22 November 2011

Tangan ghaib masih ganggu UIAM

26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal dengan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana bertindak membatalkan program e-buku Datuk Saifuddin bertajuk ‘Kalau Saya Mahasiswa’ saat akhir atas alasan keselamatan kepada mahasiswa universiti itu.

Timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berpendapat, alasan yang diberikan oleh pihak pentadbiran UIAM sangat remeh dan hanya bersifat teknikal iaitu mengelakkan isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dibincangkan, sedangkan objektif yang sepatutnya dilihat hasil daripada wacana ini amat besar manfaatnya untuk mahasiswa.

“Sepatutnya program ini digalakkan kerana ia amat positif dan membina minda mahasiswa.

“DPPWP yakin, tidak ada unsur politik di sebalik penganjuran program ini memandangkan tokoh yang diundang adalah Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

DPPWP, ujarnya mengesyaki adanya tangan-tangan ghaib atau campurtangan politik sehingga program itu terpaksa dibatalkan saat akhir sedangkan segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin.

“Apakah kerana sikap keterbukaan serta kelantangan Datuk Saifuddin yang cuba membawa pendekatan baru dalam menangani isu mahasiswa serta Auku, maka beliau juga disenarai hitamkan?

“Apakah masalahnya jika AUKU turut menjadi isu perbincangan kerana ia dibincangkan secara ilmiah, bukan atas dasar sentimen semata-mata?” soalnya.

Lebih dari itu, ujarnya siapa lagi yang layak membincangkan isu itu melainkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri yang mempunyai autoriti dalam Auku.

Justeru, ujarnya DPPWP kesal kerana dalam keadaan UIAM mengejar status antara universiti yang ulung dan hebat di negara ini bahkan di rantau Asia, wacana intelektual dan ilmiah bagi mencambah minda mahasiswa dibatalkan.

UIAM, kata beliau sepatutnya menjadi pentas membina kematangan dan intelektualisme kelas dunia kepada mahasiswa, sesuai dengan statusnya sebagai universiti bersifat antarabangsa.

“Jika beginilah sikap pentadbiran UIAM, ia menunjukkan UIAM bukan semakin melangkah ke hadapan, tetapi semakin mengundur ke belakang.

“Sikap ini adalah mentaliti ketinggalan zaman yang membekukan minda mahasiswa dari berfikir secara rasional,” katanya.

Sudah tentu, katanya lagi UIAM tidak mampu melahirkan insan terbilang serta tokoh dan pemimpin negara di masa depan.

“Sebaliknya, keadaan ini hanya menghasilkan insan yang berjiwa kerdil, jumud, konservatif serta tidak berfikiran rasional,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: