04 Januari 2012

7 sekolah dibuka semula

10 Safar 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Tujuh daripada 11 sekolah yang ditunda hari pertama persekolahan sesi 2012 akibat banjir dan terputus hubungan semalam akan memulakan sesi baru hari ini.

Empat sekolah lagi masih ditutup akibat terputus hubungan serta ditenggelami air iaitu Sekolah Kebangsaan Balar dan Bihai di Gua Musang serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Alfalah Siram dan SABK Diniah Bongor.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, sekolah berkenaan ditutup setelah beliau mengambil kira soal keselamatan pelajar.

Menurutnya, pekarangan SABK Alfalah Siram dan Diniah Bongor masih digenangi air dan pihak Jabatan Pelajaran akan memantau keadaan sekolah terlibat seterusnya memaklumkan kepada ibu bapa.

“SK Balar dan Bihai di Gua Musang masih tidak dapat memulakan sesi persekolahan akibat terputus hubungan dan akan dimaklumkan kemudian tarikh persekolahan kedua-dua sekolah ini.

“Sehingga hari ini tidak ada kerosakan peralatan sekolah yang dilaporkan berlaku kerana pihak sekolah bersiap sedia dari awal menghadapi banjir dengan meletakkan kerusi dan meja di tempat tinggi,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang ketika melawat sekolah yang ditutup akibat banjir, di sini.

Hussain berkata, sekolah yang terpaksa ditutup semalam akan digantikan hari persekolahannya pada hari Sabtu, bagaimanapun tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di sekolah terbabit bagi membolehkan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan selesa.

Sementara itu, pada sidang media sama, Hussain berkata, 28,586 murid tahun satu mendaftar di seluruh Kelantan bagi sesi persekolahan 2012 berbanding 29,229 tahun sebelumnya.

Semalam, 11 sekolah di dua daerah iaitu sembilan di Pasir Mas dan dua di Gua Musang diarahkan tutup seterusnya tidak dapat memulakan sesi baru persekolahan tahun 2012, berikutan terputus hubungan serta kawasan sekolah dinaiki air.

Sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai; SK Balar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; SK Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang Satu; SK Sri Rantau Panjang 2; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khay Boon; SK Lubok Setol; SK Kok Pauh, SABK Alfalah Siram dan SABK Diniah Bongor.

Berikutan penutupan itu, pembelajaran dan pengajaran 5031 pelajar terjejas hubungan sementara sekolah lain ditutup kerana dinaiki air serta jalan menghubungkan sekolah dengan jalan utama dinaiki air.

Sinar Harian

Tiada ulasan: