05 Disember 2011

Awasi bahaya syirik

9 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Konsep perubatan sebenar termasuk perubatan alternatif berasaskan Islam ialah apabila si pengamal menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t sebagai penyembuh, manakala dia hanya sebagai pihak yang berikhtiar.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Razak Idris, berkata ikhtiar bermaksud pengamal perubatan berkenaan hanya menggunakan kepakarannya dengan tidak mencampur aduk dengan amalan tertentu berbentuk syirik.

“Ikhtiar untuk membantu pesakit mengurangkan kesakitan dialami dengan menggunakan kepakarannya bukan bermakna dia menambah sesuatu yang meragukan hingga begitu yakin mendakwa penyakit akan sembuh jika mengamalkannya.

“Sebagai contoh dalam kes tukang urut ini dia menggunakan jampi serapah dan sebagainya, itu sudah kira menjurus kepada perbuatan syirik dan ia sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

“Berikutan itu, sebagai pesakit, kena berhati-hati memilih pengamal perubatan kerana kita sedar pada hari ini ramai yang terpesong daripada nas agama apabila berubat dan tidak kurang juga yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan,” katanya di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai pakar urut urat tradisional yang didakwa mampu memulihkan pelbagai jenis penyakit zahir dan batin, namun proses dan kos rawatan digunakan tidak masuk akal.

Perkara itu didedahkan seorang jurutera dikenali Amir, 45, yang membawa isterinya ke pusat terbabit untuk berurut, tetapi dikenakan bayaran RM675 untuk sekali rawatan hingga isteri pulih dan terpaksa menjalani proses urut yang disusuli bacaan mantera selain hembusan asap rokok.

Malah, dia turut mendakwa ditipu pasangan tukang urut itu apabila perlu datang kali kedua untuk rawatan susulan dengan bayaran sama kerana diberitahu masih ada ‘benda tak elok’ yang perlu dibuang selain ubat ‘mujarab’ bernilai RM9,000.

Menjelas lebih lanjut, Dr Muhamad Razak berkata, sebagai pengamal urutan tradisional, seseorang itu haruslah menganggap perkhidmatan ditawarkan satu ibadat dan harus baginya untuk menjaga tatasusila ketika berubat.

“Mengikut perspektif agama, Islam tidak melarang perkhidmatan ini selagi ia mengikut landasan betul dan penjagaan tatasusila sangat dititikberatkan…tak mengurut orang yang bukan mahramnya serta ada batas-batas tertentu yang lain.

“Jadi, saya nasihatkan pelanggan mahupun pesakit, berhati-hatilah mencari pengamal perubatan yang sesuai dan rujuk kepada orang yang lebih pakar jika tidak arif mengenai perkara ini,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: