13 Ogos 2010

Bekas tahanan ISA gagal dapat gantirugi RM2.5j

2 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan rayuan bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdul Malek Hussein yang hilang gantirugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Md Sherif yang mengetuai panel tiga hakim yang bersidang hari ini berkata Mahkamah Persekutuan berpuas hati dengan ketiga-tiga soalan yang diajukan mengikut Seksyen 96, Akta Mahkamah Keadilan (Courts of Judicature Act ) kerana isu berkenaan tidak jatuh di bawah peruntukkan itu.

"Justeru, permohonan ditolak."Dua hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan Abdul Malek membayar RM20,000 sebagai kos kepada ketiga-tiga responden.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membuat penghakiman bersejarah dengan menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepada Abdul Malek.Abdul Malek ditahan selama 57 hari dan dibebaskan pada 21 Nov 1998

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Mac lalu, mengetepikan penghakiman Mahkamah
Tinggi itu dan memutuskan Abdul Malek tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan untuk membayar kos litigasi RM50,000.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: