10 Februari 2011

Beri tanah, bantu Melayu, ekuiti hanya 6-7%

7 RabiulAwal 1432H.MOD -
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Syed Ali Alattas berkata beliau yakin golongan Melayu dan bumiputera akan berjaya mencapai sasaran kadar ekuiti sebanyak 30 peratus menjelang 2015.

Jelasnya, kadar berkenaan dapat dicapai sekiranya masalah membabitkan golongan itu dapat diselesaikan di peringkat pelaksana – khususnya pihak berkuasa tempatan.

Katanya, berdasarkan kajian DPMM, kadar ekuiti golongan itu pada masa kini hanyalah sekitar enam hingga tujuh peratus sahaja.

"Tapi kita tidak seharusnya beri angka sahaja. Semua orang boleh bercakap tapi kita perlukan tindakan yang konkrit untuk membantu bumiputera," kata Syed Ali (atas, kanan) dalam satu sidang media di pejabatnya di Bukit Damansara hari ini.

Tambahnya, isu melibatkan undang-undang kecil, termasuk melibatkan pelesenan dan dasar pemilikan tanah perlu diperbaiki memandangkan pihak berkuasa tempatan merupakan pihak yang paling dekat dengan golongan peniaga bumiputera.

Masalah melibatkan pembiayaan golongan peniaga itu juga perlu diselesaikan, termasuk bagi menyelesaikan soal pemilikan kedai dan memperbaiki sistem pengedaran runcit.

"Semua hutang kedai-kedai ini selesaikan dengan satu kaedah pembiayaan. Jika tidak, jika kedai mereka dilelong (timbul masalah).

"Teruslah beri tanah kepada (peniaga bumiputera). Kalau kita boleh beri tanah kepada orang berekar-ekar, ini orang yang (minta cuma seluas) sepuluh (kaki persegi) pun tak boleh kasi?

"Jadi perlu diselesaikan sekaligus. (Ini memerlukan) satu badan pembiayaan dan sistem baru yang komprehensif," katanya lagi.

Isu berkenaan merupakan antara yang akan diketengahkan dalam Makmal Sosioekonomi Melayu yang diterajui DPMM, kata Syed Ali lagi.

Makmal berkenaan merupakan salah satu inisiatif bawah TERAJU yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Isu berhubung kuota ekuiti bumiputera itu timbul ekoran bantahan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) ke atas pelupusan kuota berkenaan melalui Model Baru Ekonomi (MBE), seperti didedahkan seorang anggota majlis itu semalam.(MKini)

Tiada ulasan: