04 Januari 2012

Anak palsu minta wang tebusan

10 Safar 1433H. [MOD] -

SERI KEMBANGAN - Tindakan bijak diambil seorang bapa menghubungi isterinya untuk memastikan keadaan anaknya berjaya menyelamatkan dia daripada ditipu individu dipercayai berniat meminta duit tebusan daripadanya.

Bapa berkenaan, Alex, 48, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada satu nombor tidak dikenalinya ketika berada di sebuah stesen minyak bersama seorang rakan tengah hari Jumaat lalu.

“Ketika menjawab panggilan, kedengaran suara seorang budak lelaki mirip suara anak sulung yang meminta tolong. Budak itu menangis sambil berkata ‘bapa tolong saya, orang jahat sudah tangkap saya, cepat datang selamatkan saya’.

“Tanpa memutuskan talian, saya kemudian menghulurkan telefon bimbit kepada rakan yang berada bersama ketika itu untuk menyambungkan perbualan manakala saya kemudian menghubungi isteri untuk bertanya keadaan anak menggunakan telefon bimbit yang lain,” katanya.

Isteri mangsa, yang dikenali sebagai Yee, 41, berkata, dia terkejut menerima panggilan suami yang menceritakan apa yang berlaku kerana mendakwa anaknya selamat bersamanya ketika itu.

“Pada hari berkenaan saya menghantar anak yang memasuki tingkatan 1 di sebuah sekolah menengah di sini untuk menghadiri Hari Orientasi.

“Anak saya pergi ke sekolah pada jam 8 pagi dan program berkenaan berakhir pada jam 11.30 pagi. Kira-kira jam 12 tengah hari, suami menghubungi saya menyatakan dia menerima panggilan daripada seorang budak lelaki menangis memberitahu diculik,” katanya.

Yee berkata, dia memaklumkan anaknya selamat dan sedang menikmati makan tengah hari bersamanya ketika itu.

“Suami memberitahu panggilan dibuat sekali sahaja tetapi apabila nombor berkenaan cuba dihubungi semula, talian tidak dapat disambungkan.

“Saya rasa dia hendak cuba minta wang tebusan tetapi tidak sempat mungkin kerana menyedari telefon diserahkan kepada orang lain,” katanya yang akan membuat laporan polis dan memberitahu pihak sekolah berkenaan apa yang berlaku.

Menurutnya, anaknya kini masih dalam keadaan ketakutan apabila mengetahui hal itu kerana sesi persekolahan baru sahaja akan bermula.

“Saya tidak pasti sama ada orang itu mengenali saya atau tidak, namun yang pasti dia bukan mahu bergurau tetapi dia memang cuba untuk menipu wang.

“Sekarang saya bimbang untuk membiarkan anak menaiki bas bersendirian kerana risaukan keselamatannya,” katanya ketika mengadukan perkara itu kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Pejabat Khidmat DAP Serdang di sini, semalam.

Sementara itu Nie Ching berkata, apa yang dialami kedua ibu bapa itu bukanlah aduan pertama diterimanya.

“Tiga empat tahun lalu saya pernah menerima lima kes aduan sama. Bagi kes ini saya rasa ibu bapa berkenaan bernasib baik kerana si suami ada dua telefon.

“Dalam kebanyakan kes, pemanggil tidak akan izinkan penerima panggilan untuk letak telefon dan akan ugut mencederakan anak mangsa yang didakwa diculik sekiranya talian diputuskan. Biasanya pemanggil akan menyuruh mangsa terus ke bank masukkan duit ke dalam satu akaun jika mahu anak mereka selamat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kes sama akan berulang dan meminta ibu bapa berhati-hati.

“Kes penipuan seperti ini sudah banyak kali berlaku, saya harap pihak sekolah perlu beri nasihat kepada ibu bapa dan pelajar supaya semua pihak akan berhati-hati,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: