19 Januari 2012

Peniaga maut dibelasah

25 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Seorang peniaga ikan mati dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lelaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan masjid Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat sini, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam, mangsa Idris Mamat@Ripin, 54, disahkan mati di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, selepas cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ekoran kejadian itu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu sehingga menyebabkan kematian.

Beliau berkata, tiga lelaki terbabit yang berusia 35 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas menerima laporan daripada isteri mangsa, Zaiponi Lah, 41, yang mencurigai kematian suaminya.

Katanya, isteri mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh orang awam yang ternampak suaminya dibelasah sekumpulan lelaki sebaik motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah kereta.

“Isteri mangsa juga mengesyaki suaminya dipukul, ditendang, disepak, dipijak di bahagian badan dan kepala di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Jalaluddin berkata, sebaik menerima laporan, beliau mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.

Katanya, polis mendapat tahu daripada salah seorang suspek bahawa ketika melalui laluan berkenaan, mereka terserempak dengan motosikal mangsa menuju ke arah jalan PCB.

Menurutnya, suspek itu memberitahu, ketika memandu keretanya dia tersedar mangsa memecut motosikalnya dalam keadaan laju sebelum dirempuh keretanya lalu terbabas dan melanggar sebatang tiang.

Katanya, akibat perlanggaran itu kereta suspek rosak teruk di bahagian depan. “Siasatan awal mendapati, mangsa pernah bergaduh dengan suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: