04 Januari 2012

PKR desak SPRM dakwa pengerusi eksekutif NFC

10 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - PKR mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera mendakwa Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail susulan kes seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" dikenakan dua tuduhan menipu Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) itu bulan lalu.

Shamsubahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 30 Disember lalu.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, berdasarkan pada tindakan pihak berkuasa mendakwa Shamsubahrin atas tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan wang sebanyak RM1.755 juta, pihaknya percaya SPRM perlu mengenakan tindakan segera ke atas ketua projek ternakan lembu itu.

Kata Rafizi, beliau amat kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Mohamad Salleh dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan menutup penyelewengan lebih besar dalam NFC.

Sebaliknya kata beliau, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Shamsubahrin atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM, kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau, PKR mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Mohamad Salleh dan pengurusan NFC.

Kata beliau, PKR boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperoleh setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Mohamad Salleh.

“Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Datuk Seri Mohamad Salleh. Tugasan Datuk Shamsubahrin adalah menjadi orang tengah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorongnya bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada SPRM selepas ditahan pada 22 Disember.

Sementara itu, Rafizi juga berkata beliau akan memberi segala maklumat berkaitan skandal NFC di Bukit Aman pada jam 3 petang ini.

Katanya, beliau bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas iaitu senarai perbelanjaan terperinci dari akuan bank utama yang dimiliki oleh NFC, yang telah dihantar secara sulit oleh seseorang yang tidak dikenalinya.

“Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumnpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada PKR.

“PKR yakin pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan cepat untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan NFC,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: