14 Disember 2011

Polis temui pistol, 203 butir peluru

18 Muharram 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Simpang Renggam, Kluang, susulan daripada penemuan 203 butir peluru .38 special, pada 11 Disember lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, turut ditahan bersama lelaki terbabit adalah pasangannya yang juga seorang wanita berusia 29 tahun.

Menurutnya, hasil daripada siasatan lanjut ke atas pasangan terbabit dan kenderaan dinaiki, pihaknya menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver .38 berserta tujuh butir peluru dan satu kelongsong peluru.

“Bertindak atas maklumat, polis menjumpai dua kotak mengandungi beberapa butir peluru di dalam sebuah bilik di Jalan Belibis, Taman Perling, di sini.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, polis menemui 203 butir peluru .38 special. Susulan daripada maklumat berkenaan, polis menahan seorang lelaki dan wanita di R&R Simpang Renggam.

“Polis menemui sepucuk pistol berserta peluru dan kelongsong peluru. Turut dirampas enam paket dadah seberat tiga gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, pasangan terbabit juga didapati positif dadah jenis Syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, katanya, atas kesalahan memiliki pistol terbabit, suspek disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

“Hasil daripada pemeriksaan, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan akan ditahan reman sehingga 14 Disember ini (hari ini),” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: