14 Disember 2011

Imap lapor polis klip video perlekeh hukum hudud

18 Muharram 1433H. [MOD] -

KANGAR - Terkilan dengan mesej disampaikan sebuah klip video tempatan yang cuba memperlekehkan perlaksanaan hukum hudud di negara ini, Ikatan Mahasiswa Islam Perlis (Imap) membuat laporan polis berhubung penyebarannya di laman sosial YouTube di Balai Polis Kangar, di sini lewat petang kelmarin.

Setiausaha Imap, Mohd Izuwan Zaini berkata, polis dan pihak berkuasa terlibat perlu menjalankan siasatan segera ke atas pemilik akaun YouTube didaftarkan dengan nama Kawasaki2722, dikesan memuat turun satu video klip bertajuk ‘Sembang Kopi-Lagi Hudud Pas’ sejak 21 November lalu yang dilihat jelas mempersendakan agama Islam.

Menurutnya, klip video selama lima minit yang membincangkan pelbagai isu politik semasa itu kini sudah disaksikan lebih 80,000 orang dan Imap bimbang dialog percakapan yang merendah-rendahkan hukum hudud sebagai hukum Islam akan memberi impak negatif kepada penontonnya terutama generasi muda.

“Polis dan pihak berkuasa perlu segera menghentikan penyebaran video klip itu yang didapati menghina agama Islam secara terang-terangan walaupun saya percaya objektif sebenar penghasilan klip video itu berbaur politik.

“Imap menyifatkan tidak wajar sekiranya hukum agama dilibatkan dalam percakaran politik dan mendesak seluruh umat Islam di negara ini memboikot klip video itu demi mengelakkan mana-mana individu yang tidak kuat pegangan Islam terpengaruh dengan dakyah disampaikan,” katanya sewaktu ditemui media selepas membuat laporan polis diiringi lapan ahli Imap di sini lewat petang kelmarin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: