14 Disember 2011

Takziah buat keluarga Pak Majid Salleh

Setiausaha PAS Perak,Dr.Muhaimin Sulam yang melawat Pak Majid yang terlantar sakit sebelum ini.

18 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: PAS Perak merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Abdul Majid Salleh atau lebih dikenali sebagai Pak Imam Majid Salleh diatas pemergiannya kerahmatullah awal pagi tadi.

Allahyarham, pernah aktif dalam Angkatan Pemuda Insaf dan Persatuan Kebangsaan Melayu Muda bersama tokoh-tokoh ternama seperti Dr Burhanuddin al Hilmy, Ahmad Boestamam dan seluruh pejuang kemerdekaan yang tulen yang lain dalam menentang British sehingga beliau ditahan dan dipenjarakan.

Selain itu beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Gopeng pada tahun 80an dan juga pernah bertanding dalam Pilihanraya menentang presiden MCA Tan Kon Swan pada tahun 1986 di Parlimen Gopeng.

"PAS Perak dan seluruh kawasan-kawasan kehilangan seorang pejuang yang begitu gigih dan sangat konsisten dalam memartabatkan Islam dan mengangkat martabat rakyat di bumi Malaysia.

"Pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh sangat dirasai oleh seluruh rakyat negeri Perak," kata Pesuruhjaya PAS Perak Ust Abu Bakar Hussain.

Pengorbanan dan semangat juang Pak Imam Majid ujarnya wajar dicontohi oleh rakyat terutamanya generasi muda.

Menurutnya, walaupun pemergian Allahyarham Abdul Majid Salleh satu kehilangan besar bagi rakyat, tetapi Allahyarham telah berjaya membuktikan bahawa beliau telah menggunakan kesempatan hidup diatas muka bumi untuk terus berjuang menegakkan perintah Allah SWT.

"Semoga Allah SWT meletakkan rohnya bersama para An’biya, Syuhada’ dan Solihin," katanya.

Tiada ulasan: