.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bunut Payong berkata, bagi memberi ruang yang lebih banyak kepada kegiatan dalam urusan membabitkan peniaga dan pemborong, kerajaan negeri mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya pejabat beralih ke Bandar Baru Tunjong yang merupakan bandar ‘sambungan’ kepada Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Dalam hal itu, Pejabat Audit, Pejabat Imigresen, Pejabat Bomba dan Penyelamat, Pejabat Tanah dan Mahkamah Syariah di samping banyak lagi pejabat dan jabatan dicadangkan berpindah ke Bandar Baru Tunjong dan di kawasan penempatan di Jalan Salor dekat bandar tersebut apabila pembangunan di kawasan itu siap sepenuhnya.

“Perpindahan termasuk membabitkan kawasan penempatan di Jalan Salor dekat Bandar Baru Tunjong yang menempatkan Terminal Makanan Negara. Turut dicadangkan berpindah ialah tapak bagi peniaga dan pemborong ikan,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: