21 Disember 2011

Skandal NFC: Pemimpin KEADILAN lapor ke SPRM

25 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 21 Dis: KEADILAN akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Laporan berkenaan akan dibuat Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin di pejabat SPRM, Shah Alam jam 2.30 petang ini.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kiriman email kepada Keadilan Daily pagi ini.
Skandal NFC sebelum ini menggemparkan negara berikutan penyelewengan dana RM250 juta yang disalurkan kepada syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.

Ia mula terbongkar selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 mendedahkan projek yang dijalankan syarikat itu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Namun pada masa sama NFC didedahkan membeli dua unit kondominum mewah di Bangsar berharga RM13.8 juta dan membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara termasuk pakej mengerjakan umrah.

Selain gagal mencapai sasaran, NFC juga didakwa memberikan diskaun kepada restoran mewah yang juga milik keluarga Shahrizat, di samping simpanan dalam deposit tetap yang memberi keuntungan ratusan ribu ringgit.

Lebih mengejutkan, NFC turut didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

Semalam, KEADILAN membongkar satu lagi pendedahan terbaru membabitkan pembelian sebuah kondominium oleh keluarga Shahrizat berharga RM9.9 juta di Singapura.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: