11 Januari 2012

Laluan tak dinaik taraf

17 Safar 1433H. [MOD] -

ALAI - Penduduk di Jalan Medan Ikan Bakar, Muara Punggor, di sini, mahu pihak berkenaan menaik taraf laluan di kawasan terbabit.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, laluan dari jalan raya utama sepanjang kira-kira 500 meter berlopak-lopak dan sebahagiannya tidak berturap menyebabkan becak setiap kali musim hujan.

Penduduk, Dzulkifli Ab­dul Rahman, 56, berkata, permohonan demi permohonan sudah diajukan kepada pihak berkenaan sejak lima tahun lalu namun sehingga kini keadaannya tetap sama.

Menurutnya, kecewa keadaan yang tidak pernah berubah, dia akhirnya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menurap sebahagian laluan yang hampir de­ngan kediamannya.

“Alasan yang diberikan setiap kali ajukan pertanyaan status permohonan adalah tidak cukup peruntukan.

“Anehnya, di sesetengah kawasan berhampiran, laluan diturap sehingga belakang rumah orang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Turut kesal, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Punggor, Alai, Abdol Rahman Abdullah.

Menurutnya, masalah itu menjejaskan pemandangan kawasan terbabit yang terkenal sebagai tumpuan medan ikan bakar di negeri ini.

“Laluan ini sering digunakan pengunjung dan sekiranya ia tidak sempurna, sudah pasti mencemarkan imej Melaka sendiri.

“Siapakah yang akan menanggung malu, sudah tentu Kerajaan Negeri dan wakil rakyat kawasan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahrom Dahlan, 51, berkata, setiap kali hujung minggu, kenderaan pengunjung medan ikan bakar sering menjadikan sepanjang laluan berkenaan sebagai tempat letak kereta.

“Keadaan ini memberikan tekanan buat kami kerana sukar untuk keluar masuk akibat laluan yang sering dipenuhi dengan kenderaan pengunjung.

“Jadi, apa salahnya Kerajaan Negeri memberikan penumpuan yang lebih sedikit terhadap kawasan ini dengan menyediakan laluan lebih selesa daripada menumpukan pada kawasan kurang penting,” katanya.

Difahamkan, selain pengunjung luar, laluan berkenaan turut menjadi jalan keluar masuk utama kira-kira 60 nelayan dan lebih 20 keluarga di kampung terbabit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: