06 Januari 2012

Rugi RM650,000

12 Safar 1433H. [MOD] -

HI-TECH, KEDAH - Seorang kontraktor binaan berusia 46 tahun terkejut apabila mendapati sembilan saiz kabel berlainan berukuran 16,400 meter dilaporkan hilang apabila dia ingin memulakan kerja pemasangan.

Menurut seorang pekerja yang berada di tempat kejadian, mereka sedang melakukan kerja pemasangan pendawaian di sebuah kilang, di sini yang sudah 45 peratus siap.

“Sebelum ini semua kabel yang hilang tidak diletakkan di tempat kejadian, sebaliknya ia hanya diletakkan sehari sebelum projek pemasangan hendak dijalankan.

“Kira-kira jam 9.30 pagi ketika sampai di tempat kejadian, saya membuat pemeriksaan terhadap kabel yang ada untuk dipasang. tetapi terkejut apabila mendapati kesemua tempat di mana kabel itu digulung telah kosong,” katanya.

Difahamkan susulan kejadian, kontraktor berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulim semalam.

Terdahulu, menurut pekerja terbabit, terdapat sembilan jenis kabel yang disimpan di belakang bangunan di situ untuk pasang.

“Kesemua kabel ini baru dan ia memang panjang. Saya percaya suspek yang mencuri semua kabel ini datang dari arah belakang kerana pagar di belakang bangunan ini sudah dipotong.

“Secara logik, suspek harus menggunakan lori untuk mengangkat semua kabel. Saya mentafsirkan jumlah kerugian akibat kehilangan kesemua kabel itu kira-kira RM650,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, kes melibatkan kehilangan kabel kerap berlaku.

Menurutnya, kejadian itu mungkin berikutan bahan logam yang terletak dalam kabel itu boleh dijual dengan harga mahal atau dijual semula kepada mana-mana kontraktor yang menjalankan tugas pendawaian dengan harga lebih murah.

“Terdapat beberapa kawasan yang sering dilaporkan berlaku kes kecurian kabel. Sehingga kini beberapa kejadian serupa dilaporkan berlaku dan terdapat individu berjaya ditahan.

“Kes kecurian kabel melibatkan jumlah kerugian besar sukar dikenal pasti kerana suspek terlibat seakan–akan sedang menjalankan tugas pemasangan kabel,” katanya.

Eng Khim tidak menafikan sukar untuk PPKM mengesyaki berlaku kes kecurian kabel sekiranya perlakuan suspek terlibat bersahaja dan seolah-olah mereka sedang menjalankan kerja pemasangan kabel.

Katanya, aktiviti pendawaian kabel bawah tanah ini selalunya dijalankan pada waktu malam dengan suspek akan memakai topi dan baju pantulan cahaya sama seperti pekerja pendawaian lain.

Sinar Harian

Tiada ulasan: