19 Januari 2012

Pakar nuklear dibunuh: Jangan sekat kebangkitan rakyat

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Peristiwa pembunuhan seorang pakar nuklear Iran oleh pihak Israel dengan persekongkolan Amerika Syarikat semalam perlu dijadikan pengajaran oleh Kerajaan Malaysia agar tidak menyekat kebangkitan rakyat.

Perancangan jahat pihak Israel dan Amerika Syarikat sehingga membawa kepada pembunuhan pakar nuklear itu ternyata gagal melemahkan semangat rakyat negara itu, malah ia telah mencetuskan kebangkitan puluhan belia lain untuk menggantikan tempatnya bagi kepentingan negara mereka.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, rakyat Iran sememangnya tidak akan tunduk dan lemah dengan tekanan Israel dan Amerika Syarikat kerana kerajaan yang ada di negara itu sendiri kini adalah terhasil daripada kebangkitan rakyat.

Menurutnya, mereka telah bangkit bersama-sama Ayatollah Khomeini menerusi Revolusi Iran pada tahun 1979 lalu untuk menggulingkan Shah Iran bagi melakukan perubahan terhadap pemerintahan di negara itu ke arah yang lebih baik.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Agensi yang menyebut kira-kira 1,300 pelajar universiti di Iran memohon menukar bidang pengajian utama kepada sains nuklear berikutan pembunuhan seorang pakar nuklear Teheran, Mostafa Ahmadi Roshan (gambar) minggu lalu.

Mostafa terbunuh pada 11 Januari lalu akibat letupan sebutir bom magnet dilekatkan pada keretanya oleh seorang penunggang motosikal.

Pegawai Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi pembunuhan beliau.

Syed Azman menambah, perubahan yang mereka ingini itu telah berlaku di negara tersebut setelah Shah Iran digulingkan dan kini mereka sedang berusaha mempertahankan dan membangunkan negara mereka dengan pelbagai cara, setanding dengan negara-negara sedang membangun lain di dunia ini.

"Kerajaan Iran juga telah mengambil inisatif membangunkan nuklear di negaranya untuk pembangunan tenaga. Pihak Israel dan Amerika Syarikat ternyata tidak senang dengan usaha Iran itu kerana dibimbangi akan turut membawa kepada perkembangan persenjataan menerusi nuklear yang akan mengancam mereka.

"Jika Iran mahu, Iran memang boleh membangunkan persenjataan menerusi nuklear di negaranya, tetapi sehingga kini nuklear yang dibangunkan itu sememangnya untuk tenaga seperti juga yang dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat sendiri, Jepun, Jerman dan Perancis bagi pembangunan perindustrian," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan Iran tetap tidak disenangi pihak Israel dan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sehingga mereka telah melakukan pelbagai tekanan terhadap Iran termasuk dengan melakukan sekatan ekonomi.

"Terbaru, Mossad Israel telah berjaya membunuh pengarah nuklear Iran, tetapi sebaik sahaja pembunuhan itu berlaku, puluhan pelajar universiti di republik itu telah mengambil keputusan menukarkan jurusan pengajian mereka kepada nuklear bagi membolehkan mereka meneruskan usaha saudara mereka yang telah terbunuh itu.

"Begitulah hebatnya kebangkitan rakyat Iran. Dalam diri mereka sememangnya sentiasa menyala dengan semangat revolusi setelah tercetusnya Revolusi Iran pimpinan Khomeini tahun 1979 lalu, bagi membolehkan mereka terus mempertahankan kerajaan yang ada sekarang," katanya yang juga Adun Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejadian yang berlaku di Iran itu, tambahnya, sememangnya penuh dengan pengajaran untuk Kerajaan Malaysia yang berada di bawah BN sekarang, khususnya mengenai kebangkitan rakyat.

Katanya, di negara kita, kebangkitan rakyat juga kini telah berlaku dengan keseluruhan rakyat menuntut keadilan dari pihak pemerintah dalam pelbagai aspek termasuk politik bagi melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

"Kebangkitan ini tidak lagi boleh disekat oleh kerajaan kerana jika disekat pasti akan mencetuskan kebangkitan lebih besar termasuklah kebangkitan rakyat ke jalan-jalan raya.

"Pihak pemerintah sememangnya tidak mempunyai pilihan lain lagi, kecuali dengan memenuhi tuntutan rakyat bagi mendapatkan keadilan setelah keadilan yang dituntut itu dinafikan oleh pihak Kerajaan BN sejak sekian lama," tegas beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: