10 Februari 2011

40 terbunuh di Kharga

07 Rabiul Awal 1432 H.

KUMPULAN penentang kerajaan Hosni Mubarak menunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen negara itu di Kaherah, semalam.

PENUNJUK perasaan antikerajaan berkumpul berhampiran kereta kebal yang mengawal Muzium Mesir, berhampiran Medan Tahrir, semalam.

KAHERAH: Kumpulan pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin berkata semalam, sekurang-kurangnya 40 penunjuk perasaan terbunuh di Kharga, selatan negara itu ketika revolusi rakyat di seluruh Mesir masuk hari ke-16 semalam.

Ikhwan, dalam kenyataannya berkata, pasukan keselamatan Mesir mensasarkan penunjuk perasaan antikerajaan di daerah itu dengan peluru hidup.

Sementara itu, Medan tahrir di Kaherah terus sesak dengan penunjuk perasaan yang menuntut Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Sehingga ini, pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch berkata, hampir 300 orang terbunuh akibat tunjuk peerasaan itu, se selepas pegawainya melawat sembilan hospital. Dalam pada itu, Naib Presiden, Omar Suleiman berkata, kerajaan tidak lagi boleh bertolak ansur dengan tunjuk perasaan yang sudah berlarutan begitu lama.

Omar berkata demikian ketika 50,000 penunjuk perasaan menghalang Perdana Menteri, Ahmed Shafiq daripada memasuki pejabatnya di Kaherah sambil mendesak beliau meletak jawatan bersama-sama anggota Kabinetnya yang lain.

Orang ramai juga berarak ke Kementerian Dalam Negeri dan bangunan Parlimen di ibu negara itu meskipun kerajaan berjanji untuk melakukan pembaharuan pada perlembagaan dan menaikkan gaji kakitangan awam.

Omar juga berkata, kerajaan mempunyai rancangan dan jadual untuk pemindahan kuasa secara aman.

Di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir, ramai penunjuk perasaan meluahkan rasa marah terhadap sikap Amerika Syarikat dalam menangani revolusi di negara itu.
Sementara itu, beribu-ribu pekerja di bandar Suez dan Ismailia melancarkan mogok.

Metro/-

1 ulasan:

mohamad kholid berkata...

bila akan berakhir? nampaknya mahal sungguh harga demokrasi dan kebebasan bersuara.