11 Januari 2012

Maritim patahkan cubaan seludup ganja

17 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam operasi di perairan Kedah-Perlis, kelmarin.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.20 tengah hari Isnin lalu, bot ronda Maritim dari Pangkalan Maritim Kuala Perlis Wilayah Maritim Utara, mengesan dua bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot tanpa nombor pendaftaran itu dilihat berada hampir antara satu sama lain, dalam jarak kira-kira 200 meter dari pantai Kuala Jerlun, Kedah.

“Kedua-dua vesel (bot) ditahan untuk pemeriksaan. Siasatan seterusnya menemui 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja, dianggarkan seberat 10 kilogram, di­simpan di dalam guni berwarna putih dalam vesel pertama.

“Pemeriksaan ke atas vesel kedua mendapati terdapat satu plastik kecil mengandu­ngi daun kering disyaki ganja, namun berat sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Kok Kwee berkata, Maritim turut menahan empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warganegara asing, dipercayai dari Thailand, untuk membantu siasatan.

“Ini merupakan kes pertama tahun ini yang melibatkan penyeludupan dadah melalui perairan utara negara.

“Maritim akan terus membuat pemantauan terhadap penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang Maritim,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: