11 Januari 2012

Pihak Berkuasa Indonesia Tingkatkan Langkah Pencegahan Selesema Burung

17 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Berikutan satu kematian seorang lelaki di Jakarta Utara yang disyaki akibat jangkitan virus H5N1 atau selesema burung pada Sabtu lalu, pihak berkuasa Indonesia meningkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap gelaja penyakit itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Ali Gufron Mukti berkata kerajaan sedang menangani hal itu secara lebih profesional sebagai langkah mengelakkan penyakit selesema burung daripada menular di masa depan.

Ia termasuklah sumber-sumber penularan selain menyediakan hospital tertentu untuk menangani masalah itu jika berlaku kes selesema burung di masa depan, katanya di sini, Selasa.

Sementara itu, Menteri Pertanian Suswono berkata Indonesia belum sepenuhnya bebas daripada virus selesema burung.

"Yang penting, kami berharap masyarakat tidak segan-segan jika ada ayam tiba-tiba mati segeralah melaporkannya, jangan sembunyikannya. Apa lagi jika kes ada ayam mati dan ada pihak berkaitan pula sakit, maklumatnya harus lebih cepat lagi," katanya.

Suswono juga meminta semua agensi berkaitan di Kementerian Pertanian supaya memantau kes-kes yang disyaki jangkitan selesema burung.

Media tempatan republik itu melaporkan bahawa bahagian kesihatan Kerajaan tempatan Jakarta pada Selasa menjalankan operasi memeriksa unggas yang sakit di sekitar kawasan Jakarta Timur selain menguatkuasakan peraturan larangan penternakan unggas dalam kawasan 25 meter dari kediaman.

Dalam operasi itu, beberapa unggas yang dipelihara dalam kawasan terlarang dimusnahkan.

Lelaki berusia 23 tahun itu dilaporkan memelihara burung merpati di sekitar rumahnya. - BERNAMA

Tiada ulasan: