05 Disember 2011

60 peluk Islam serentak

9 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Seramai 60 saudara baru diislamkan secara serentak dalam satu majlis anjuran Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dengan kerjasama Perkim di Balairaya Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.


Pengarah Jaij, Elias Hasran berkata, seramai 800 saudara baru telah diislamkan bagi tahun ini, manakala seramai 6,100 daripada 12,000 bilangan Orang Asli yang terdapat di negeri ini telah memeluk Islam.

Beliau berkata, Jaij menyasarkan untuk mengislamkan 100 peratus golongan Orang Asli dan pelbagai program bimbingan dan penyebaran dakwah dalam kalangan saudara baru berkenaan telah dijalankan.

“Setakat ini lebih 50 peratus Orang Asli negeri ini telah memeluk Islam dan kalau boleh 100 peratus masuk Islam terutamanya golongan anak-anak muda.

“Dalam pada itu, kita juga tidak mahu saudara baru ini tersasar, jadi pelbagai kelas bimbingan termasuk 42 tenaga pengajar telah disediakan khusus untuk kumpulan orang asli ini,” katanya pada Majlis Pengislaman Orang Asli dan Meraikan Saudara Kita, di sini, semalam.

Sementara itu, salah seorang saudara baru, Muhamad An Abdullah, 22, berkata, dia tergerak untuk memeluk Islam setelah melihat cara hidup masyarakat Melayu yang saling menghormati di antara satu sama lain.

“Saya telah biasa bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada masyarakat Melayu dan rasa tersentuh dengan cara layanan mereka yang amat baik ketika saya ke rumah mereka pada musim perayaan.

“Dari situ saya mula belajar sedikit demi sedikit mengenai Islam dan akhirnya membuat keputusan memeluk Islam,” katanya.

Muhamad berkata, dia juga berasa lebih tenang dan bahagia setelah memeluk Islam dan sering menyertai kelas agama yang disediakan berhampiran tempatnya bekerja bagi mendalami agama Islam.

Dalam pada itu, salah seorang Orang Asli, Atan Bahmus, 32, berkata, dia dan anaknya memeluk Islam pada majlis berkenaan dan berasa bersyukur kerana terbuka hati untuk menyertai program pengislaman berkenaan.

“Sebelum ini kami sekeluarga tidak mempunyai pegangan agama atau kepercayaan, kehidupan kami juga terasa kosong.

“Saya berharap niat kami memeluk Islam pada hari ini (semalam) mendapat keberkatan dari-Nya,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

ngah phg berkata...

alhamdulillah..