11 Januari 2012

Melaka digesa selesai masalah bas henti-henti

17 Safar 1433H. [MOD] -

MELAKA, 11 Jan: Dewan Pemuda PAS Melaka mendesak kerajaan negeri serius dalam usaha menangani masalah syarikat bas henti-henti di negeri itu yang membayangkan akan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Februari ini.

Ketua Penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, Kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju untuk mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti sepenuhnya dan membayar ganti rugi kepada syarikat bas yang mengalami kerugian, tapi malangya sehingga kini tiada pampasan yang di terima dari kerajaan negeri.

Katanya, jika benar keadaan itu berlaku, ianya dijangka akan menjejaskan hampir 30,000 orang penduduk negeri itu yang masih menggunakan perkhidmatan bas henti-henti tersebut.

"Menghairankan, bagaimana Kerajaan negeri boleh berhabis duit untuk membeli 10 buah bas Panorama bernilai RM2 juta untuk tujuan pelancongan dan melalui hanya beberapa destinasi tetapi bas untuk kegunaan penduduk negeri sendiri ibarat hidup segan mati tak mahu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Melaka, Razali Endun sebelum ini dilapor berkata sebanyak 120 buah bas terpaksa dihentikan perkhidmatannya akibat kos operasi yang tinggi menyebabkan syarikat tersebut menanggung hutang yang bertambah hari demi hari.

Kerugian yang terpaksa di tanggung oleh syarikat bas setiap hari hampir mencecah RM600 termasuk penyelengaraan kenderaan sedangkan kutipan tiket hanya sekitar RM200 sehari.

Mengulas lanjut, Muhamad Aizat berkata, perkhidmatan bas henti-henti di Melaka telah beroperasi berpuluh-puluh tahun lalu di mana kebanyakan penduduk masih menggunakannya khususnya pelajar untuk ke sekolah.

"Sudahlah monorel bernilai RM15juta masih lagi rosak, kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam pula hanya 3 kali penerbangan dalam seminggu, kini perkhidmatan bas awam pula bakal menamatkan operasi.

"Peliknya kerajaan negeri masih mampu membeli 'kenderaan' kapal selam bernilai RM7 juta untuk bahan pameran sedangkan hutang negeri sahaja telah mencecah RM800 juta. Yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: