04 Januari 2012

Lelaki ditahan curi kerbau

10 Safar 1433H. [MOD] -

KLUANG - Seorang lelaki ditahan polis kerana mencuri lima ekor kerbau yang dilaporkan hilang di Ladang Pakloh, Kampung Gajah dekat sini, kira-kira jam 4 pagi pada 26 Disember lalu.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan 15 minit selepas pemilik kerbau melaporkan kehilangan lembu tersebut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 4 pagi sebelum dua anggota polis bantuan di ladang berkenaan berjaya menjejaki suspek.

“Suspek dikesan memandu sebuah lori jenis Isuzu sebelum dua anggota polis bantuan mengarahkannya supaya berhenti.

“Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaannya lalu terus menekan pedal minyak sebelum cuba merempuh kedua anggota berkenaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedegilan suspek menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan yang terkena di bahagian hadapan lori terbabit sebelum suspek terbabas dan berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan, polis kemudiannya menemui lima ekor kerbau yang dipercayai baru dicuri dari ladang terbabit. Siasatan lanjut mendapati suspek adalah warga tempatan berusia 35 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes sama.

“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kluang dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dan Seksyen 307 kanun yang sama bagi kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: