05 Disember 2011

Jaga tepi kain, bukan suruh selak kain

9 Muharram 1433H. [MOD] -

PENANTI, 5 Dis: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan, Islam melarang sama sekali umatnya menyelak kain saudaranya sendiri sehingga boleh menjatuhkan maruah dan meruntuhkan tali persaudaraan.
Sebaliknya, kata beliau Islam hanya mengajar umatnya menjaga ‘tepi kain’ saudaranya sendiri sebagai teguran sekiranya ada saudaranya yang terbabas terutama membabitkan akidah.

Katanya, kelakuan menyelak kain atau menabur fitnah yang berterusan kepada saudaranya bukan kerja Islam sebaliknya kerja syaitan yang inginkan perhubungan antara umat Islam lebur sekaligus memutuskan pertalian.

"Perbuatan menjagai tepi kain orang memang digalakkan dalam Islam kerana sikap tersebut boleh memperbetulkan semula sekira saudaranya terbabas, tetapi bukan sampai menyelak kain sehingga terburai semua yang selama ini orang tidak tahu," jelasnya ketika berucap dalam forum Perdana sempena Maal Hijrah anjuran Pejabat Exco Agama Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEIPP), Briged Keselamatan Permatang Pauh dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Penanti di Kampung Terus semalam.

Bagi beliau jika benar saudara seislam melakukan kesalahan, maka perlu menegur, menasihati dan mendekatinya agar tidak meneruskan tradisi fitnah sehingga boleh menjejaskan persaudaraan yang terjalin.

Hari ini soalnya, kenapa perasaan menjagai tepi kain orang tidak lagi popular tetapi perbuatan menyelak kain orang sampai terburai semua perbuatan yang selama ini tidak diketahui ramai menjadi pilihan.

Turut menjadi ahli panel pada forum bertajuk 'Demi Ummah... Ada Aku Kisah' ialah pendakwah bebas, Ustaz Mohd Hussain Yee dan peguam syariah, Rosidi Hussain yang dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan.

Harakah Daily

1 ulasan:

Unknown berkata...

sedih perlajar sekoalh zaman sekarang