11 Januari 2012

Pencuri kasut kantoi

17 Safar 1433H. [MOD] -

KERTEH – Hanya kerana mahu mencari wang dengan cara mudah, kasut turut dijadikan sasaran untuk dicuri.

Namun, perbuatan seorang lelaki Melayu berusia 30-an yang mencuri kasut di Kawasan Perumahan Bandar Baru Kerteh akhirnya, kantoi apabila berjaya dicekup polis di kawasan Kampung Telaga Papan dekat sini, kelmarin.

Dalam tangkapan kira-kira jam 3 petang kelmarin, suspek yang berasal dari Kemasik, ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kerteh, diketuai Inspektor Jamali Abu Bakar dengan bantuan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kerteh.

Tindakan pantas polis memburu suspek adalah susulan maklumat orang awam dan ekoran penahanan itu, polis merampas sepasang kasut, sepasang selipar dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

Hasil ujian saringan awal, polis mendapati suspek positif dadah dan hasil pemeriksaan rekod suspek juga dikehendaki berkait laporan polis di Melaka Tengah atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berikutan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat mengesahkan kes berkenaan ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: