11 Januari 2012

Gempa di Acheh: Semua pelajar Malaysia selamat

17 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA 11 Jan. - Semua pelajar Malaysia yang berada di Acheh selamat setelah gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter menggoncang pusat Bandar Acheh awal pagi ini.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta yang juga Setiausaha Satu Education Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, sejurus selepas kejadian, Biro Kebajikan,

Keselamatan dan Kediaman Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh telah menghubungi semua pelajar Malaysia terbabit dan meminta mereka menyelamatkan diri.

Beliau berkata, para pelajar telah diminta pergi ke tempat tinggi bagi mengelakkan ancaman tsunami.

Bagaimana pun, selepas pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami, mereka kembali ke kediaman masing-masing.

Gempa bumi yang berlaku pada pukul 1.36 pagi tadi berpusat di lautan di 419 kilometer Barat Daya Meulaboh, Aceh dan kesan gegarannya dirasai sehingga ke Medan, Sumatera Utara.

Ia kemudian disusuli dengan beberapa gempa susulan.

Sementara itu, Ludinata berkata, semua pelajar Malaysia di Medan juga selamat dalam peristiwa gempa bumi itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: