19 Januari 2012

Curi pistol polis

25 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH – Sepucuk pistol jenis vector automatik dibawa lari penjenayah selepas rumah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dipecah masuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 9 malam pada 12 Januari lalu, di taman perumahan di Batu Berendam.

Menurutnya, sewaktu kejadian, anggota polis terbabit sedang mandi dan rumahnya dipecah masuk oleh empat lelaki, berusia lingkungan 21 hingga 28 tahun.

“Mereka mencuri sebuah beg sandang belakang di bilik mangsa, yang mengandungi pistol berkenaan.

“Mereka memecah masuk melalui pintu depan rumah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah dan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Manakala, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Menurutnya, semua suspek berjaya ditahan, semalam, dan pihaknya akan memohon supaya mereka ditahan reman, hari ini.

Semalam juga, sepasukan Unit Khas Skuba Bomba dan Penyelamat negeri mencari pistol yang dipercayai dibuang suspek di Sungai Melaka berhampiran Taman Rempah pada malam kejadian.

Bagaimanapun, usaha mencari gagal menemui pistol berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: