19 Januari 2012

Simbah asid: 2 pelajar ditahan

25 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Dua pelajar ditahan kerana disyaki menyimbah asid terhadap seorang lelaki, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tendong, Ahad lalu.

Kedua-dua pelajar terbabit masing-masing berusia 16 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, dalam dua serbuan berasingan antara jam 2.35 hingga 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua pelajar terbabit dipercayai dijanjikan akan mendapat upah daripada bekas isteri kedua mangsa.

Beliau berkata, salah seorang daripada pelajar terbabit yang belajar di sebuah sekolah agama menyimbah asid terhadap mangsa jam 12.15 pagi.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit yang berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Sebaik menahan pelajar terbabit, hasil soal siasatan, kita berjaya menemui semula botol asid yang dibuang ke dalam parit yang mengandungi air sejauh kira-kira dua kilometer daripada rumah mereka,” katanya semalam.

Jalaluddin berkata, polis kini mengesan tudung botol asid terbabit yang dipercayai dibuang berhampiran tempat kejadian. Sebelum ini, polis menahan dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun untuk membantu siasatan.

Pada 16 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang duda cedera parah dipercayai disimbah asid oleh lelaki yang tidak dikenali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: