10 Februari 2011

Keperluan media bersama PR

07 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Li Fook Gao.

Minda Naib Presiden PAS ke 22 bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar. Jika anda mempunyai soalan khas untuk ditujukan untuk ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila emailkan kepada sembangnaibpresidenpas@gmail.com

Soalan 1:

Berikan penilaian terhadap jentera PAS dan Pakatan Rakyat di PRK Tenang. Apa kekurangan yang harus diatasi sebelum PRK Merlimau?.

Tuan Ibrahim:

Pada keseluruhannya jentera parti PAS telah melakukan kerja yang sangat baik, dan penghargaan harus diberi kepada mereka bahkan seluruh jentera dari DAP dan PKR. Kita boleh lihat bagaimana mereka telah memulakan tugasan seawal pengistiharan kekosongan kerusi DUN Tenang.

Pada peringkat awal kita memang menjangkakan agak sukar untuk memenangi kerusi Tenang, kerana kelemahan jentera dan organisasi PAS di sana; dan majoriti yang melebihi dua ribu dalam mana-mana PRK adalah sesuatu yang sukar di atasi.

Kelemahan utama ialah kerja yang bersifat umum, dan tidak fokus kepada undi sasaran. Oleh kerana terdapat kawasan yang dianggap kubu bagi BN, (Felda , Felcra dan kampung tradisi), maka jentera parti banyak menumpukan di kawasan ini, dan kegagalan mendapat undi sasaran menyebabkan kita gagal.

Di samping itu, faktor banjir juga menyebabkan ada pengundi yang tidak dapat ke tempat pengundian dan kesibukan menghadapi banjir disebabkan ketidakmampuan kita dalam menyediakan boat dan kenderaan yang sesuai.

Salahuddin Ayub:

Saya rasa PRK Tenang telah memberikan suatu gambaran yang jelas bahawa walau apapun yang cuba digambarkan media tradisional kerajaan, PR masih utuh dan ketiga-tiga pimpinan parti telah menunjukkan satu kombinasi, iltizam dan komitmen yang begitu tinggi.

Cuma saya rasa pada masa-masa akan datang, gandingan ketiga-tiga tokoh ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Tuan Guru Presiden dan YB Lim Kit Siang harus dilihat lebih mantap dengan gerakan bersama yang dilihat sebagai lambang kekuatan dan keutuhan PR.

Mahfuz Omar:

Isu di Tenang bukan masalah dari segi kekuatan bilangan jentera. Jentera kita cukup kuat tetapi kelemahan kita ialah dalam mengkomunikasikan segala dasar dan polisi yang ingin dibawa PAS dan PR itu sampai kepada rakyat.

Di samping itu, kita juga kena memikirkan cara untuk berkomunikasi terhadap segala persoalan dan isu yang berbangkit dalam negara dapat difahami sepertimana yang kita kehendaki.

Ini merupakan kelemahan-kelemahan dalam konteks ini kerana kita kadang-kadang terlalu leka untuk menyampaikan sesuatu dasar dan polisi yang kita nak bawa dalam pemerintahan kita.

Kita harap orang akan faham apa yang kita kehendaki, tetapi kita pula jarang memahami ada perkara yang kita bercakap “A”, orang lain akan faham “B”. Ini persoalan yang harus dikaji oleh PAS dan PR supaya frequensi komunikasi itu sama, di mana apabila kita bercakap “A”, orang akan dapat “A” dan bukannnya “B” kerana ini antara kelemahan kita di PRK Tenang.

Tidak dinafikan juga, propaganda BN walaupun dengan menggunakan segala dana rakyat melalui media tradisional dan sebagainya, ini berjaya berpihak kepada BN.

Akan tetapi, kita harus fikirkan cara atasi masalah ini dari sudut kelemahan media yang tidak berpihak pada kita ini. Kita harus fikirkan cara bagaimana untuk mengheret dan mengumpan media tradisional ini supaya akhirnya tindakbalas dan reaksi mereka akan membawa manfaat kepada kita.

Soalan 2:

Apakah pendekatan berbeza yang boleh dilakukan Pakatan Rakyat kali ini untuk menonjolkan kelainan PR daripada BN dalam menghadapi PRK Merlimau?

Salahuddin Ayub:

Saya rasa kita harus ada pendekatan-pendekatan baru yang inovatif, dan kita boleh cuba kaedah-kaedah dan pendekatan baru khususnya bagi mendekati pengundi-pengundi muda.

Dan kita harus lebih banyak menonjolkan kebersamaan dan komitmen ketiga-tiga parti dalam blog, Facebook dan juga Twitter supaya akses pada generasi ini lebih cepat.

Yang ketiga saya ialah sentuhan-sentuhan baru dengan menggunakan teknologi IT juga harus dipertingkatkan di samping kita mencari kaedah terbaik mengekalkan sokongan undi bukan Melayu dan juga meraih sokongan daripada pengundi Melayu.

Mahfuz Omar:

Kita tidak boleh melihat dengan kaca mata yang sama apabila kita turun dengan full force sebagai satu strategi dan taktikal yang bijak bukan dalam semua keadaan.

Kita juga perlu wujudkan kelainan daripada sudut tenaga jentera kita yang sedikit dan dana kita yang lebih kecil tetapi penghasilan kita lebih baik dan mantap.

Pakatan Rakyat kena tanya diri sendiri, apakah yang kita hendaki atau objektif kita di PRK Merlimau?

Ini yang harus diletakkan sasaran supaya kita tahu apa yang terbaik yang boleh kita perolehi.

Strategi dan taktikal yang betul juga bukan bermakna semua PRK kita kena sertai. Tidak sertai satu-satu pilihanraya mungkin juga ialah satu strategi dan taktikal yang baik.

Strategi dan taktikal yang betul itu bukan bermakna semua PRK kita seharusnya turun dengan kewangan yang besar dan full force kerana strategi itu tidak semestinya sesuai dengan semua masa dan keadaan.

Ada masa dan keadaan di mana kekuatan kita lebih kecil daripada biasa namun kita mencapai hasil yang boleh dibanggakan juga merupakan satu strategi dan taktikal untuk memperlihatkan kelainan kita kepada masyarakat dan rakyat selepas daripada keputusan PRK itu dicapai.

Secara ringkasnya, kita tidak boleh berfikir untuk menyertai PRK dengan cara biasa, kita mesti menyertai pilihanraya ini dengan cara luar biasa – luar biasa itu bukan bermakna dulu jentera kita sedikit, kini kita kena banyak.

Jika kita inginkan hasil yang luar biasa, kita kena berfikir cara luar biasa kerana jika kita sentiasa guna cara biasa, hasil kita akan seperti biasa. Harap direnungkan….

Tuan Ibrahim:

Untuk Merlimau PAS dijangka menghadapi suasana lebih agresif berbanding Tenang; akan tetapi itu bukanlah masalah.

Mekanisma kita untuk menghadapi mereka perlu fokus kepada undi sasaran dan hadapi pengundi secara berhemah. Masyarakat akan menilai dan tidak perlu menggunakan pendekatan agresif bagi menghadapi mereka.

Pendekatan ziarah dan kunjungan pimpinan di samping pengedaran risalah agar maklumat sampai kepada pengundi sasaran perlu dipastikan berjalan lancar. Suasana agresif di hari pengundian juga perlu dielakkan, kerana provokasi akan menakutkan pengundi, khususnya kaum Tionghua.

Soalan 3:

Perlukah Pakatan Rakyat mewujudkan satu media bersepadu berperanan seperti Bernama untuk menyebarkan berita-berita Pakatan Rakyat ke semua media/suratkhabar/laman web berita alternatif supaya berita mengenai Pakatan Rakyat tidak diputarbelitkan dan dibuat dalam konteks yang betul?

Mahfuz Omar:

Itu satu perkara yang sangat wajar bagi saya bahawa satu agensi berita rasmi PR perlu diwujudkan.

Selain itu, satu sekretariat media rasmi PR perlu diwujudkan yang berfungsi menyalurkan semua maklumat, pendirian terhadap segala persoalan dan pergolakan dan juga mengkomunikasikan dasar dan polisi yang dibawa Pakatan Rakyat kepada semua media rasmi kita, media alternatif dan media-media terutamanya blog-blog yang mendokong cita-cita PR ini.

Akan tetapi, kebergantungan kita terhadap media adalah satu bab lain, satu perkara yang lebih penting ialah kebijaksanaan cara pemimpin-pemimpin kita dalam mengeluarkan kenyataan dan menjawab soalan-soalan media perlu harus difikirkan oleh PR.

Kita tidak boleh sewenang-wenang mengeluarkan atau memberikan respons kepada apa yang diperkatakan dan dihulurkan soalan oleh media tanpa melihat kepada situasi politik secara menyeluruh – ini sangat bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing untuk mengelak sendiri daripada diumpan media ke jerat kontroversi.

Kadang-kadang (kenyataan diputarbelitkan) bukan kerana kita tidak mempunyai media bersepadu yang melibatkan orang tidak mendapat maklumat atau kita dieksploitasi media lawan ini – tapi kerana kesilapan kita.

Kita juga harus memanfaatkan peluang dalam media tradisional lawan dalam rancangan-rancangan berbentuk forum yang boleh kita buat panggilan – jadi perlu ada petugas-petugas khas yang membuat panggilan yang cepat untuk memintas segala propaganda yang cuba dibawa oleh panel-panel talkshow forum dan media tersebut.

Ini yang dikatakan strategi “monkey ranching” untuk kucar-kacirkan media tradisional yang juga perlu ada pada PR.

Tuan Ibrahim:

Cadangan ini sangat baik, kerana ianya akan lebih tersusun, menjimatkan kos dan tenaga.

Walaupun ianya adalah sesuatu yang agak sukar, tetapi lujnah penerangan di setiap parti mampu melakukannya; di samping mekanisma pengedaran yang lebih bersistematik khususnya untuk PRK Merlimau.

Dalam konteks parti PR, setiap parti perlu menyalurkan mesej bersifat kepartian masing-masing, dan ini adalah hak parti, tetapi bagi menyalurkan maklumat umum ianya perlu diwujudkan sekurang-kurangnya sebuah akhbar PR yang bersifat dwi bulanan, dan adanya web khusus bagi saluran rasmi PR.

Salahuddin Ayub:

Saya rasa itu satu cadangan yang cukup proaktif dan cukup mencabar, walau apapun PR mesti berfikir ke arah itu supaya kita dapat memiliki sendiri pusat berita kita, dan kita lihat lebih berupaya untuk menyebarkan maklumat kita dalam acuan kita sendiri.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: