21 Disember 2011

Tanya ‘ada pitis?’, acu gunting

25 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Kawan makan kawan. Gara-gara terlalu mempercayai kawan, seorang pemuda kerugian RM450 dan kehilangan telefon bimbit setelah dirompak rakan sendiri.

Bagaimanapun, rakan mangsa, Mohd Ramli Rahmat, 21, mendapat hukuman setimpal apabila dikenakan hukuman penjara selama 36 bulan dan dua sebatan, bermula dari tarikhnya ditangkap, bersama seorang lagi kenalannya iaitu Abd Salam Abd Rashid, 34, seorang penganggur di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Ramli dan Abd Salam telah merompak wang tunai sebanyak RM450 dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia milik Mohammad Azhar Long, 20, dari Kampung Teluk Menara, Manir pada 9 Oktober 2010, kira-kira jam 9 malam.

Tertuduh telah menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kematian, iaitu sebilah gunting dan dengan itu didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun dalam pembelaannya, Mohd Ramli meminta hukumannya diringankan memandangkan dia menghidap penyakit lelah yang memerlukan rawatan berkala dan meminta hukuman dijalankan di Penjara Marang.

Abd Salam pula yang menghidap penyakit tibi, juga meminta hukumannya diringankan memandangkan dia berasal dari keluarga susah dan sering mengalami sakit dada dan badan, akibat penyakitnya.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudiannya menasihati kedua-dua tertuduh agar tidak mengulangi kesilapannya lalu menjatuhkan hukuman penjara selama 36 bulan dan dua sebatan, bermula dari tarikh ditangkap sebagai pengajaran di atas perbuatan mereka.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh diwakili peguam, Yasin Aminuddin Anwar.

Berdasarkan fakta kes, pada 9 Oktober 2010, kira-kira jam 9 malam semasa pengadu sedang duduk seorang diri di tangga, pengadu telah didatangi Mohd Ramli dan Abd Salam menggunakan motosikal lalu bertanya kepada pengadu ‘ada pitis?’ dan pengadu memberitahu ada.

Selepas itu, Abd Salam mendekati pengadu dan mengacukan gunting di leher pengadu dan Mohd Ramli pula terus mengambil wang di dalam saku pengadu sebanyak RM450 bersama sebuah telefon bimbit.

Sebelum itu, pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 petang, Mohd Ramli telah menghubungi pengadu menggunakan telefon awam dan telah meminta tolong pengadu untuk meminjamkan wang tunai kira-kira RM100 dan memberitahu, akan datang ke rumah pengadu pada
malam hari.

Kira-kira jam 9 malam, Ramli datang bersama seorang rakan lelaki yang tidak dikenali, iaitu Abd Salam.

Bagaimanapun, setelah pengadu memberitahu mempunyai duit untuk dipinjam, Abd Salam menyeluk poketnya dan mengeluarkan gunting, lalu mengacukannya kepada pengadu dan mengambil wang tunai telefon bimbit pengadu.

Selepas disamun, pengadu ditolak oleh Salam sehingga terjatuh lalu melarikan diri dengan motosikal. Pengadu bagaimanapun tidak dapat mempertahankan diri berikutan masih bertopang dan kaki sebelah kirinya bersimen akibat kemalangan jalan raya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: