19 Januari 2012

Penduduk di pedalaman Sibuti Perlukan Pembangunan

25 Safar 1433H. [MOD] -

MIRI - Kg Bungai, Kg Kepurau, Kg Subak dan Kelulit terletak dalam
kawasan parlimen Sibuti dan merupakan perkampungan orang Kadayan dan
juga orang Melayu. Terdapat juga orang Iban dan Cina tinggal di
kawasan tersebut. Jarak perjalanan dari bandaraya Miri ke kawasan
tersebut mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Walaupun aktiviti PAS Miri berjalan seperti biasa di bandaraya Miri,
tetapi baru-baru ini rombongan PAS Miri telah meninjau keadaan
penduduk yang tinggal di kawasan Sibuti.

PAS Miri telah melawat Tamu Bungai dan bertemu dengan penduduk kampung
serta memberi penerangan tentang Negara Berkebajikan kepada penduduk
tempatan di Kg Bungai, Kg Kepurau dan Kg Subak.

Disamping lawatan sambil kerja tersebut, PAS Miri telah menghulurkan
bantuan sumbangan kepada 57 buah keluarga miskin dan ibu tunggal yang
tinggal di kawasan tersebut. Sumbangan dilakukan dari rumah ke rumah
ini telah mendapat sambutan yang baik dari penduduk tempatan.

Ini merupakan kali pertama PAS dapat bertemu dengan penduduk tempatan
di kampung tersebut dan merupakan langkah yang pertama ke arah Negara
Berkebajikan. Disamping itu PAS juga telah berjaya mendaftar 16 orang
pengundi baru di kawasan tersebut.

Masalah jalanraya dan juga bekalan air bersih masih lagi jadi isu
utama yang dihadapi oleh sesetengah kawasan khasnya Kg Kejapil ke Kg
Keluru dimana jalanraya yang masih rosak dan belum dibaiki sepenuhnya.
Jalanraya tersebut hanya diturap semasa Pilihan Raya Umum (PRU)
Sarawak yang lalu.

Masalah bekalan air bersih dibeberapa kawasan kampung seperti Padang
Kelulit masih lagi agak ketinggalan dan perlu diberi perhatian oleh
pihak yang berwajib. Kemudahan infrastuktur perlu diutamakan di
kawasan luar bandar kerana keadaan kampung di Sibuti masih lagi belum
membangun sepenuhnya walaupun kita sudah merdeka hampir 55 tahun.

Kemana perginya peruntukan untuk luar bandar yang sepatutnya dapat
dinikmati oleh penduduk di luar bandar?

Kita mendesak agar kerajaan BN dan pihak yang berwajib dapat
menunaikan janji-janji mereka kepada penduduk di Sibuti semasa PRU
Sarawak yang lalu. Peruntukan yang sepatutnya disalur kepada kawasan
pendalaman hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu PRU 13
nanti.

Tanggungjawab pemerintah adalah menjalankan amanah rakyat dengan jujur
dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

Tiada ulasan: