22 November 2011

RUU perhimpunan Aman cuba sekat hak rakyat - DAP

26 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Nov: DAP menggelarkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini sebagai "Rang Undang-Undang Perhimpunan Haram".

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ianya kerana perkara yang termaktub dalam RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pagi tadi lebih ketat dan menyusahkan rakyat yang mahu berhimpun secara aman.

"Ini bukan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman tapi "Rang Undang-Undang Perhimpunan Haram kerana lebih teruk daripada dahulu.

"DAP amat kecewa kerana tidak perbaiki atau memberikan hak asasi berhimpun sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri.

"Sebaliknya ia mengetatkan lagi serta menyusahkan dan menambah denda dan ini mempunyai kesan sebaliknya iaitu mengurangkan ruang rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka secara aman," kata beliau pada sidang media di lobi Parimen hari ini.

Merujuk kepada kawasan larangan berhimpun, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ianya seolah-olah melarang rakyat berhimpun di mana-mana tempat pun di negara ini.

Tempat larangan yang disenaraikan dalam RUU tersebut ialah empangan, takungan dan kawasan tadahan air, loji rawatan air, stesen penjana elektrik, stesen minyak, hospital, balai bomba, lapangan terbang, landasan keretapi, terminal pengangkutan awam darat, pelabuhan, terusan, limbungan, dermaga, jeti, jambatan dan marina, tempat ibadat, tadika dan sekolah.

"Dalam jadual ini diyatakan kawasan larangan yang menunjukkan bahawa di Malaysia ini rakyat tidak boleh berhimpun di mana-mana pun kerana ia meletakkan syarat tidak boleh berada dalam jarak lima puluh meter daripada kawasan-kawasan uang disebutkan.

"Di Malaysia ini kita ada banyak masjid, tokong, kuil, stesen minyak, jadi bagaimna kalau rakyat tidak boleh berda di kawasan ini?" soalnya .

Turut dipersoalkan beliau mengenai denda yang akan dikenakan ke atas peserta himpunan yang dianggap "degil" iaitu tidak melebihi RM20,000.
Ini katanya lebih tinggi dariapda RUU sebelum ini.

"Selain tidak sebut bilangan orang dan sesiapa yang ada dalam sesuatu perhimpunan, di mana polis ingin mengambil tindakan dia boleh tangkap sesiapa dengan denda RM20,000," katanya.

Selain itu, antara kandungan RUU tersebut yang dilihat tidak munasabah ialah tiada protes jalanan dibenarkan, tiada protes dalam 50 meter daripada kawasan yang dilarang, termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat,individu bawah umur 21 tidak dibenar menganjurkan perhimpunan, dan Kanak-kanak bawah 15 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam perhimpunan, termasuk berkaitan kebudayaan dan acara keagamaan seperti perarakan kematian yang diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri.

RUU tersebut akan dibacakan untuk bacaan kali kedua minggu hadapan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: