22 November 2011

47 mangsa banjir di Setiu masih berada di pusat pemindahan

26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Seramai 47 orang daripada 11 keluarga mangsa banjir dari Kampung Tasik Setiu yang dipindahkan pagi semalam masih berada di pusat pemindahan di balai raya kampung itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri Terengganu berkata, jumlah itu mungkin bertambah kerana masih ada mangsa banjir yang sedang dipindahkan.

Beliau berkata, mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu seramai 13 orang dan empat orang di Marang yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi semalam dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, malam tadi.
"Ini berikutan air di kawasan rumah mereka sudah surut," katanya.

Beliau berkata, hujan lebat berterusan kelmarin menyebabkan kawasan rendah dinaiki air dan berlaku banjir di daerah berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air Sungai Nerus pagi ini melepasi paras bahaya.

Jurucakapnya berkata, mengikut bacaan pada jam 8 pagi ini, di Kampung Langkap paras air mencecah 21.53 meter (bahaya 21.5 meter) dan di Kampung Bukit 12.94 meter (bahaya 12 meter).

Bagaimanapun, katanya paras air di sungaii utama di daerah lain masih berada di bawah paras biasa.

Keadaan cuaca di Terengganu pagi ini hujan renyai-renyai disusuli dengan angin kencang. - BERNAMA

Tiada ulasan: