29 Februari 2012

Abang temui adik tidak bernyawa

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JENGKA 1 - Seorang budak orang kurang upaya (OKU) yang dikhuatiri hilang, ditemui mati dipercayai terjatuh ke dalam parit oleh abangnya di Felda Jengka 1.

Mangsa, Norshahida Abdul Razak, 11, dikatakan tidak pulang ke rumah sejak jam 4 petang kelmarin, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sekitar jam 8 malam hari yang sama.

Ibu mangsa, Zulaina Mat Ali, 41, berkata, pada jam 2 petang kelmarin, mangsa masih lagi berada di rumah, tetapi keluar selepas itu berkemungkinan menuju ke rumah rakannya di kawasan berdekatan.

“Ketika dia keluar, waktu itu hari sudah mula hujan. Datuknya yang ketika itu melihatnya berjalan keluar rumah melarangnya, tetapi tidak diendahkan. Ketika hujan semakin lebat sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin), jiran ternampak Norshahida seperti dalam perjalanan pulang lalu memanggilnya, tetapi memang tabiatnya tidak suka menyahut panggilan orang,” katanya.

Zulaina berkata, mengikut kata jiran, mangsa dilihat tidak memasuki simpang menuju rumahnya, sebaliknya berpatah ke laluan lain.

“Mungkin ketika itu hujan lebat, maka dia takut untuk pulang ke rumah dan berpatah balik. Mungkin mencari tempat berteduh buat sementara. Itulah kali terakhir jiran melihat kelibatnya. Apabila hari semakin gelap, saya mula bimbang kerana dia masih tidak pulang. Saya kemudiannya memberitahu pihak Rela supaya membantu mencarinya,” katanya.

Zulaina yang juga ibu tunggal berkata, selepas itu dia bersama anak sulungnya terus mencari mangsa di kawasan kejiranan dan juga di dalam ladang.

“Puas kami mencari sekitar jam 8 malam. Bagaimanapun saya pulang dulu ke rumah kerana tidak larat lagi mencari tetapi anak sulung teruskan pencarian. Entah bagaimana, anak saya memberitahu, dia terfikir untuk menyuluh ke arah parit dan ketika itulah dia nampak kaki adiknya, tetapi sudah tidak bernyawa lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, doktor mengesahkan Norshahida meninggal disebabkan kecederaan teruk di kepala dan bukan disebabkan lemas.

“Mungkin disebabkan hujan lebat petang semalam (kelmarin), arwah tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit yang dipenuhi dengan batu konkrit,” katanya.

Menceritakan saat-saat terakhir arwah, Zulaina berkata, malam sebelum anaknya ditemui mati, arwah sempat mengurut kakinya, malah arwah juga merenung tajam abangnya sebelum keluar seolah-olah tahu akan meninggalkan mereka sekeluarga.

Mangsa yang merupakan anak keempat dari lima beradik menghidap Sindrom Down dan bersekolah di Sekolah Khas Felda Kota Gelanggi 2. Jenazahnya dikebumikan sebelum Zohor, semalam dan hadir melawat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

sinar harian/-

Tiada ulasan: