14 Disember 2011

Buruh ke tali gantung

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Angkara mengedar 60.89 gram dadah dua tahun lalu, seorang buruh menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hukuman terhadap Rosdi Taib, 43 dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama kerana kesalahan mengedar dadah.

Dia didapati bersalah pada pertuduhan mengedar dadah metamphetamine itu di hadapan sebuah kedai runcit di tepi Jalan Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada jam 7 petang, 8 Disember 2009.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nor Hidayah Mohd Razali.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di atas kes pendakwaan, berikutan itu tertuduh adalah bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan.

“Hanya satu hukuman sahaja di bawah pertuduhan ini, iaitu di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya dan tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Terdahulu, Azman membenarkan tertuduh merayu, bagaimanapun, Nor Hidayah tidak kemukakan sebarang rayuan sebelum hukuman diputuskan, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: