04 Januari 2012

Aziz Bari: Sertai parti tak penting, saya mahu bantu Pakatan

10 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Bekas profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, penyertaan beliau dalam mana-mana parti politik komponen Pakatan Rakyat (PR) tidak penting, sebaliknya hanya mahu membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah kata beliau, apa yang penting bagi dirinya ialah membawa mesej perjuangan dan membantu PR, yang akan genap empat tahun April ini, mencapai matlamat perikatan tersebut.

Lagipun kata Aziz, beliau juga tidak pernah mengisi borang menjadi ahli mana-mana parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disebut-sebutkan banyak pihak.

"Saya tidak isi borang menjadi ahli parti politik. Setahu saya, saya sendiri tidak mengisi borang menjadi PKR pun.

"Jadi, bagi saya menjadi ahli parti politik bukan penting... ia bukan isu. Bagi saya, saya menjadi ahli parti politik juga bukan satu perkara penting," kata Aziz sambil menekankan bahawa beliau akan bertanding jika diberi peluang untuk membantu PR mencapai matlamat perjuangan.

"Terpulanglah kepada mana-mana parti (dalam PR)... jadi ahli tidak penting, itu bukan isunya," kata beliau yang mengakhiri perkhidmatannya di UIA pada 31 Disember lalu.

Malah kata Aziz, sekiranya bertanding dalam pilihan raya kali, ia juga merupakan keputusan 'sekali sahaja'.

"Saya pun sudah 53 tahun, jadi kalau saya tanding pun, ia hanya 'one-off' sahaja," katanya lagi kepada Sinar Harian Online.

Minggu lalu, Dewan Pemuda Pas Pusat mempelawa Aziz menyertai parti Islam itu sekiranya ahli akademik itu sudah menamatkan kerjayanya di UIA.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, tawaran itu bagi memberi ruang kepada pensyarah undang-undang berkenaan mempraktikkan ilmunya sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan dalam menegur kepincangan sistem politik negara.

“Kami mengalu-alukan penyertaannya sebagai ahli politik bagi sama-sama membentuk sistem negara yang amat memerlukan ilmunya selama ini.

“Kita yakin penyertaan beliau dapat memberikan manfaat kerana ilmunya selama ini, diterjemahkan bagi membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang sebenar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sekiranya Aziz menyertai Pas, bekas pensyarah itu dapat mengembangkan lagi ilmunya untuk sama-sama memelihara Perlembagaan Negara yang sering dipertikaikan selama ini.

Beberapa laporan media juga menyebut beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: