29 Februari 2012

Erykah Badu: Bagaimana kalau tak bantah?

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoal tindakan kerajaan yang hanya membatalkan konsert artis bertatoo Erykah Badu selepas dibantah umum.

Ketua Penerangannya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, biarpun menyambut baik pembatalan konsert yang sepatutnya berlangsung malam ini di KLCC itu, namun pembatalan hanya selepas bantahan itu memperlihatkan sikap kerajaan yang 'tidak sensitif'.

"Dalam isu ini, PAS WP menganggap kerajaan seperti bersikap talam dua muka. Konsert Erykah Badu dibatalkan hanya kerana adanya bantahan awam.

"Bagaimana sekiranya tiada bantahan dibuat? Adakah kerajaan tetap mahu membatalkannya atau membiarkan ia diteruskan," soalnya sambil menambah sampai bila kerajaan boleh bersikap proaktif terhadap artis dalam atau luar negara yang menimbulkan kontroversi.

Kesal dengan tindakan itu juga, beliau turut mempersoal agensi kerajaan seperti Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), di bawah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (Kebudayaan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) yang lambat bertindak sehingga konsert itu dibatalkan di saat-saat akhir.

Apatah lagi katanya, artis menjadi pujaan masyarakat, namun imej bertatoo Erykah Badu hanya membawa kesan negatif kepada masyarakat khususnya golongan belia.

"Sepatutnya setiap permohonan untuk membawa masuk artis luar negara perlu ditapis terlebih dahulu dengan melihat latar belakang mereka.

"Tidak timbul artis tersebut mendapat bantahan awam atau tidak kerana kerajaan lebih awal menyekat sebarang imej yang boleh menimbulkan polemik di kalangan masyarakat," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan benar-benar bertegas dalam memastikan akhlak dan akidah umat Islam di negara ini terpelihara.

"Tidak ada gunanya melaungkan slogan hebat dalam memperjuangkan Islam di negara ini, sedang aqidah dan akhlak ramai umat Islam di negara ini tergadai," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: