29 Februari 2012

Mangsa ribut tergamam bumbung terbang

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SIJANGKANG - “Apabila saya buka pintu rumah, saya lihat sampah sarap bertaburan dan kebanyakan peralatan milik rumah saya dan jiran berterbangan,” kata salah seorang mangsa ribut, Mariam Musa kepada Sinar Harian.

Mariam berkata, kejadian yang berlaku hanya beberapa minit itu membuatkan penduduk tergamam.

Menurutnya, keadaan cuaca sebelum itu tidak menunjukkan tanda ribut akan berlaku.

“Kejadian ini menakutkan kerana ia berlaku secara tiba-tiba, ketika kejadian saya sedang berehat di rumah, namun terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan lihat banyak kepingan bumbung terbang,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, 29 rumah di Kampung Sijangkang rosak teruk terutama di bahagian bumbung apabila kebanyakan zink kediaman penduduk diterbangkan angin.

Dimaklumkan, kejadian sama berlaku beberapa tahun lalu, namun tidak membabitkan sebarang kerosakan.

Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, buat masa ini, pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat kerosakan bagi memudahkan urusan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

Katanya, bantuan sama akan diusahakan melalui Yayasan Kelana Ehsan (YKE) bagi mendapatkan dana membantu rumah yang mengalami kerosakan teruk.

“Kita juga mengajak pelbagai pihak tampil membantu mangsa,” katanya ketika meninjau keadaan rumah mangsa, di sini.

Hadir sama, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dun Sijangkang, Datuk Nordin Selamat.

sinar harian/-

Tiada ulasan: