22 Februari 2011

Enam sekolah catat peningkatan

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BACHOK – Tiga daripada enam sekolah menengah dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, mendapat kelulusan 100 peratus bagi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, tiga sekolah yang mencatatkan peningkatan kelulusan am bagi tahun lalu, ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Perdana (100 peratus), SMK Badak (97.4 peratus) dan SMK Bachok (93.7 peratus).

Tiga sekolah lain yang cemerlang ialah SMK Long Yunus dengan 98.9 peratus (berbanding 96.5 peratus pada 2009), SMK Sri Gunung dengan 99.3 peratus (100 peratus pada 2009) dan SM Teknik dengan pencapaian pertamanya 98.5 peratus.

“Bagi pencapaian kecemerlangan 5P pula, melibatkan lima sekolah menengah iaitu SMK Badak apabila 66 calonnya mendapat 5P dengan catatan 47.5 peratus, berbanding 26.9 pada 2009, SMK Sri Gunung 65 calon dengan peratusan 41.9 berbanding 39.4 peratus pada 2009 dan SMK Bachok 41 orang iaitu 35 peratus berbanding 39.4 pada 2009.

“Dua sekolah yang lain ialah SMK Long Yunus mencatat 25 calon 5P dengan 26.3 peratus dan SMK Teknik dengan seorang calon mendapat 5P (0.02 peratus),” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM peringkat PPD Bachok di pejabatnya semalam.

Bagi kecemerlangan Gred Purata Sekolah (GPS) yang melibatkan keputusan ‘Straight A’ hanya menobatkan dua sekolah iaitu SMK Sri Gunung (dua calon) dan SMK Badak (tiga calon).

Saupi berkata, semua kejayaan tersebut adalah hasil komitmen pihak pentadbiran, guru dan pelajar yang saling bertungkus lumus menggembleng tenaga dan kemahiran untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah masing- masing.

Katanya, pelbagai program yang diadakan setiap tahun untuk meningkatkan prestasi pelajar memainkan peranan penting untuk meningkatkan motivasi dan kecemerlangan mereka.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua enam sekolah yang berjaya mencatatkan peningkatan tahun ini.

“Tidak lupa juga kepada pelajar, guru dan pihak Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) yang memainkan peranan menyokong pihak sekolah dalam setiap aktiviti.

“Saya harap, semua sekolah akan menghargai kejayaan ini akan mendorong lebih ramai lagi calon cemerlang pada masa depan,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: