04 Januari 2012

Penganggur lega dipenjara seumur hidup, lapan sebatan

10 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur yang melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Paka, Dungun, tiga tahun lalu, terselamat daripada hukuman gantung sampai mati setelah pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini, dipinda.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan lapan sebatan bagi dua pertuduhan ke atas Hazly Ali, 25, iaitu menunjukkan senjata api dan melepaskan tembakan dalam kejadian itu.

Pertuduhan itu dipinda daripada Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, iaitu melepaskan tembakan kepada pertuduhan me­ngikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu rompak berkumpulan dan rompak bersenjata.

“Tertuduh didakwa bersama dengan tiga lelaki dikenal sebagai Sani, Salam dan seorang yang masih bebas, iaitu Mat Yi, merompak satu dulang tali tangan emas bernilai kira-kira RM50,000 dan tiga dulang rantai emas bernilai kira-kira RM50,000 milik Lee Jing Rong, 34, di Kedai Yong Seng Tukang Emas pada 13 April 2009 lalu.

“Ketika melakukan rompakan itu, kamu menggunakan senjata maut, iaitu sepucuk pistol dan sebatang kayu besbal dan dengan itu kamu didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan 34 Kanun Keseksaan,” kata Mohd Yazid.

Bagi kesalahan itu, Mohd Yazid menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan dua sebatan.

Bagi pertudu­han menunjukkan senjata api pula, Mohd Yazid berkata, pihak pembelaan gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes melangkaui keraguan munasabah terhadap tertuduh me­ngikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta boleh dihukum me­ngikut akta sama.

Dengan itu, Mohd Yazid menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan serta memerintahkan semua hukuman berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Hazly diwakili peguam bela Zulkifli Mohd Tarmizi dan Mohd Hisham Abd Rahim.

Dalam rayuannya, pihak pembelaan merayu agar hukuman terhadap Hazly diringankan kerana usianya masih muda dan sudah insaf atas kesalahan itu.

Selain itu, pihak pembelaan turut mendakwa tertuduh rajin berpuasa serta bersembahyang sunat pada waktu malam sepanjang berada di Penjara Pengkalan Chepa dan mengharapkan mahkamah mengambil kira tiada kecederaan berlaku ke atas orang ramai.

Sinar Harian

Tiada ulasan: