19 Januari 2012

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kampung Baru

25 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Jan: Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu penduduk Kampung Baru dengan menyediakan pelan pembangunan alternatif tanpa menjejaskan hak milik tanah yang diwarisi penduduk daripada nenek moyang mereka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung Baru (JKBPKG) memulakan langkah menyalurkan maklumat kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Bharu mengenai hak mereka ke atas tanah tersebut meskipun kawasan tersebut dibangunkan.

Ianya sebagai usaha mengelakkan penduduk Kampung Baru menjadi mangsa Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 yang telah diluluskan Dewan Negara Disember lalu.

"Kerajaan negeri sentiasa di belakang usaha untuk menentukan pembangunan Kampung Baru ini dapat diterima dan dihayati oleh seluruh pemilik dan pewaris tanah.

"Walaubagaimana pun kita mesti melakukan usaha ini dengan penuh tertib dan berhemah supaya akhirnya apa yang kita lakukan memberikan kebaikan kepada masyarakat di Kampung Bharu," kata beliau pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pemilik Tanah Kampung Baru bersama Menteri Besar anjuran JKBPKG dan Yayasan Selangor di Jalan Raja Ali, dekat sini malam tadi.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 penduduk Kampung Baru itu, pengurus pembangunan perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Fathurahman Abu membentangkan secara ringkas pelan pembangunan Kampung Baru sebagai alternatif kepada pelan Pembangunan Perbadanan Kampung Baru di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Selain itu, penduduk juga berpeluang mengemukakan soalan dan pandangan dalam sesi dialog yang diadakan.

Pada sidang media sama, Khalid berkata, JKBPKG memerlukan sokongan daripada badan-badan korporat yang lain dalam usaha membangunkan Kampung Bharu seperti yang dikehendaki penduduk.

"Jawatankuasa bertindak yang diketuai Dr Idris Ahmad dan dianggotai rakan-rakan kita yang profesional seperti peguam, arkitek, pemaju dan kerajaan negeri menggalakkan syarikat-syarikat seperti PKNS, Yayasan Selangor dan Permodalan Negeri Selangor Berhad untuk menyertai jawatankuasa ini supaya memberi input yang sesuai kepada penduduk," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu pusat khidmat ditubuhkan dan dijangka siap dalam masa dua minggu lagi sebagai tempat rujukan penduduk mengenai hal berkaitan pemilikan tanah dan lain-lain.

"Pejabat jawatankuasa bertindak akan dibuka dua minggu lagi untuk memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang tanah, harta pusaka, akta MAS dan bagaimana penerangan ini boleh disebar kepada seluruh pemilik dan pewaris tanah," katanya.

Panggil MAS bermesyuarat

Sementara itu, Khalid berkata beliau akan memanggil anggota Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) bermesyuarat untuk melakukan penstrukturan semula terhadap badan itu.

Khalid berkuasa memanggil mesyuarat MAS yang wujud sejak 111 tahun dahulu berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950.

Penstrukturan semula MAS ini bagi memastikan keanggotaan terdiri daripada pelbagai kumpulan yang mempunyai kepakaran berlainan dalam menguruskan hal ehwal penduduk Kampung Baru.

Berdasarkan peruntukan juga, Khalid mempunyai kuasa melantik empat orang anggota MAS.

"Saya akan minta MAS panggil mesyuarat.

"Kita mahu MAS dianggotai pelbagai kumpulan supaya kumpulan ini boleh bergerak bersama dalam membangunkan Kampung Baru," katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: